TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA DAMAS PADA 23 SEPTEMBER 2017, DI DATARAN TAMU PEKAN BAHARU SUKAU KINABATANGAN.

 

Saya berasa bangga dan gembira kerana walaupun program ini berkaitan dengan warisan budaya dan tradisi bangsa Sungai, tetapi ia turut dihadiri masyarakat berbilang suku kaum dan etnik, termasuklah generasi muda. Bagi saya ini adalah satu petanda yang baik dan sangat positif kepada perpaduan rakyat dan kelangsungan budaya tradisi kita. Kita di Sabah telah menjadikan kepelbagaian suku kaum dan budaya di sini, sebagai satu kekuatan dan titik persamaan yang menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian.

 

Sememangnya amat penting untuk kita memelihara keunikan dan kepelbagaian budaya ini yang kita warisi daripada generasi terdahulu. Sehubungan itu, ruang dan peluang yang disediakan menerusi program Pesta Damas ini, perlulah dimanfaatkan untuk disertai oleh generasi muda bagi memastikan ia terus berkembang dan tidak luput ditelan perubahan zaman, bak kata pepatah, tidak lapuk dek panas dan tidak lekang dek hujan.

 

Selaras dengan Tema Pesta Damas Tahun ini, Memperkasa Budaya Meneraju Khazanah Bangsasaya yakin dan percaya bahawa dengan adanya kerjasama, penglibatan dan kehadiran rakyat dalam menjayakan program-program seperti ini, ia jelas membuktikan kesedaran dan sokongan padu rakyat terhadap usaha-usaha berterusan kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan, memelihara dan memartabatkan lagi kebudayaan, adat dan tradisi kebanggaan kita.

 

Memartabatkan budaya dan warisan tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada jabatan dan agensi yang berkaitan sahaja. Sehubungan itu, saya mengajak sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut memainkan peranan penting bagi menjayakan hasrat ini termasuklah menaja dari segi promosi dan usaha-usaha mengembangkan dan memelihara keunikannya.

 

Dalam konteks ini, ia boleh dijadikan sebagai salah satu elemen dalam menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat atau sektor swasta yang terlibat. Saya yakin dengan usaha kerajaan, dibantu oleh sektor swasta serta NGO serta penglibatan rakyat khususnya para belia, kita akan dapat menyemarakkan semula minat dan kecintaan rakyat terhadap budaya tradisi ini.

 

Alhamdulillah, dengan wujudnya kestabilan politik, semangat perpaduan dan sokongan rakyat serta komitmen kerajaan dalam menyokong dan menjayakan acara-acara kebudayaan di seluruh negeri, ia menjadi medan yang terbaik untuk kita memelihara adat budaya dan mengeratkan lagi semangat kekeluargaan dalam masyarakat. Menerusi pesta ini, kita dapat datang bersama-sama dengan ahli keluarga, anak-anak dan rakan taulan. Inilah semangat dan nikmat yang perlu kita hargai kerana ternyata ia banyak membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

 

Semoga Pesta Damas ini akan berupaya mengukuhkan dan meneguhkan lagi semangat perpaduan dan cintakan budaya khususnya dalam kalangan suku kaum Sungai pada keseluruhannya. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden SABAS dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan Pesta Damas ini. Sekian.