Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Khairi Hassan menjelaskan, ia dibuktikan apabila Perlis menggunakan empat jenis benih anggur yang tidak sesuai dijadikan wain atau arak. ``Bukan semua jenis benih anggur sesuai dijadikan wain atau arak,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini. Khairi memberitahu, projek tanaman anggur di negeri ini bertujuan mempelbagaikan hasil pengeluaran buah-buahan selain mewujudkan industri hiliran yang tidak berkaitan dengan wain atau arak. Menurut beliau, pihaknya yakin Perlis mampu menjadi pengeluar anggur utama negara berdasarkan faktor iklim dan kesesuaian tanah di negeri ini. Sehubungan itu jelasnya, Perlis merancang untuk memperluaskan kawasan tanaman anggur sehingga 1,000 hektar dalam tempoh lima tahun lagi. Bagi mencapai sasaran itu katanya, kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Pada masa ini menurut beliau, Perlis mempunyai 10,000 pokok anggur yang ditanam di kawasan seluas 100 hektar di Sungai Batu Pahat. Selain itu tambah beliau, Perlis menghantar dua rombongan yang terdiri daripada pegawai pertanian dan petani ke Thailand untuk mempelajari teknik-teknik penanaman anggur pada September dan bulan lalu. Menurutnya, projek penanaman anggur dijangka dapat diperluaskan ke seluruh negeri pada tahun depan sama ada kepada petani atau industri kecil dan sederhana (IKS). Dalam pada itu, Khairi berkata, Jabatan Pertanian negeri sedang giat berusaha untuk mengeluarkan benih-benih anggur bermutu yang mencukupi bagi menampung keperluan.
|