********************************************************
TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com
********************************************************
Bersempena dengan kehadiran Bulan
Ramadhan ini pihak Shukur.com akan menghantar kepada anda , 6 SIRI TAZKIRAH
KHAS RAMADHAN buat pedoman anda.
Adalah menjadi harapan kami agar anda dapat mengedarkan TAZKIRAH ini supaya kita beroleh pahala yang berlipat ganda di bulat berkat ini. |
SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK
"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap
bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."
Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah
masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda
tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal.
Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga
mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda
Rasulullah SAW
yang bermaksud:
"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua
hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat,
maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith
Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin
menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan
memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak
ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada
sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini
dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa
sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari
Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana
lazimnya.
Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah
kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia
dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan
individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk
menyambut ketibaan Ramadhan tetapi
Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama
sekali amalannya.
Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini
tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu
dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan
kajian yang dijalankan menunjukkan
bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental
dan fizikal secara keseluruhannya.
Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam,
kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke
semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan
ialah untuk mengerjakan puasa.
"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh),
maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan
Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.
Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:
Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan
niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh -
seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya
untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.
Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak
kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan
kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan
Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai
jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya
dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak
mendatangkan sebarang kemudaratan.
Selamat Berpuasa dan wassalam.