TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI WARGA EMAS KEBANGSAAN PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2017

PADA 26 OKTOBER 2017, DI DEWAN SEBAGUNA SIPITANG, SABAH.

            

 

 

Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas jemputan untuk bersama-sama dalam Majlis Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah, 2017, yang diadakan di Daerah Sipitang pada kali ini. Saya mengucapkan syabas kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah khususnya Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan Jawatankuasa Pelaksana atas komitmen menganjurkan majlis yang sungguh istimewa khususnya kepada golongan warga emas yang kita raikan pada hari ini.

 

Sambutan Hari Warga Emas jelas membuktikan pengiktirafan dan penghargaan serta keprihatinan Kerajaan kepada Warga Emas atas sumbangan yang telah dicurahkan selama ini. Sesungguhnya pengalaman, kepakaran serta nasihat dan bimbingan warga emas telah banyak membantu Kerajaan dan masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara dalam pelbagai aspek. Walaupun kini tidak lagi berkhidmat atau aktif seperti dulu, namun mereka tetap memberikan sumbangan sama ada secara langsung atau tidak kepada keluarga dan masyarakat setempat.

 

Sebagai Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kita tidak pernah lupa, malahan sentiasa mengambil berat akan keperluan setiap lapisan rakyat terutama golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik. Justeru, Kerajaan akan terus menambahbaik sistem penyampaian bantuan kepada golongan sasar sama ada kepada individu mahupun keluarga yang kurang berkemampuan atas faktor  kesihatan, kecacatan dan kematian.

 

Kerajaan telah, sedang dan akan terus melaksanakan pelbagai Dasar dan agenda untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan warga emas sentiasa terpelihara. Antaranya menerusi Bajet Negeri yang pada setiap tahun menyalurkan peruntukan yang besar kepada kementerian dan jabatan berkaitan serta persatuan-persatuan warga emas di seluruh negeri.

 

Di samping itu, pada tahun ini juga, Kerajaan memperuntukan sebuah dana khas sebagai tambahan kepada peruntukan dalam Bajet Negeri, iaitu sebanyak  RM5 juta untuk menyantuni keperluan orang warga emas yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

 

Sesungguhnya, kesemua usaha ini jelas membuktikan bahawa golongan warga emas sentiasa dekat di hati Kerajaan. Kita akan terus memastikan bahawa tidak ada kelompok masyarakat yang tertinggal daripada menikmati pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan. Mereka yang kurang bernasib baik tidak akan terpinggir atau tersisih. Sebaliknya, akan terus mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada Kerajaan.

 

Melalui majlis ini juga, saya berharap agar ia dapat meningkatkan lagi kesedaran kepada generasi muda khususnya untuk terus menghargai, menghormati, mencontohi pengorbanan dan sumbangan warga emas kepada pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

 

Akhir kata, syabas dan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna khususnya Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah bersama-sama dengan jawatankuasa yang terlibat atas usaha yang murni menjayakan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Sabah. Sekian.