TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH MASJID AR-RAHMAN DAERAH RANAU, PADA 26 OKTOBER 2017

 

Marilah kita memanjatkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan inayah-Nya juga, kita dapat bersama-sama di perkarangan masjid ini untuk melancarkan pembinaan semula Masjid Ar-Rahman, pekan Ranau ini.  Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas jemputan ini. Dalam lawatan sebelum ini (2015), saya telah meninjau kerosakan yang berlaku akibat gempa bumi yang telah melanda daerah Ranau. Alhamdulillah, hari ini saya datang untuk melancarkan pembinaan semula masjid ini.

 

Kerajaan sememangnya mengambil berat kesulitan masjid ini yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Pekan Ranau akibat kerosakan untuk melaksanakan tanggungjawab beribadah dan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan. Justeru, Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi membina semula masjid ini. Sebenarnya peruntukan ini telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan secara terus dan mengambil sedikit masa atas beberapa sebab.

 

Pertama: Memandangkan bahawa Daerah Ranau berada dalam jajaran kejadian gempa bumi, maka Kerajaan telah memutuskan supaya pembinaan semula masjid ini hendaklah dilengkapi dengan teknologi yang mampu menahan impak gegaran gempa bumi. Oleh kerana Malaysia belum mempunyai standard teknologi ini, maka Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa membuat kajian dengan mengambil kira pengalaman negara-negara yang sering dilanda gempa bumi, seperti Taiwan dan Jepun.

 

Kedua: Pelan bangunan dan keperluan bahan bangunan yang disediakan oleh JKR terpaksa diubahsuai beberapa kali bagi memastikan masjid ini kelak akan dapat mengurangkan risiko kecederaan akibat gegaran gempa bumi. Justeru, kelewatan sedikit dalam pembinaan semula masjid ini adalah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para jemaah dan kekukuhan binaan masjid ini dalam jangka masa panjang.

 

Apabila siap kelak, Masjid Ar-Rahman merupakan masjid yang pertama di Malaysia yang menerapkan sepenuhnya teknik binaan sismik. Mudah-mudahan pengalaman daripada teknologi yang diadaptasi dalam pembinaan masjid ini kelak akan dapat menyumbang dalam menyediakan “Malaysian standard for earth quake resistant building design code” yang komprehensif dan boleh diguna pakai di seluruh negara.

 

Selain itu, bangunan masjid yang baru kelak akan menampilkan ciri-ciri masjid moden yang menepati fungsi masjid sebagai pusat komuniti dan kecemerlangan ummah. Bangunan masjid baru ini juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan solat, ruang serba guna, bilik mesyuarat, dewan galeri, tempat riadah dan istirehat. Di samping itu, masjid ini juga adalah berkonsepkan teknologi hijau dengan kapasiti sehingga 2,800 jemaah.

 

Inilah cara dan pendekatan kita dalam kerajaan BN. Kita bukan sahaja membina atau menaiktaraf pembangunan fizikal, tetapi juga mementingkan aspek pembangunan keagamaan dan kerohanian rakyat, dengan menyediakan rumah ibadat seperti masjid yang serba lengkap dan selesa untuk umat Islam. Oleh kerana kedudukannya yang strategik dalam kawasan perjalanan dan persinggahan utama, saya berharap agar masjid ini akan sentiasa dijaga dan diselanggara supaya sentiasa dalam keadaan bersih, indah dan menarik, sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah serta menjadi satu lagi mercu tanda perkembangan syiar Islam di daerah Ranau.

 

Akhir kata, menjadi harapan kita agar pembinaan semula masjid ini berjalan dengan lancar untuk kemudahan dan keselesaan umat Islam khususnya di sekitar kawasan ini. Semoga segala usaha kita ini diberkati Allah SWT. Sekian.