TEKS UCAPAN Y.A.B  TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PROGRAM PROSPERNITA PUNB SABAH 2017 DENGAN KERJASAMA IKSnita SABAH, PADA 01 OKTOBER 2017

DI DEWAN TUN SAKARAN, HOTEL TABUNG HAJI, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi rasa puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat kita bersama-sama pada pagi ini sempena Program PROSPERNITA PUNB 2017 Peringkat Negeri Sabah yang dianjurkan bersama IKSnita Sabah. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) atas jemputan untuk saya  hadir ke program ini.

 

Syabas dan tahniah kepada PUNB dan IKSnita Sabah,yang menjadi ‘the voice for women entrepreneurs’ di negeri ini yang mewujudkan kerjasama dengan PUNB untuk merealisasikan program yang bermanafaat ini. Saya percaya ia bukan sahaja dapat mengeratkan lagi silaturahim, tetapi juga dapat menyediakan ruang kepada kita untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi kepakaran serta pengalaman jatuh bangun dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan.

 

Kita akui bahawa bukanlah suatu perkara yang mudah untuk membentuk seseorang individu menjadi usahawan. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menggerakkan usaha bagi memberi kesedaran betapa pentingnya kerjaya sebagai usahawan. Usaha melahirkan usahawan dalam kalangan wanita akan lebih berjaya dengan adanya penglibatan daripada para usahawan yang telah menempa kejayaan dalam perniagaan masing-masing. Saya percaya, usahawan-usahawan yang telah berjaya telah menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran sepanjang mengusahakan perniagaan mereka.

 

Sehubungan itu, penglibatan para usahawan yang telah berjaya ini boleh membantu terutama dalam konteks berkongsi pengalaman sehinggalah bergelar usahawan berjaya.  Selain itu, usahawan-usahawan yang telah berjaya ini juga boleh berkongsi maklumat serta idea dengan usahawan-usahawan baru tentang pelbagai pendekatan untuk memantapkan lagi institusi perniagaan masing-masing.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita menyambut baik dan mengalu-alukan program-program seumpama ini, untuk mengukuhkan lagi kedudukan dan penyertaan kaum wanita dalam pembangunan ekonomi negara. Dalam konteks ini, kita perlulah terus berusaha dengan tekun dan sabar sambil memperkenalkan lebih banyak program yang komprehensif untuk menggalakkan kaum Bumiputera menceburi bidang perniagaan.

 

Bertepatan dengan tema Program PROSPERNITA PUNB hari ini iaitu, ‘Wanita & Inovasi Dalam Perniagaan’, saya berkeyakinan bahawa setiap usahawan dan bakal usahawan wanita yang hadir hari ini dapat memanfaatkan segala tips dalam perbincangan program ini untuk lebih berdaya saing  dalam perniagaan selain dapat mengimbangi peranan mereka sebagai pengurus keluarga dan rumahtangga.

 

Justeru, gunakanlah peluang seperti ini, untuk mendapatkan maklumat mengenai program-program jaringan, kerjasama dan promosi perniagaan, seminar dan aktiviti-aktiviti keusahawanan  dengan Kerajaan dan agensi atau badan-badan pembangunan usahawan.

 

Akhir kata, saya percaya dengan sifat-sifat keusahawanan unggul seperti yakin kepada diri sendiri, berfikiran positif, jujur, berdisiplin tinggi, dan berani mencuba, anda semua mampu menjadi usahawan yang berjaya. Sekian.