TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGKUISTIK IV (SEAPSIL IV), PADA 10 OKTOBER 2017 DI HOTEL MING GARDEN, KOTA KINABALU.

 

 

Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas jemputan ke Majlis Makan Malam sempena Seminar Antarabangsa Psikolingkuistik IV (SEAPSIL IV). Bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah, saya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran para delegasi dan peserta program ini ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu.

 

Sesungguhnya pemilihan Negeri Sabah sebagai tuan rumah kepada majlis ilmu yang bertaraf antarabangsa ini, merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan tinggi kepada usaha kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan yang berilmu, cemerlang dan bersahsiah murni.

 

Kerajaaan Negeri Sabah sentiasa mengalu-alukan dan komited menjayakan penganjuran program-program seperti ini dalam usaha memajukan negeri dan rakyat melalui pelbagai program. Apatah lagi, dengan kepelbagaian suku kaum dan etnik, agama dan budaya di negeri ini, sudah tentu ia amat relevan dalam usaha memacu hala tuju, meningkatkan tahap pemikiran rakyat di samping memantapkan jati diri.

 

Justeru, pengisian majlis ‘Sodop Popoguli Sunduan’ ini bukanlah sekadar untuk kita semua bertemu dan makan bersama. Apa yang penting adalah untuk kita bersama-sama mengeratkan lagi kerjasama dan silaturahim sesama kita. Ini termasuklah dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa yang selama ini berkorban masa dan berkongsi tenaga untuk menjayakan majlis ilmu ini.

 

Keunikan serta keharmonian rakyat Sabah yang berbilang kaum, etnik dan agama, telah mendapat pengiktirafan Y.A.B. Perdana Menteri yang menyifatkan ‘Sabah sebagai contoh terbaik semangat 1Malaysia’. Oleh itu, kami berharap agar tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan datang dan berkunjung semula ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu ini pada masa-masa akan datang.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Persatuan Psikolinguistik Malaysia (PERSIMA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Insitut Pendidikan Guru Kampus Gaya dan IPGM atas penganjuran seminar antarabangsa  ini dan terima kasih jemputan untuk bersama-sama dalam majlis makan malam ini. Sekian, terima kasih.