TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2017 PERINGKAT NEGERI SABAH, PADA 12 OKTOBER 2017 (KHAMIS), DI DEWAN AMIL JAYA, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA CAWANGAN SABAH, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 (BBK) Peringkat Negeri Sabah. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah atas jemputan untuk saya hadir seterusnya merasmikan program ini.

 

Bahasa merupakan tunggak yang mendasari sistem berkerajaan. Bahasa kebangsaan berfungsi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi. Keupayaan Bahasa Melayu dalam sistem bernegara telah terbukti sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu apabila bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran, bahasa ilmu tinggi, bahasa perdagangan, dan bahasa komunikasi umum.

 

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memuji dan mengalu-alukan pelbagai usaha dan inisiatif DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menjadikannya sebagai citra bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri dan kekuatannya tersendiri.

 

Dalam konteks sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini, saya yakin ia merupakan satu pendekatan yang signifikan untuk terus menyemarakkan rasa kecintaan dan kemegahan rakyat Malaysia khususnya golongan muda terhadap Bahasa Kebangsaan. Semangat cinta akan Bahasa Kebangsaan perlu disemai secara kreatif dan terus-menerus, agar rakyat sentiasa memartabatkan Bahasa Melayu sebagai unsur penting dalam pembentukan tamadun bangsa Malaysia.

 

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan merupakan salah satu pemangkin dalam mengukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum. Hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan untuk mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara.

 

Bagi menjayakan matlamat ini, kita perlulah memainkan peranan masing-masing untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan yang menjadi wadah perpaduan rakyat. Semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan tanpa mengira perbezaan kaum mahupun status sosial.

 

Globalisasi mendominasi dan mewarnai perubahan pemikiran dan corak kehidupan rakyat. Bagaimanapun, perubahan ini perlulah ditangani dengan bijaksana.  Kita tidak mahu dalam proses memacu pembangunan dan kemajuan, Bahasa Melayu dipinggirkan. Saya yakin bahawa kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan yang dipupuk sejak peringkat awal lagi mampu menjadikan generasi muda kita mempunyai jati diri yang teguh. Oleh itu, program seperti ini mestilah dilaksanakan dengan semangat dan keterlibatan segenap lapisan rakyat sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

 

 

Suka saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak tuan-tuan dan puan-puan agar terus membentuk keperibadian kebangsaan melalui Bahasa Kebangsaan. Saya juga berharap semoga program seumpama ini tidak dijalankan secara bermusim, misalnya pada bulan bahasa sahaja, tetapi dilaksanakan secara berterusan kerana usaha menanam rasa megah bahasa kebangsaan bukanlah sifatnya bermusim. 

 

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pelaksana Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Sabah, dan semua pihak yang terlibat. Semoga matlamat kita untuk memperkasa Bahasa Kebangsaan melalui program dan aktiviti yang melibatkan seluruh masyarakat, akan dapat dicapai, sesuai dengan tema Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini, iaitu Bahasa Jiwa Bangsa. Sekian.