TEKS UCAPAN Y.A.B DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN PROGRAM TRANSFORMASI NASIONAL 2050 (TN50) & WANITA SABAH, PADA 29 OGOS 2017, DI BALLROOM, WISMA WANITA, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi rasa puji dan syukur  ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, maka kita dapat bersama-sama sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Wanita Sabah pada petang ini.

 

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna serta semua yang terlibat atas pelaksanaan Program TN50 dan Wanita Sabah. Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya hadir seterusnya merasmikan penutupan program yang  bermakna ini.

 

Kita maklum bahawa TN50 bertujuan supaya Kerajaan dapat menyediakan hala tuju negara dalam tempoh 30 tahun akan datang, dengan mengumpul input, pandangan serta maklum balas daripada rakyat termasuklah golongan wanita.

 

Saya menyambut baik penganjuran program ini yang bertujuan untuk mendekati, mendampingi dan menyelami aspirasi kaum wanita Sabah serta membantu kerajaan merealisasikan TN50. Ini jelas membuktikan bahawa suara, aspirasi dan pandangan wanita amat penting dalam merangka dan menentukan masa hadapan Malaysia. Kaum wanita di negeri ini turut memainkan peranan yang besar dalam pembangunan negeri Sabah. Oleh itu, Kerajaan akan terus mengambil kira peranan dan mengiktiraf sumbangan wanita dalam memacu pembangunan negeri. 

 

Agenda pemerkasaan wanita dalam pelbagai sektor akan terus menjadi keutamaan kita. Atas faktor tersebut, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya, menyediakan dan menyalurkan peruntukan tahunan yang besar untuk wanita dalam Bajet Negeri. Ia selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan segala aspek pembangunan wanita dapat mencapai matlamatnya, sekaligus memberikan impak dari segi pelaksanaan dasar dan program pemerkasaan wanita itu sendiri.

 

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita bukan sahaja merancang sesuatu untuk kepentingan kita pada hari ini, tetapi juga terus berusaha memajukan negeri secara menyeluruh, tanpa mengabaikan golongan wanita yang juga memainkan peranan penting dalam membangun dan memajukan negeri.

 

Bagi pihak rakyat negeri Sabah, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Y.A.B. Perdana Menteri kerana mengilhamkan TN50. Inisiatif yang tepat pada masanya ini jelas membuktikan ketelusan polisi Y.A.B. Perdana Menteri yang sentiasa mendengar suara dan aspirasi kita dalam membuat polisi, merancang masa depan, mentadbir dan mengurus negara pada masa akan datang.

 

Oleh itu, saya menyarankan agar golongan wanita di negeri ini terus melibatkan diri secara aktif dengan menyumbang idea dan aspirasi dalam menjayakan TN50. Saya percaya, wanita juga tidak kurang hebatnya. Menerusi program-program yang diadakan, saya optimis bahawa kita akan dapat mengenal pasti kehendak, kecenderungan dan aspirasi rakyat khususnya para wanita di negeri ini.

 

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna serta semua yang terlibat atas komitmen dan iltizam dalam melaksanakan Program TN50 dan Wanita Sabah ini. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat hasil daripada program ini, demi masa depan yang terbaik untuk rakyat khususnya golongan wanita pada tahun 2050. Sekian.