TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN,KETUA MENTERI SABAH PERASMIAN KONVENSYEN IMAM GHAZALI: MENGHIDUPKAN SEMULA TRADISI KEILMUAN ISLAM DALAM MENDEPANI CABARAN BAHARU, PADA 30 SEPTEMBER 2017, DI DEWAN AMIL JAYA, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA NEGERI SABAH

KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Program Konvensyen Imam Ghazali: Menghidupkan Semula Tradisi Keilmuan Islam Dalam Mendepani Cabaran Baharu. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan dan menyambut baik penganjuran konvensyen ini sesuai dengan kepentingan tamadun keilmuan dan perkembangan semasa.

 

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama. Justeru, keharmonian kaum dan agama merupakan aspek terpenting bagi menjamin keamanan negara dan kesejahteraan rakyat. Setiap agama sudah tentu mempunyai kepercayaan dan tradisi yang amat berbeza antara satu sama lain yang perlu diterima dan dihormati.

 

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, sering kali timbul dan tersebar perselisihan faham dan salah tanggapan mengenai isu-isu kaum dan agama seperti mana yang disiarkan media dan seringkali tular di media sosial.

 

Justeru, umat Islam bersama-sama dengan masyarakat lain yang berbilang kaum dan agama perlu terus bersatu padu dan bekerjasama untuk memastikan negeri kita berada dalam keadaan yang aman, harmoni dan maju. Di dalam Islam, kepelbagaian suku kaum ini mempunyai hikmah agar kita dapat saling kenal-mengenali antara satu sama lain bagi mewujudkan persefahaman dan perpaduan.

 

Al-Quran menuntut kita untuk menghayati amalan beragama yang sebenar termasuklah dalam konteks masyarakat majmuk di negara kita, khususnya di Negeri Sabah. Ini kerana Islam adalah agama yang murni dan universal, menggalakkan semangat perpaduan dan muhibah dan menentang apa juga anasir negatif yang cuba menggugat keharmonian hidup bermasyarakat.

 

Oleh itu, marilah kita menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, dengan memantapkan lagi tradisi keilmuan dan menangani apa juga cabaran yang melanda umat Islam.

 

Saya berharap agar konvensyen seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan dilaksanakan di seluruh negeri. Ini amat penting  agar kita dapat memberikan pendedahan kepada seluruh lapisan rakyat untuk membincang serta merumuskan pelan tindakan berkesan berdasarkan pengalaman dan panduan yang ditunjukkan oleh Imam Ghazali.

 

Saya juga menggesa agar lebih banyak program kelimuan yang mengangkat karya-karya Al-Ghazali untuk dibincangkan dan dijadikan agenda program keilmuan secara berterusan. Saya percaya dengan menghidupkan kembali tradisi keilmuan Islam, umat Islam akan menjadi contoh teladan terbaik dalam meningkatkan lagi pembangunan negeri dan negara pada keseluruhannya.

 

Akhir kata tahniah dan pengharhargaan saya ucapkan kepada pihak penganjur dan semua peserta konvensyen. Semoga usaha ini akan mencetuskan transformasi dan iltizam baru kepada kita untuk terus mendalami dan menghayati nilai-nilai ajaran Islam yang sebenar, seterusnya  mengaplikasikannya demi martabat umat Islam sebagai sebagai umat yang cemerlang di dunia dan di akhirat, InsyaAllah. Sekian.