TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA AHLI-AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI (MKT) MIMBAR PERMUAFAKATAN IBUBAPA MALAYSIA (MAPIM) KEBANGSAAN SERTA AHLI-AHLI JAWATANKUASA KERJA NEGERI (AJKN) MIMBAR PERMUAFAKATAN IBUBAPA MALAYSIA (MAPIM) NEGERI SABAH, PADA 12 SEPTEMBER 2017

DI TINGKAT 2, HOTEL TANG DYNASTY, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah kerana dengan rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-bersama sempena Majlis Makan Malam bagi meraikan dan mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) ke Sabah, Negeri di Bawah Bayu. Selamat datang kami ucapkan.

 

Saya menyambut baik daya usaha dan inisiatif MAPIM kebangsaan bersama-sama MAPIM Negeri Sabah yang sentiasa bergerak aktif mengadakan pelbagai program yang bermanfaat untuk masyarakat. Melihat kepada semangat dan komitmen yang tinggi ini, saya percaya matlamat pertubuhan ini dan program-program yang dilaksanakan dapat dijayakan sepenuhnya.

 

Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MAPIM amat penting sebagai platform terbaik yang menggabungkan tenaga dan buah fikiran para ibu bapa untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan program-program yang berkaitan dengan kemasyarakatan. Ia juga dapat membantu kerajaan dalam menjamin keharmonian sosial masyarakat yang kerap berhadapan dengan cabaran gejala sosial dan isu-isu berkaitan golongan pelajar dan remaja yang merupakan aset negara pada masa hadapan.

 

Saya percaya, MAPIM yang dianggotai oleh pelbagai latar belakang profesion, berupaya untuk menggembleng segala kekuatan dan kelebihan yang dimiliki untuk bersama-sama kerajaan menjayakan pelbagai dasar dan program. Ini termasuklah aspek pembangunan modal insan, pemupukan semangat keibubapaan dan pembinaan keluarga yang bahagia dan sejahtera.

 

Aspek ini amat penting kerana jika kita perhatikan pada hari ini ramai ibu bapa yang tidak dapat menyertai mana-mana persatuan seperti PIBG disebabkan kesibukan tugas dan komitmen dalam pekerjaan dan sebagainya. Justeru, MAPIM boleh memainkan peranan dalam memupuk kesedaran akan pentingnya untuk para ibu bapa melibatkan diri seterusnya bergiat secara aktif dalam persatuan atau pertubuhan untuk faedah kita bersama.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi MAPIM dan Ahli Jawatankuasa Kerja Negeri atas komitmen dan kesungguhan melaksana pelbagai program di negeri ini. Semoga MAPIM akan terus maju jaya menjayakan misi dan visi penubuhannya dengan kerjasama dan sokongan semua pihak dalam masyarakat. Sekian.