********************************************************
TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com
*******************************************************
12 Dis | 16 Ramadhan 1421
SIRI 5 : LAILATUL QADAR
Bismillahirahmanirahhim.
Assalammualaikum wbt.
"…(iaitu) ada pada bulan
Ramadhan. Kerana itu, hendaklah kamu mencarinya
pada sepuluh hari terakhir. Kerana ia
terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29, atau
malam terakhir." - HR Ahmad
Lailatul Qadar adalah satu malam istimewa yang dikurniakan kepada umat
Muhammad SAW lantaran kebimbangan Baginda terhadap usia umatnya yang semakin
pendek. Bagi mengatasi keraguan ini, maka
Allah SWT menurunkan malam Lailatul Qadar yang membawa pahala seperti beribadat
selama 83 tahun. Ini bagi menyamakan jarak
masa umat terdahulu dengan umat Baginda pada hari ini dalam mengerja dan
mendapatkan pahala beribadat.
Suatu masa Baginda hendak memberitahu kaumnya mengenai tarikh Lailatul
Qadar yang tepat tetapi terjadi satu pergaduhan di antara dua orang
muslim. Jelas Baginda, maka itu rahmat
(tarikh Lailatul Qadar) telah diambil kembali. Sesungguhnya perbalahan kerapkali
menyebabkan kita kehilangan nikmat dan rahmat.
Justeru, Baginda menyarankan kepada kaum muslimin agar menghubungkan
silaturrahim kerana ia adalah amalan yang lebih baik daripada solat, puasa dan
sedekah. Silaturrahim juga akan
meningkatkan iman di dalam sesuatu kaum.
Pada zaman Rasulullah SAW, ramai ulama dan sahabat menyambut Lailatul
Qadar dengan tekun mengerjakan ibadat.
Rasulullah SAW sendiri tidak pernah leka dalam hal ini walaupun Baginda
telah dijanjikan tempat di sisi-Nya.
Malahan Baginda khusyuk beribadat sehingga kakinya bengkak tanpa
memikirkan kesakitan yang ditanggung.
Kita sebagai umatnya juga harus mengikuti contoh ini. Tidak sepatutnya kita memilih untuk
mengikuti sunnah Baginda yang dirasakan mendatangkan faedah yang besar kepada
kita sahaja kerana sememangnya semua sunnah Nabi memberi faedah. Namun, apabila memperkatakan hal ibadat,
jarang sekali kita mahu mencontohinya. Bak kata pepatah tepuk dada, tanya selera.
Perbanyakkanlah amalan pada Malam Lailatul Qadar seperti membaca Al-Quran, bertasbih dan bertahmid. Dan ia sesungguhnya boleh ditemui jika kita dapat membezakan malam tersebut dengan malam-malam sebelumnya.
Rasulullah SAW telah menjelaskan di
antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah:
· Malam
yang sepi, tenang dan bercahaya;
· Tidak
panas atau sejuk (sederhana) seolah bulan memancar terang;
· Tiada
petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh;
· Pada
paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya, seperti bulan mengambang
Tanda ini amat jarang ditemui, kecuali tanda terakhir yang pernah
terjadi. Andai bertemu dengan malam
ini, maka ucapkanlah doa berikut yang bermaksud:
"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah
yang mengurniakan keampunan terhadap dosaku.
Dikau suka mengampun, maka ampunilah daku."
Pada malam ini juga Jibrail a.s akan turun ke bumi dan mengarahkan
setiap malaikat berkunjung, memberi salam dan berjabat tangan dengan mukmin
yang sedang beribadat di rumah mereka.
Namun malaikat-malaikat ini tidak akan mendatangi mana-mana rumah yang
di dalamnya ada haiwan-haiwan peliharaan yang haram, penzina, juga rumah yang
di dalamnya tergantung perhiasan atau gambar haiwan dan manusia. Justeru, awasilah perlakuan kita dan
sentiasalah berusaha meningkatkan iman, terutamanya dalam Ramadhan ini.
Semoga bersua dengan Lailatul Qadar dan wassalam.