TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH  PEKAN BARU ULU DUSUN GUM-GUM, SANDAKAN, PADA 2 OKTOBER 2017, DI KAWASAN LAPANG AGRO BAZAR, BATU 32, SANDAKAN.

 

Alhamdulillah, terlebih dahulu kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Pecah Tanah Pekan Baru Ulu Dusun Gum-Gum Sandakan. Sesungguhnya saya berasa gembira dan bersyukur kerana dapat turun padang untuk bersama dengan rakyat dalam satu majlis yang sungguh bermakna lagi bersejarah, khususnya kepada masyarakat di kawasan ini.

 

Syabas kepada Jawatankuasa Penganjur kerana telah berjaya menganjurkan majlis pada pagi ini. Tidak lupa juga saya ucapan tahniah kepada pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) dan jabatan serta agensi Kerajaan yang terlibat di dalam perancangan dan pembangunan Pekan Baru Ulu Dusun Gum-Gum, Sandakan ini.

 

Pembangunan Pekan Baru Ulu Dusun Gum-Gum Sandakan ini menjadi satu lagi bukti keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional dalam membawa kemajuan pembangunan untuk seluruh kawasan di negeri ini. Ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) bagi memastikan tidak ada kawasan mahu pun kelompok masyarakat yang tertinggal dalam menikmati pembangunan.

 

Saya yakin, pembangunan Pekan Baru ini nanti akan menyediakan banyak peluang untuk penduduk setempat meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing, selain dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan ini. Saya juga percaya, kewujudan Pekan Baru ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan Gum-Gum, malah masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran.

Cadangan pewujudan Pekan Baru Ulu Dusun telah mula dirancang pada tahun 1990-an lagi. Satu kawasan seluas 59.90 ekar telah dikenal pasti oleh Kerajaan untuk pembangunan Pekan Baru Ulu Dusun. Ianya terletak di persimpangan Batu 32 (Check Point) iaitu 50 kilometer dari Bandar Sandakan. Lokasinya telah dikenal pasti amat strategik untuk dibangunkan kerana terletak di laluan Kota Kinabalu-Lahad Datu dan Bandar Sandakan.

 

Pembangunan sedia ada yang terdapat pada masa ini adalah seperti RnR dan Gerai MPPB Sedcovest, Agro Bazaar, Stesen Penguatkuasa JPJ Batu 32 dan kedai-kedai persinggahan bas ekspress Kota Kinabalu-Sandakan-Lahad Datu. Di samping itu, terdapat juga pembangunan-pembangunan lain di sekitar pekan baru seperti kedai-kedai, stesen minyak dan sebagainya.

 

Di dalam Pelan Pekan Baru Ulu Dusun, jabatan dan agensi Kerajaan telahpun diperuntukkan tapak masing-masing dan akan dibangunkan mengikut perancangan program pembangunan di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Justeru, setiap Jabatan/Agensi Kerajaan berkenaan perlulah lebih peka dalam merancang setiap program pembangunan yang hendak dilaksanakan agar pelaksanaan pembangunan Pekan Baru Ulu Dusun ini berjalan dengan lancar untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

 

Di dalam RMK11 (2016-2020), sejumlah RM6,493,000.00 siling telah diluluskan oleh Kerajaan bagi menyediakan perumahan mampu milik sebanyak 43 unit di Pekan Baru Ulu Dusun ini. Cadangan pembangunan perumahan ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan dan ianya akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan setinggan untuk memiliki rumah mereka sendiri.

 

Suka saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan semua kawasan di seluruh pelusuk negeri ini, agar rakyat di kawasan bandar dan luar bandar dapat menikmati pembangunan hasil daripada kestabilan politik, kemajuan dan kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.

 

Untuk itu, saya berharap agar pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan pembangunan Pekan Baru Ulu Dusun ini iaitu, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan melaksanakannya dengan mengambil kira kehendak dan keperluan masyarakat setempat. Memandangkan kawasan Gum-Gum ini termasuk dalam kawasan luar bandar, maka inisiatif pembangunan pekan baru ini amatlah bertepatan dengan matlamat untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta merangsang dan memantapkan pembangunan ekonomi luar bandar ke tahap yang lebih tinggi dan mapan.

 

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada wakil rakyat, jabatan serta agensi Kerajaan dan pihak Swasta agar bekerjasama untuk membantu membangunkan pekan baru ini agar wawasan dan hasrat Kerajaan untuk mencapai negara maju dapat direalisasikan. Marilah kita sama-sama berdoa agar pelaksanaan pembangunan Pekan Baru Ulu Dusun ini berjalan dengan lancar dan siap mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.

 

Akhir kata, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Pekan Baru Ulu Dusun Gum-Gum Sandakan ini. Semoga program pembangunan terbaru Kerajaan di kawasan ini akan memberi faedah serta manfaat untuk rakyat seiring dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara khususnya negeri Sabah. Sekian.