TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS SILATURAHIM PERTUBUHAN BANJAR MALAYSIA BUBUHAN SABAH 2013, PADA 14 SEPTEMBER 2013, DI DEWAN SRI LIBARAN, SANDAKAN.

 

 

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat bersama-sama sempena Majlis Silaturahim Pertubuhan Banjar Malaysia Bubuhan Sabah 2013.

 

Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Pertubuhan Banjar Malaysia Bubuhan Sabah serta jawatankuasa penganjur atas jemputan untuk saya hadir untuk bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian dalam satu lagi usaha kita ke arah mewujudkan perpaduan dan memperkukuh kerjasama antara kaum melalui kebudayaan.

 

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada barisan kepimpinan Pertubuhan ini, kerana telah mengambil inisiatif baik mengadakan majlis ini. Kita sedar, masyarakat Banjar  adalah salah satu rumpun Melayu yang memiliki nilai-nilai kebudayaan dan peradaban tersendiri, yang telah wujud dan terjalin sekian lama. Di Sabah, masyarakat ini telah wujud sejak lebih seabad yang lampau, dan turut memberi sumbangan yang amat besar dalam pembangunan negeri Sabah.

 

Salah satu kekuatan negeri dan Negara kita, ialah kepelbagaian kita.  Ini merupakan satu khazanah dan aset terpenting negeri Sabah. Setiap suku kaum mempunyai nilai-nilai tradisi dan budaya yang tersendiri. Oleh itu, penampilan nilai-nilai tradisi dan budaya satu-satu suku kaum, haruslah dipupuk dan dibina dengan berteraskan kepada lunas-lunas yang telah digariskan dalam dasar kebudayaan kebangsaan kita yang berlandaskan kepada semangat kekeluargaan sebagai satu rumpun.

 

Kita maklum bahawa kebudayaan merupakan salah satu medium penting bagi mewujudkan perpaduan kaum, di samping menjadi penggerak dalam meningkatkan taraf ekonomi penduduk melalui industri pelancongan negara. Kebudayaan juga mampu memperkukuh ikatan kerjasama antara kaum apabila setiap kaum dapat menghayati budaya masing-masing serta memahami budaya kaum lain. Melalui penghayatan budaya sendiri dan pengetahuan antara budaya inilah dapat menjalin hubungan akrab antara kita sebagai rakyat Malaysia khususnya dalam menjayakan Gagasan 1 Malaysia.

 

Dengan terjalinnya hubungan yang akrab di antara seluruh kaum khususnya di negeri ini, tentunya ia akan melahirkan perasaan mesra sesama kaum yang akhirnya mencipta satu suasana harmoni yang menyumbang kepada perpaduan kaum di negara kita. Di sinilah keunikan negara kita berbanding di sesetengah negara lain. Kebijaksanaan pucuk pimpinan negara yang telah menjadikan elemen kepelbagaian kaum ini sebagai satu kekuatan tersendiri dalam mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan perpaduan telah menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara secara lebih pesat.

 

Dalam konteks Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat, selain dasar untuk memastikan setiap suku dapat menikmati kehidupan yang baik, kita juga akan terus memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan, dan hasrat ini harus dilakukan menerusi pembinaan modal insan. Suka saya tekankan bahawa kerajaan akan terus memperhebatkan program pembangunan modal insan, kerana inilah kunci kemajuan pada masa hadapan. Pada masa yang sama, rakyat juga harus melakukan perubahan bagi melahirkan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.

 

Pada kesempatan ini, suka saya mengajak pemimpin-pemimpin persatuan suku kaum di negeri ini termasuk Pertubuhan Banjar Malaysia Bubuhan Sabah, supaya sentiasa memelihara semangat toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain. Tuan-tuan dan puan-puan perlu terus berusaha lebih gigih untuk menyesuaikan diri dan terus berinteraksi dengan suku kaum lain, agar kehamonian dan perpaduan dapat dipelihara dan dikekalkan.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya hadir pada majlis ini. Semoga ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita dalam usaha untuk meningkat dan melestarikan lagi perpaduan rakyat di negara dan negeri ini secara keseluruhannya. 

 

Sekian.