TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH MAJLIS JAMUAN NEGERI SEMPENA HARI JADI RASMI TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH KE-64 PADA 07 OKTOBER 2017, DI DEWAN BANKUASI

PUSAT PENTADBIRAN NEGERI SABAH, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, dengan adanya kestabilan politik, kemakmuran sosial dan ekonomi di negeri ini,  rakyat terus mengecap nikmat pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang. Semua ini berkat bimbingan Tuan Yang Terutama Tun dalam mencetuskan semangat dan iltizam kepada para pemimpin dan rakyat agar sentiasa bekerjasama, bermuafakat dan bersatu padu.

 

Oleh itu, amat penting bagi kita menggembleng segala usaha dan tenaga untuk terus memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi, serta meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Antaranya menerusi pelaksanaan program-program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) serta program-program di bawah Dasar Transformasi Nasional.

 

Bagi memastikan setiap projek pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat, saya menyeru agar semua ketua jabatan dan agensi pelaksana untuk sentiasa membudayakan amalan integriti dan akauntabiliti serta tadbir urus yang cekap dalam menunaikan tangggungjawab yang diamanahkan.

 

Ini termasuklah memantau dan memastikan setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan golongan sasar di peringkat akar umbi. Aspek ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap masa agar rakyat sentiasa memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, adil dan telus di semua peringkat.

 

Kerajaan komited untuk terus melaksanakan pendekatan, strategi dan agenda pembangunan secara holistik. Kita juga mengamalkan pengurusan perbelanjaan dan sumber-sumber negeri secara berhemah, bagi memperkukuhkan lagi fundamental ekonomi dan kedudukan kewangan negeri termasuklah dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

 

Justeru, saya menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan agar sentiasa mengendalikan pengurusan kewangan sektor awam secara teratur, cekap dan berkesan. Di samping itu, kita juga perlu mengaplikasikan penyampaian perkhidmatan yang cepat, cekap dan telus dengan berpaksikan kepada prinsip-prinsip 'value  for money' dan menghapuskan unsur-unsur pembaziran dan pemborosan. Saya percaya, sekiranya amalan ini kita budayakan dalam organisasi dan kerja seharian, prestasi kewangan akan bertambah cekap dan berupaya meningkatkan daya saing kita.

 

Bagi memastikan kejayaan tersebut, sudah tentu ia memerlukan sokongan yang padu dan jitu daripada semua pihak termasuklah dalam kalangan pemimpin, anggota perkhidmatan awam, sektor swasta dan rakyat pada keseluruhannya. Saya yakin, bahawa dengan sokongan jitu dan kerjasama padu yang berterusan, Insya-Allah kita akan dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab ini demi kesejahteraan kita dan generasi yang akan datang.

 

Dalam masa yang sama, aspek keselamatan negeri akan terus kita perkukuhkan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan negeri dan rakyat sentiasa terpelihara. Untuk itu, marilah kita bersama-sama memelihara, mengekalkan dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan, kesatuan dan keharmonian sesama kita, yang menjadi tonggak kejayaan kita selama ini. Sekian.