TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK KE-4, PADA 10 OKTOBER 2017

DI TH HOTEL, KOTA KINABALU.

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Seminar Antarabangsa Psikolinguistik kali Ke-4. Saya berasa gembira kerana sekali lagi pihak penganjur memilih Sabah sebagai tempat seminar ini, selepas penganjurannya di negeri ini pada tahun 2010.

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Datang Ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu kepada semua peserta seminar antarabangsa. Semoga tuan-tuan dan puan-puan dapat melihat kemakmuran dan keharmonian rakyat serta menikmati keindahan dan keunikan Negeri Sabah yang bertuah ini.

 

Syabas dan tahniah kepada pihak Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dan Persatuan Psikolinguistik Malaysia serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang berjaya menyediakan platform kepada para pendidik, penyelidik dan masyarakat untuk menggembleng tenaga dan idea dalam usaha memajukan negara melalui ilmu dalam bidang psikolinguistik.

 

Tentunya, permuafakatan menerusi seminar ini akan menzahirkan semangat kerjasama yang mantap dari segi perkongsian idea, teori dan model dalam bidang psikolinguistik, seterusnya diterjemahkan untuk kita mengintensifkan usaha membentuk masyarakat maju dan berintegrasi.

 

Kerajaan Negeri berpendapat bahawa seminar ini amat relevan dan signifikan kepada rakyat Malaysia khususnya di Sabah yang memang sinonim dengan keharmonian dan perpaduan rakyatnya yang berbilang suku kaum, etnik, agama dan budaya. Dalam konteks ini, bahasa memainkan peranan yang paling asas dan memerlukan mekanisme yang mantap bagi menjayakan pembentukan sebuah negara bangsa yang cemerlang.

 

Saya yakin, pemilihan tema seminar iaitu ‘Kepelbagaian Bahasa dan Pemikiran dalam Masyarakat’, amat bertepatan dan sesuai pada masanya kerana aktiviti keilmuan yang disemarakkan pada seminar ini tidak seharusnya terfokus pada kepentingan ilmu semata-mata atau penerokaan ilmu baharu, tetapi lebih jauh daripada itu. Kita harus berusaha untuk memantapkan ilmu yang dapat memperkukuh kemajuan masyarakat dalam pelbagai bidang supaya kita mampu berdaya saing dan mencapai taraf negara maju menjelang 2050. 

 

Pembangunan modal insan merupakan antara fokus kita dalam Halatuju Negeri. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri akan terus melipatgandakan lagi usaha untuk menyokong dan memacu pencapaian dan kecemerlangan dalam aspek ini. Saya percaya seminar juga turut menjadi wadah untuk memperkasa pembangunan modal insan dengan meningkatkan penelitian ilmiah dan penataran hasil penyelidikan tentang bahasa dan kemahiran berfikir dalam membentuk tamadun tinggi sebagaimana yang dihasratkan.

 

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas penganjuran seminar ini. Saya percaya ia bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu menggunakan pendekatan psikologi dan linguistik, bahkan berupaya memartabatkan bahasa sebagai wadah terbaik bagi mengintegrasikan perbezaan serta kepelbagaian demi memantapkan lagi kesatuan dan keharmonian sesama kita. Sekian.