TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA SANDAKAN FOOD FESTIVAL 2017, PADA 31 OGOS 2017 (KHAMIS), DI BATU 4, TAPAK LETAK KERETA AWAM BANDAR KIM FUNG, SANDAKAN.

 

Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya hadir seterusnya menyempurnakan Sandakan Food Festival 2017 ini. Syabas dan tahniah kepada pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa Sandakan Tourism Association serta semua pihak yang terlibat atas pelaksanaan festival ini.

 

Saya percaya pelaksanaan program yang berkait rapat dengan pelancongan ini akan membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Sabah yang meletakkan sektor pelancongan sebagai antara peneraju utama pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Pada tahun 2004, Sandakan telah diiktiraf sebagai Bandar Semulajadi kerana kaya dengan tumbuh-tumbuhan semulajadi, flora dan faunanya. Pengiktirafan ini telah membawa banyak pencinta alam semulajadi dari seluruh dunia untuk datang bertandang ke Sandakan. Di samping, kekayaan alam semulajadi Sandakan turut terkenal dengan makanan lautnya yang murah serta pelbagai jenis hidangan enak seperti UFO, Egg Tart, Century Egg Dumpling dan sate.

 

Sehubungan itu, kelebihan ini seharusnya kita ketengahkan untuk menarikFood Hunter’ dari dalam mahupun luar negara untuk datang dan menikmati makanan yang terdapat di Sabah khususnya daerah ini. Sesungguhnya kita berbangga dan bersyukur untuk berkongsi makanan dengan para pelancong. Bagaimanapun, suka saya menggesa pengusaha makanan agar meningkatkan kualiti dan perkhidmatan masing-masing, di samping menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang dihasilkan.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya menyambut baik penganjuran festival ini memandangkan kita mempunyai kepelbagaian budaya yang unik dan menarik di negeri ini. Kepelbagaian ini juga adalah resepi bagi kekayaan khazanah warisan Negeri Sabah yang dipersembahkan melalui kesenian dan kebudayaan yang turut mencakupi aspek makanan.

 

Dalam konteks ini, saya yakin bahawa, makanan yang terdapat di Sabah khususnya di daerah ini akan menjadi salah satu tarikan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara. Dengan pemanjangan landasan lapangan terbang Sandakan yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri sendiri di Sandakan pada bulan Mei lepas, maka kita sudah pun bersiap sedia untuk menampung lebih ramai pelancong untuk bertandang ke daerah ini.

 

Suka saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa menyediakan prasarana, kemudahan dan perlindungan keselamatan dalam membantu pengusaha dan peniaga sama ada dalam sektor pelancongan mahupun pemakanan supaya dapat berniaga dalam keadaan selamat dan kondusif.

 

Bagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya tanpa adanya sokongan dan kerjasama daripada tuan-tuan dan puan-puan. Kerajaan berupaya menyediakan rancangan pembangunan dan peruntukan yang besar, tetapi rakyat juga perlu bersikap positif dan menyokong apa juga usaha kerajaan agar matlamat pembangunan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.

 

Saya percaya setiap daerah mempunyai potensi yang boleh dimajukan sama ada dari segi pelancongan, keindahan alam semulajadi dan keunikan adat budaya serta makanan masing-masing. Justeru, kita perlu berganding bahu dalam merangka dan memajukan potensi di daerah masing-masing untuk menarik pelancong sekaligus meningkatkan sosio ekonomi rakyat pada keseluruhannya.  

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya merakamkan penghargaan, syabas dan tahniah kepada pengerusi serta ahli-ahli jawatankuasa Sandakan Tourism Association dan semua pihak yang terlibat, atas kejayaan melaksanakan festival ini. Semoga ia berupaya menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini, sekaligus memajukan sektor pelancongan dan meningkatkan ekonomi negeri dan daerah ini. Sekian, terima kasih.