TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI WANITA PERINGKAT NEGERI SABAH 2017, PADA 23 SEPTEMBER 2017, DI GRAND BALLROOM, MAGELLAN SUTERA HARBOUR, KOTA KINABALU.

 

Sambutan Hari Wanita yang diadakan pada setiap tahun merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negeri.  Kerajaan sedar bahawa kaum wanita, seperti juga kaum lelaki, menggalas tanggungjawab yang sama penting sebagai pemangkin pembangunan dan rakan kongsi strategik kerajaan dalam mencapai hala tuju pembangunan negeri.

 

Dengan tema sambutan yang dipilih tahun ini ‘Women: Changing The Global Economy’, jelas menunjukkan betapa besarnya peranan wanita sehingga boleh merubah ekonomi global.  Sehubungan itu, wanita di negeri ini perlu lebih berani  menghadapi cabaran dunia ketika ini, meningkatkan kedudukan mereka di mata masyarakat, seterusnya memperkasakan peranan wanita dalam memberikan sumbangan ke arah pembangunan negeri dan negara.

 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Majlis Penasihat Wanita Sabah yang telah berjaya menganjurkan majlis TN50 & Wanita baru-baru ini. Lebih membanggakan, kita adalah antara negeri yang terawal mengadakan dialog TN50 bersama wanita. Bagi saya, suara dan aspirasi serta pandangan wanita amat penting dengan aspirasi lelaki dalam merangka dan menentukan masa hadapan negeri dan negara kita.

 

Seperti yang pernah saya katakan pada tahun-tahun sebelum ini, kita akan memberi ruang dan peluang pelantikan wanita untuk sesuatu jawatan itu berasaskan merit. Bila tiba masanya  dan bertepatan dengan keperluan perkhidmatan, saya pasti wanita akan tetap diberikan peluang yang sewajarnya, seperti pelantikan Peguam Besar Negeri Sabah yang baharu.

 

Dalam masa yang sama, saya juga menyarankan semua Badan Berkanun, agensi Kerajaan, serta syarikat berkaitan Kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah. Ini bertujuan untuk mencapai Dasar 30 peratus penyertaan wanita di peringkat Pembuat Keputusan dalam sektor korporat.

 

Kerajaan sentiasa dan akan terus berusaha untuk memastikan kaum wanita di Sabah khasnya, berdaya saing dan mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dan  seterusnya dapat saling lengkap melengkapi dengan kaum lelaki dalam mendokong aspirasi Kerajaan. Atas sebab itu, Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna serta agensi pelaksananya, Jabatan Hal Ehwal Wanita telah merangka strategi dan usaha-usaha bersepadu bagi meningkatkan lagi tahap kehidupan wanita ke arah pencapaian yang lebih baik di negeri ini.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para penerima anugerah. Semoga anugerah ini akan menyuntik semangat untuk para wanita untuk bergiat lebih aktif  dan mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidag yang diceburi.

 

Sekali lagi, saya mengucapkan syabas dan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur Sambutan Majlis Hari Wanita 2017 dan semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan pada tahun ini. Selamat Menyambut Hari Wanita kepada seluruh wanita di negeri Sabah khususnya dan di Malaysia umumnya. Sekian.