UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI SABAH, DATUK CHONG KAH KIAT MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA INDUK SUKMA IX SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN SUKMA IX SABAH 2002 PADA 07 SEPTEMBER 2002, JAM 7.55 MALAM, STADIUM KOMPLEKS SUKAN LIKAS KOTA KINABALU

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Malaysia atas kesudian meluangkan masa hadir ke majlis yang sungguh bersejarah pada malam ini. Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan selamat datang kepada tetamu-tetamu kehormat dan semua delegasi, pegawai dan atlet dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Utara Australia. ke Majlis Perasmian Pembukaan SUKMA IX, Sabah 2002. Ucapan terima kasih dan penghargaan juga saya tujukan kepada Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Y.A.B Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia kerana telah memilih Sabah sebagai tuan rumah SUKMA IX 2002 ini. Di samping itu, saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.B. Dato’ Hishammuddin Bin Tun Hussien, Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang telah memberikan sokongan, nasihat dan kerjasama yang jitu terhadap pengelolaan SUKMA IX, yang julung-julung kali diadakan di Sabah.

Dan kepada semua jentera penggerak dan pelaksana SUKMA ke-9, saya ucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan menganjurkan Majlis yang bersejarah dan berwarna warni pada malam ini.

Kepada semua atlet yang bertanding dalam SUKMA Ke-9 ini, saya berharap anda semua akan bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi. Seperti yang kita semua maklum, Sukan Malaysia yang dianjurkan sejak 18 tahun yang lalu, bukan sahaja satu arena untuk pertandingan semata-mata tetapi ia juga merupakan gelangang ukuran pertandingan bagi memilih atlet yang terbaik serta berpotensi bagi mewakili Negara di peringkat antarabangsa. Semenjak kejohanan Sukan Malaysia diadakan, ia telah melahirkan atlet-atlet bertaraf kebangsaan dan antarabangsa seperti Alex Lim Keng Liat, Elvin Chia dan Martin Guntali. Selain itu, nama-nama seperti Nicol Ann David, Amirul Hamizan Ibrahim, Ng Shu Wai, Mohd. Hafiz Hashim, Chew Choon Eng, Chan Chong Ming, Ang Li Peng, Lim Pek Siah, Siti Zalina Ahmad dan ramai lagi, juga adalah kelahiran SUKMA yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Saya berharap agar semua atlet yang menyertai SUKMA ke-9 ini akan menunjukkan mutu sukan yang terbaik supaya ia menjadi satu kebanggaan bagi semua rakyat Malaysia.

Saya juga ingin berpesan kepada para atlet supaya jangan terlalu cepat kecewa jika gagal meraih sebarang kemenangan dalam sukan yang dipertandingkan. Kalah atau menang memang merupakan lumrah adat pertandingan dan selagi kita berpegang kepada semangat kesukanan maka objektif sebenar SUKMA akan tercapai. Perlu juga diingatkan bahawa kegagalan itu sebenarnya adalah merupakan satu proses untuk mencapai kejayaan. Walaupun tujuan masing-masing ke SUKMA Ke IX Sabah 2002 ini adalah untuk menang, kita juga jangan lupa untuk memanfaatkan peluang yang ada ini untuk kenal mengenal antara satu dengan yang lain. Dengan cara ini juga kita dapat membantu memperluas serta mengeratkan lagi integrasi national di kalangan rakyat Malaysia, negara Brunei dan Wilayah Utara Australia yang terdiri daripada berbagai bangsa, agama dan kepercayaan.

Akhir kata saya mengucapkan Selamat Bertanding dengan penuh rasa harmoni sesuai dengan perpaduan nasional yang kita pupuk dan semai di kalangan atlet-atlet muda untuk terus berusaha dan maju ke hadapan untuk mengharumkan nama negeri dan negara di persada sukan dunia. Saya juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada penaja-penaja yang telah bermurah hati untuk menghulurkan bantuan kepada penganjuran SUKMA ke-9 ini. Kepada semua kontinjen dari seluruh Malaysia, Brunei dan Wilayah Utara Australia, sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas penyertaan dalam SUKMA ke-9 Sabah 2002.Sekian, dan terima kasih.

"MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA"