TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI 1439H/2017M, PADA 22 SEPTEMBER 2017

DI DEWAN SERBAGUNA LIBARAN, SANDAKAN.

 

 

Pada tahun ini sekali lagi kita mengadakan sambutan di luar bandar raya Kota Kinabalu iaitu di Daerah Sandakan. Ia untuk memberikan ruang dan peluang kepada umat Islam khususnya di Daerah Sandakan, Tawau dan Daerah-daerah yang berhampiran untuk mengimarahkan lagi sanbutan Maulidur Rasul SAW bersama-sama dengan saf kepimpinan di peringkat negeri. Saya percaya menerusi usaha dan pendekatan ini, ia dapat mengukuhkan lagi silaturahim dan ukhuwah sesama kita.

 

Sambutan Maal Hijrah ini bukan sahaja amat penting bagi mengimarah kehadiran tahun baharu dalam taqwim Islam, bahkan ia menjadi wadah kita untuk menyemarakkan semangat dan tindakan umat Islam di negeri ini untuk memperteguh solidariti ummah sebagai landasan mensejahterakan negara. Ia bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini, iaituKesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’. Tema ini digarap daripada konsep penyatuan ummah berasaskan ikatan ukhuwah Islamiah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam membina negara baharu di Madinah al-Munawarrah sesudah berhijrah dari Makkah al-Mukarramah.

 

Hijrah juga amat sinonim dengan golongan remaja dan generasi muda. Peristiwa Hijrah memperlihatkan peranan dan keberanian Saidina Ali yang masih muda belia itu.

 

Jelas betapa orang muda sangant berperanan dalam agenda pembangunan ummah. TN50 yang digagaskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri kita adalah agenda kemajuan masa depan negara yang menuntut peranan generasi muda hari ini.

 

Kejayaan TN50 ditentukan oleh remaja dan orang muda hari ini. Justeru, generasi hari ini hendaklah dipersiapkan dengan ilmu, iman dan akhlak. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan gejala yang boleh menyusahkan diri dan orang lain, bahkan boleh menjejaskan masa depan mereka. Apa yang berlaku terhadap tragedi di sebuah madrasah tahfiz baru-baru ini menunjukkan satu perbuatan segelintir anak remaja yang terjebak dalam dadah dan jauh dari nilai ilmu dan akhlak. Akibatnya, mereka sanggup melakukan tindakan yang tidak terbayangkan oleh kita, boleh dilakukan oleh remaja bawah umur.

 

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana begitu banyak nikmat dan rahmat yang dianugerahkan kepada rakyat dan negeri yang tercinta ini. Antaranya nikmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran. Begitu juga dengan wujudnya kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan keharmonian rakyatnya yang berbilang suku kaum, agama dan budaya.

 

Semua ini dapat kita nikmati dengan adanya semangat perpaduan, kesatuan dan  kerjasama bukan sesama kita umat Islam, bahkan juga antara rakyat yang berlainan kaum dan agama.

 

Sesungguhnya, perpaduan bukannya kata-kata retorik, perpaduan bukan tuntutan politik, tetapi perpaduan adalah perintah Allah SWT. Perpaduan juga menjadi inti yang amat penting dari hijrah Nabi Muhammad SAW. Ingatlah peringatan daripada Nabi kita dalam sabdanya yang bermaksud, ‘Janganlah kamu bertelingkah, jangan kamu saling berbalah, kerana golongan sebelum kamu bertelingkah, saling berbalah, akhirnya mereka musnah.’

 

Apa yang telah terjadi di sebahagian negara-negara Islam hari ini telah menunjukkan betapa benarnya peringatan Nabi kita sejak seribu lebih tahun dahulu. Apakah akibatnya apabila umat berpecah?

 

Pertama, kita akan lemah sehingga dengan sewenang-wenangnya dipermain-mainkan, diperlecehkan oleh orang lain. Kedua, pabila kita lemah, kita akan menjadi golongan terpinggir, hilang upaya, hilang kuasa, hilang maruah dan yang sangat menyedihkan syiar dan nilai agama kita tidak akan dapat kita tegakkan kerana kita lemah dan hilang kekuatan.

 

Lihatlah negara-negara yang musnah akibat perpecahan itu hari ini. Di manakah keselesaan mereka untuk beribadah sedangkan masjid dan ruang ibadat mereka hanya tinggal puing-puing batuan yang runtuh. Bagaimanakah mereka hendak tenang dan khusyuk beribadat sedangkan di kanan dan di kiri mereka dentuman senjata, tangisan kanak-kanak yang lapar kerana tiada sumber makanan. Hendak membeli makanan di mana? Sedangkan semua kedai dan restoran telah musnah. Hendak belajar dan bersekolah di mana? Sedangkan tadika, sekola malah universiti juga telah roboh dan runtuh.

 

Justeru, sebagai umat Islam kita tidak seharusnya leka dan lalai dengan apa kita kecapi pada hari ini. Kita perlu menghayati semangat dan pengertian Hijrah yang sebenar, berusaha dengan lebih gigih dan komited dalam menjayakan agenda pembangunan dalam pelbagai sektor dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi.

 

Apa yang penting adalah  semangat perpaduan dan kesatuan ummah melalui pendekatan kesederhanaan bagi membolehkan kita terus mengecapi nikmat kemajuan dan kemakmuran. Kita jadikan pengajaran penting daripada peristiwa Hijrah ini dengan menghindari perselisihan faham dan perpecahan. InsyaAllah, Semoga tahun 1439H membawa lebih banyak kejayaan, kecemerlangan dan kesejahteraan kepada umat Islam khususnya di negeri ini.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk dan Pelaksana serta semua ahli Jawatankuasa dan semua pihak yang menjayakan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah di Daerah Sandakan ini. Semoga komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan akan diberkati oleh Allah SWT. 

Sekian.