TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN PESTA SUKAN MUHIBAH JKM 2017, PADA 20 SEPTEMBER 2017 (RABU), DI DEWAN SERBAGUNA WISMA TANAH DAN UKUR NEGERI, KOTA KINABALU.

 

Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya Jabatan Tanah dan Ukur selaku pengelola atas jemputan untuk saya merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri (JKM) kali yang ke-12 pada tahun ini.

 

Saya berasa bangga apabila dimaklumkan bahawa kejohanan pada kali ini lebih meriah dengan banyak acara dan penglibatan pasukan serta agensi berkanun di bawah Jabatan Ketua Menteri. Saya percaya, pesta sukan ini dapat mengeratkan lagi kerjasama, semangat kerja berpasukan dan kesukanan dalam kalangan warga kerja JKM, di samping menggalakkan dan membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti bersukan.

 

Sebagai organisasi utama yang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Ketua Menteri tentunya memerlukan tenaga kerja di semua peringkat perkhidmatan yang mempunyai kualiti kesihatan yang baik, sama ada secara fizikal mahu pun mental, supaya dapat memberi perkhidmatan yang cepat, tepat berkesan kepada rakyat dan pelanggan.

 

Dalam konteks ini, semangat berpasukan yang telah dipupuk sepanjang kejohanan ini boleh dijadikan sebagai budaya kerja bagi meningkatkan prestasi dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan di jabatan dan agensi masing-masing. Ini sudah tentu akan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan segala perancangan pembangunan di negeri ini.

 

Saya juga menyeru dan sentiasa mengalakkan anggota perkhidmatan awam khususnya warga JKM supaya meluangkan sedikit masa untuk bersenam seperti berjoging, berjalan, berenang dan sebagainya dalam jadual harian kita. Ini perlu bagi menjadikan tubuh badan kita sihat dan cerdas demi menghindarkan diri daripada pelbagai penyakit.

 

Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa memberikan galakan dan sokongan terhadap aktiviti sukan dan rekreasi kerana ia mampu menyumbang ke arah peningkatan kualiti kesihatan fizikal dan mental, khususnya kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan agensi-agensi di bawahnya.

 

Akhir kata, syabas dan penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha dengan gigih dan penuh komitmen bagi merealisasikan penganjuran kejohanan Sukan Muhibah JKM. Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua kontinjen yang terlibat bagi menjayakan kejohanan ini seterusnya memastikan sukan ini menjadi lebih meriah dan berjaya. Sekian.