TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA UPACARA PECAH TANAH PROJEK PEMBANGUNAN MAKTAB RENDAH SAINS MARA (MRSM) RANAU DAN PERASMIAN PEMBANGUNAN ASRAMA HARIAN LUAR BANDAR PULAU BALAMBANGAN TAJAAN PETRONAS, PADA 26 OKTOBER 2017

DI KOMPLEKS SUKAN RANAU, RANAU.

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama sempena Pelancaran Projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan seterusnya merasmikan Asrama Luar Bandar Sekolah Kebangsaan Pulau Balambangan, Kudat.  Saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS atas jemputan untuk saya hadir seterusnya melancarkan program ini.  Kerajaan Negeri sentiasa menghargai usaha-usaha PETRONAS.

 

Ini termasuklah program-program kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang disumbangkan oleh PETRONAS dalam menjayakan apa juga program dan inisiatif demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Pada bulan Januari lalu, kita bersama-sama dalam Program “Planting Tomorrow”, Program “Food Basket” dan “Program Pembangunan Belia”, di Kota Marudu dan pada hari ini dalam program yang berkaitan dengan kepentingan pendidikan dan masa depan generasi muda kita.

 

Saya juga mengalu-alukan inisiatif dan kolaborasi pelbagai pihak yang ditunjangi oleh Inisiatif Perkongsian Awam Swasta antara Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS dalam menjayakan usaha yang murni seperti ini.

 

PETRONAS telah memberikan banyak sumbangan untuk rakyat dan negeri Sabah.  Antaranya termasuklah pembangunan industri carigali minyak laut dalam, projek Sabah Oil and Gas Terminal di Kimanis (SOGT), projek Sabah Ammonia-Urea (SAMUR) di Sipitang yang meletakkan Sabah sebagai antara lokasi pelaburan utama industri minyak dan gas negara. Selain memantapkan ekonomi dan menyuntik pelaburan terutamanya berkaitan industri minyak dan gas, PETRONAS turut bersama-sama membantu masyarakat dalam pebagai aspek, terutamanya berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan, kesejahteraan masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar. Umpamanya menerusi kerjasama erat PETRONAS dan Yayasan Sabah untuk memulihara kawasan Hutan Hujan Imbak Canyon yang berkeluasan 30,000 hektar, termasuk pembinaan sebuah pusat penyelidikan dan kajian saintifik di kawasan tersebut.

 

Demikian juga dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran menerusi All About Youth yang  telah beberapa kali mengiktiraf keupayaan dan kreativiti anak-anak Sabah, selain juga dengan pembinaan Kimanis Training Centre yang memberi peluang kepada anak-anak muda Sabah untuk menceburi bidang minyak dan gas.

 

Apa yang penting adalah kesungguhan dan iltizam anak-anak kita untuk memanfaatkan kesemua peluang yang disediakan oleh PETRONAS dalam bidang-bidang yang berkaitan. Contohnya, dengan pembinaan MRSM ini dan Asrama Harian Luar Bandar di SK Pulau Balambangan, Kudat akan dapat membantu anak-anak kita untuk menimba ilmu tanpa perlu risau memikirkan jarak yang jauh untuk ke sekolah. 

Kepentingan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat merupakan agenda yang sentiasa dekat di hati sanubari kita. Selain peruntukan kerajaan, kita juga amat menghargai keprihatinan dan usaha murni PETRONAS menerusi CSR untuk kita saling membantu dan saling melengkapi usaha-usaha kerajaan dalam mencapai matlamat pembangunan dan kesejahteraan untuk rakyat di seluruh negeri.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PETRONAS dan semua pihak yang terlibat. Semoga kerjasama, usaha murni dan keprihatinan ini akan diteruskan dan diperluaskan lagi ke seluruh pelosok negeri untuk membantu golongan yang memerlukan sekaligus menyumbang ke arah memacu pembangunan dan kemajuan negeri Sabah pada keseluruhannya. Sekian.