TEKS UCAPAN Y.A.B. TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KERJAYA

SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA 2017

PADA 23 SEPTEMBER 2017, DI DEWAN MASYARAKAT SANDAKAN.

Bersyukur kita ke hadrat Allah kerana dengan rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Program Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) 2017. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, atas jemputan untuk saya hadir seterusnya menyempurnakan karnival ini.

 

Saya menyambut baik usaha gigih dan inisiatif menganjurkan Karnival Kerjaya ini. Ia tentunya  dapat membantu rakyat khususnya golongan belia lepasan sekolah dan para graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

 

Kita menyedari bahawa mendapatkan pekerjaan untuk memperbaiki kehidupan sememangnya menjadi harapan dan impian setiap orang. Apatah lagi jika ia adalah kerjaya yang kita minati, menawarkan gaji yang setimpal dengan kelulusan atau bidang pengajian kita. Hakikatnya, tidak semua kita akan bernasib baik untuk mendapatkan pekerjaan yang kita idamkan, kerana persaingan dalam pasaran pekerjaan masa kini. Ini juga tidak bermakna bahawa kerajaan mahupun sektor swasta tidak berusaha dan tidak berbuat apa-apa untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat.

 

Dalam konteks ini, kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib rakyat terutama para belia dan golongan pencari kerja. Dengan kepesatan pembangunan negeri dalam pelbagai sektor, kita komited untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini termasuklah dalam sektor perladangan, industri minyak dan gas, pelancongan, perindustrian, pertanian dan lain-lain.  Dari semasa ke semasa juga, kita turut menyediakan pelbagai program kemahiran dan latihan bagi membolehkan rakyat memiliki kemahiran dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan.

 

Justeru, usaha sama Jabatan Tenaga Kerja dan SPA Malaysia memang tepat pada masanya dalam membantu usaha kerajaan mahu pun agensi dan sektor swasta mempromosikan peluang-peluang pekerjaan. Malah ia juga mampu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini melalui program-program latihan kemahiran dan juga jawatan kosong yang ditawarkan.

 

Penglibatan sektor swasta di dalam karnival ini juga menawarkan lebih banyak jawatan secaraon the spot’ dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada objektif penganjuran karnival iaitu membantu golongan belia dan para graduan khususnya warga Sabah untuk mendapatkan pekerjaan.

 

Suka saya menyarankan lebih banyak program karnival kerjaya  diadakan di seluruh Sabah untuk memberi pendedahan dan peluang-peluang kerjaya kepada anak-anak Sabah. Saya percaya, program-program seumpama ini yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta akan menjalinkan kerjasama strategik dalam membantu mempromosikan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan di Sabah.

 

Dalam masa yang sama, para lepasan siswazah dan generasi muda kita perlu lebih kreatif dan bersifat lebih terbuka dalam mencari pekerjaan serta tidak terlalu memilih bidang kerjaya yang khusus. Saudara saudari perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi persaingan sengit dunia pekerjaan. Sudah tentu individu yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman berpotensi untuk mendapat pekerjaan yang diidamkan.

 

Akhir kata, syabas dan tahniah kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia serta pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan program karnival kerjaya ini. Semoga program ini memberi manfaat kepada rakyat khususnya para belia, lepasan sekolah dan graduan dalam meneroka potensi pekerjaan yang ditawarkan sepanjang karnival ini.  Sekian.