TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN GAYA ACADEMIC DECATHLON (GADE) 2017, PADA 30 SEPTEMBER 2017

DI DEWAN UTAMA IPG KAMPUS GAYA, KOTA KINABALU.

 

 

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas jemputan untuk merasmikan Majlis Penutupan Gaya Academic Decathlon (GADe) 2017. Saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur atas inisiatif mengadakan program seumpama ini.

 

Dengan tema GADe ‘Sport for The Brain’, saya percaya, ia sangat bersesuaian dengan matlamat program iaitu menguji kecerdasan dan kecergasan murid-murid lepasan UPSR. Dalam konteks ini, Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kolaborasi dan kerjasama seperti ini dengan mengadakan aktiviti yang memberi impak positif kepada anak didik kita. Ia juga berupaya untuk melahirkan modal insan yang seimbang seterusnya akan melonjakkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

 

Saya optimis menerusi program GADe ini, ia akan membantu menghasilkan murid yang holistik, bukan sahaja menonjolkan kebijaksanaan atau kepandaian individu tetapi menguji keupayaan, kesungguhan dan kemahiran yang pernah atau baharu dipelajari. Justeru, saya berharap agar pihak IPG Kampus Gaya akan menganjurkan program ini pada skala yang lebih besar seperti yang dianjurkan oleh institusi pengajian tinggi di dalam atau di luar negara.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada IPG Kampus Gaya atas penganjuran program ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua peserta. Semoga pengalaman dan kejayaan yang diperoleh menjadi sebahagian daripada pengalaman yang berharga untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang. Sekian.