Latar Belakang

: Dikemaskini
: 30 January 2020

Latar Belakang


Kerajaan Negeri Sabah telah menubuhkan KO-NELAYAN pada tahun 1978 dan mendaftarkannya di bawah Ordinan Syarikat Kerjasama Negeri Sabah 1958 sebagai Koperasi Serbaguna Nelayan Sabah Berhad dan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Ketua Menteri. Namun pada tahun 1981, sebuah badan berkanun telah diwujudkan dan dikenali sebagai KORPORASI KEMAJUAN PERIKANAN DAN NELAYAN SABAH (KO-NELAYAN) yang ditubuhkan di bawah Enakmen Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-NELAYAN) (No.4/81). Penubuhan tersebut berkuat kuasa pada 1 Mei 1981 dan pendaftaran awalnya sebagai sebuah koperasi telah dibatalkan pada 30 Jun 1981. Matlamat Korporasi adalah untuk memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat nelayan di Sabah, khususnya yang miskin; untuk memajukan dan membantu dalam penubuhan syarikat-syarikat kerjasama nelayan; untuk meningkatkan pengeluaran perusahaan perikanan dan mempercepat kemajuan akuakultur; untuk menggalakkan cara-cara menangkap ikan yang moden, progresif dan bertaraf perdagangan; dan untuk menaja dan memajukan sekumpulan peniaga tempatan yang mahir dalam memberikan perkhidmatan sokongan termasuk pemprosesan, pemasaran dan pembahagian, dalam perusahaan perikanan. Penubuhan Badan Berkanun Negeri ini adalah untuk membolehkan operasi dan aktiviti kerajaan dapat dilaksanakan dengan cekap dan sistematik di bawah peraturan yang telah ditetapkan. Dengan peranan sedemikian, KO-NELAYAN telah dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Sabah selaku agensi pelaksana semenjak tahun 1980. Fungsi Korporasi adalah untuk mengusahakan projek perikanan dan akuakultur dengan menekankan kemajuan masyarakat nelayan; mewujudkan pekerjaan dan peluang-peluang ekonomi yang mendatangkan hasil bagi masyarakat nelayan; menubuhkan projek perniagaan dalam bidang perikanan dengan sendiri atau secara usaha sama dengan pihak berkuasa awam yang lain, syarikat awam atau swasta atau nelayan; mengusahakan pemprosesan dan pemasaran semua hasil perikanan termasuk import dan eksport; mengusahakan perkhidmatan pengangkutan, dan mengadakan kemudahan kredit bagi perusahaan perikanan; menubuhkan suatu agensi pemasaran bagi mengusahakan pemasaran semua hasil perikanan termasuk eksport dan import; menaja rancangan sosial seperti pemakanan, perkhidmatan kesihatan, perkembangan penduduk, kawalan alam sekitar, perumahan, pelajaran prasekolah dan dewasa yang lebih baik dan rancangan sosial yang lain bagi masyarakat nelayan; melakukan semua tindakan dan perkara yang lain sebagaimana yang perlu dan mustahak bagi mencapai maksud-maksud korporasi; memajukan, membantu, menyokong, mengusahakan, mendorong dan menggalakkan semua pembangunan ekonomi dan sosial mana-mana pertubuhan nelayan di negeri ini atau menguruskan apa-apa perkara yang berkaitan dengannya; dan membantu dalam pendaftaran, kawalan dan penyeliaan mana-mana pertubuhan nelayan yang ditubuhkan di bawah Akta Persatuan Nelayan, 1971, di negeri ini dan menguruskan apa-apa perkara yang berkaitan dengannya.


Wisma Pertanian Sabah, Kota Kinabalu