TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PELADANG PENTERNAK DAN NELAYAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2017

PADA 08 SEPTEMBER 2017, DI DATARAN TUARAN, TUARAN.

 

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, sekali lagi kita dapat bersama-sama menjayakan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah (HPPNS) 2017. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Sabah, yang setiap tahun memberikan penghormatan untuk saya merasmikan sambutan yang penting ini. Syabas dan tahniah kepada MAFI serta jabatan dan agensi di bawahnya yang berjaya meneruskan penganjuran sambutan tahunan HPPNS.

 

Kehadiran saya pada setiap tahun jelas membuktikan betapa pentingnya sektor pertanian kepada rakyat dan negeri Sabah. Selain itu, sambutan ini juga memberikan peluang dan ruang untuk saya berjumpa dan beramah mesra dengan para peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negeri. Ini juga sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan tinggi kerajaan atas sumbangan besar para peladang, penternak dan nelayan dalam memajukan lagi sektor pertanian negeri.

 

Bagi saya penganjuran HPPNS ini juga memberi peluang untuk kita mengimbas kembali pencapaian sektor pertanian sepanjang tahun lepas. Melalui perayaan ini juga, kita dapat melihat semula keupayaan dan keberkesanan usaha-usaha pertanian yang telah kita laksanakan. Selain itu, kita juga dapat melipatgandakan lagi usaha untuk menggembleng sepenuhnya potensi sektor pertanian sebagai sumber menjana pendapatan para petani, penternak dan nelayan kita.

 

Pencapaian dan sumbangan sektor pertanian terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Sabah amat memberangsangkan. Sektor komoditi sawit sebagai contoh merupakan penyumbang kedua terbesar selepas petroleum mentah. Untuk rekod, pada tahun 2015 nilai eksport minyak sawit berjumlah RM14.9 billion dan dijangka akan terus meningkat berdasarkan kepada permintaan daripada beberapa negara pengimport seperti India yang semakin meningkat.

 

Di samping itu, saya juga berpuashati dengan peningkatan tahap pengeluaran kebanyakan jenis makanan seperti produk perikanan, buah-buahan, hasil ternakan unggas dan sayur-sayuran. Namun begitu, kerajaan akan terus berusaha untuk mempelbagaikan program bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dan pada masa yang sama akan terus mempromosi industri-industri tempatan kepada industri berorientasikan eksport.

 

Bertepatan dengan temaMakanan Kita Masa Depan Kita’ menuntut kita untuk meningkatkan jumlah pengeluaran makanan seiring dengan pertambahan jumlah penduduk. Dalam konteks negara kita, menjelang 2030 pertambahan penduduk ini akan menyebabkan peningkatan di antara 30 hingga 40 peratus keperluan bekalan makanan untuk negara. Dalam konteks ini, tahap pengeluaran makanan kita hendaklah ditingkatkan kepada kadar 3 hingga 4 peratus setahun bagi menampung pertambahan penduduk. Untuk itu, Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan bahawa bekalan makanan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat khususnya di negeri Sabah.

 

Bagi melonjakkan lagi pembangunan sektor pertanian negeri, saya menyokong penuh inisiatif  MAFI yang telah melancarkan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPNS3) yang telah dilancarkan dalam bulan Mei yang lalu. Saya yakin dan percaya DPNS3 akan berupaya meningkatkan tahap keselamatan makanan serta pendapatan petani dan pengeluar di samping memperkukuhkan pertumbuhan produktiviti. Dalam masa yang sama ia juga akan meningkatkan lagi daya saing dan mengekalkan kemampanan pertanian di Sabah menerusi Sembilan Bidang Tumpuan Utama yang telah dikenal pasti.

 

Mengenai sambutan pada kali ini, saya berasa bangga dan gembira dengan sambutan dan kehadiran yang begitu ramai, bukan sahaja daripada warga peladang, penternak dan nelayan, tetapi juga masyarakat umum pada keseluruhannya. Jumlah penyertaan dalam HPPNS pada tahun ini juga meningkat dan amat memberangsangkan. Kejayan sambutan ini membuktikan sokongan dan kesedaran rakyat yang sentiasa menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan sektor pertanian walaupun dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.

 

Pada kesempatan ini, saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk memanfaatkan sepenuhnya HPPNS ini, seterusnya menerokai potensi dan meningkatkan pengetahuan berkaitan dengan inovasi dan teknologi dalam bidang perladangan, penternakan dan perikanan. Di samping itu, kita juga boleh berkongsi pengalaman dan kejayaan dengan para penerima anugerah dalam pelbagai kategori bagi membantu meningkatkan produktiviti sektor pertanian yang diceburi.

 

Saya juga berharap agar gerai-gerai jabatan, institusi penyelidik dan perladangan yang mempamerkan teknologi-teknologi pengurusan tanaman, ternakan dan perikanan serta pemprosesan produk-produk industri hiliran dapat berkongsi idea, saranan dan pendapat, untuk dapat dimanfaatkan oleh pengusaha-pengusaha atau bakal-bakal pengusaha ke arah pengeluaran bahan-bahan dan produk-produk makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat untuk dimakan.

 

Semoga sambutan HPPNS tahun ini akan meningkatkan lagi semangat serta azam masyarakat peladang, penternak dan nelayan kita untuk menterjemahkan semua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memajukan dan memodenkan lagi sektor pertanian sekaligus membolehkan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

 

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan semua pihak atas kejayaan sambutan ini. Sekian.