********************************************************
TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com
********************************************************
SIRI 4 :
BERBUKA PUASA
"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan
dalam berbuka." -HR Bukhari Muslim
Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan
waktu berbuka puasa. Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa
disunatkan agar menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak
daripada mereka yang menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya
agar tidak tergesa-gesa ketika berbuka puasa. Makanlah dengan sewajarnya
namun janganlah pula sehingga habis waktu untuk menunaikan solat
Maghrib. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud:
"Apabila makanan telah
dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu
tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu." -HR Bukhari Muslim
Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana
Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa.
Sebaiknya hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah
dilakukan pada masa lalu. Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak
berbuka puasa wajib tetapi juga ketika berpuasa sunat.
Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka,
iaitu:·
-
"Allahumma laka shumtu wa 'alaa
rizqika afthartu."
(Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)
-
"Alhamdulillahiladzi a'aanani
fashumtu wa razaqani fa afthartu."
(Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup) berpuasa
dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)
-
"Allahumma laka shumnaa wa 'alaa
rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa innaka antas samiiul 'aliim."
(Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, maka
terimalah (puasa) dari kami. Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui)
-
"Allahumma inni as 'aluka bi
rahmatikallati wasi'at kulla syai'in antaghfiralii."
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang luasnya
meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)
Walau bagaimanapun, menurut Imam Nawawi
dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka puasa tiada yang sahih.
Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa apa sahaja
sesuai dengan keinginan mereka. Namun
sebagai manusia biasa, adakalanya doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah
SWT. Jika hal ini berlaku maka kita hendaklah mengkaji di mana kesilapan
kita. Mungkin juga makanan atau minuman yang kita ambil datang daripada
sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa kita dimakbulkan
ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.
Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti
dalam melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan
yang kita anggap sebagai kecil dan remeh-temeh. Masalah tidak akan
timbul jika kita menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum
ianya menjadi lebih besar.
Selamat berbuka dan wassalam.