TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA BIN HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, MAJLIS PERASMIAN MAKAN MALAM PENUTUPAN LATIHAN PEMANTAPAN KAWAD KECEKAPAN EMERGENCY RESPONSE TEAM (ERT) BOMBA PERINGKAT NEGERI SABAH 2017

PADA 30 SEPTEMBER 2017, DI THE KLAGAN GRAND BALLROOM

1BORNEO KOTA KINABALU.

 


Alhamdulillah, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah atas jemputan untuk merasmikan program ini serta meraikan ahli-ahli pasukan Emergency Response Team (ERT) sempena Latihan Pemantapan Kawad ERT Bomba.

 

Pada hemat saya, program ini amat penting sebagai satu keperluan untuk memperkukuhkan aspek keselamatan kebakaran di premis dan memberi kesedaran keselamatan kebakaran kepada penghuni premis.

 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah membuka dimensi baru dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Saya juga bersama kagum kerana warga Jabatan ini terus mengorak langkah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama.

 

Dalam konteks ini, saya menyambut baik usaha-usaha yang diambil oleh jabatan ini untuk melaksanakan transformasi dengan menggembleng penglibatan rakyat termasuklah golongan pekerja dan pemilik dalam menjaga keselamatan premis dan bangunan masing-masing.

 

Melalui sokongan, kerjasama dan penglibatan semua pihak, saya yakin usaha pembudayaan keselamatan kebakaran ini akan dapat diperluas dan dipertingkatkan lagi di seluruh negeri. Dengan pengalaman dan latihan seperti ini, ia membolehkan tuan-tuan dan puan-puan, para peserta sekalian, bersedia untuk memikul tanggungjawab membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam melaksana sebarang aktiviti kesedaran kesiapsiagaan awam dalam menghadapi sebarang kecemasan dan bencana.

 

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah atas usaha menganjurkan program ini. Semoga objektif program ini akan tercapai seterusnya mengeratkan lagi kerjasama dalam kalangan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ahli-ahli pasukan ERT. Sekian.