TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, MAJLIS PERASMIAN SUKAN KOMUNITI BSKN DAN

LARIAN SIHAT 1 MALAYSIA 2017, PADA 29 OKTOBER 2017

DI KEM PLKN BAGAI BUDI, SANDAKAN.

 

Bersyukur kita kehadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama sempena Program Sukan Komuniti BSKN 2017 dan Program Hari Kerjaya serta Showcase Kem PLKN Bagai Budi Sandakan. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas jemputan untuk melancarkan program pada hari ini.

 

Saya menyambut baik usaha menganjurkan program seumpama ini. Ia merupakan satu inisiatif yang baik antara Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan Kem PLKN Bagai Budi Sandakan untuk mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara para peserta dan masyarakat khususnya di sekitar kawasan ini. Dalam masa yang sama, ia juga memberi peluang kepada masyarakat umum termasuklah generasi muda untuk melihat dan merasai peluang dan suasana di Kem PLKN ini.

 

Saya percaya menerusi PLKN dan dengan adanya penganjuran program ini, ia dapat menarik minat dan penglibatan generasi muda untuk menjadi warga yang lebih cergas dan sihat. Selain itu, ia juga dapat memupuk semangat bersatu padu, bekerjasama, meningkatkan lagi semangat cintakan negara dan patuh kepada ajaran agama. Akhir kata, saya berharap semoga matlamat murni penganjuran program ini akan tercapai. Sekian.