********************************************************
TAZKIRAH KHAS RAMADHAN - dari shukur.com
********************************************************
SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR &
TAMAR
“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan
Muslim
Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan
berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan
sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era
globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya
sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap
dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh
Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.
Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah
yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya
jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak
bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga
adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan
doa mereka.
Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali
ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk
mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi
berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.
Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan
puasa, yang antara lainnya ialah:
· Menuruti sunnah;
· Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
· Menambah kekuatan untuk beribadat;
· Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
· Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
·
Mendapat peluang untuk mengingati
Allah dengan berzikir dan berdoa.
Namun, kita tidak digalakkan
untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur.
Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa
pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit
pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan
ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma
adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah
SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.
Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan
sahur bagi
orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi
Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk
bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun
memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.
Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu
menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan
Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu
adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.
Selamat bersahur dan wassalam.