TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN HARI POTENSI KANAK-KANAK TABIKA KEMAS PERINGKAT NEGERI SABAH 2017 PADA 29 OGOS  2017, DI PADANG ASTAKA, MRSM SANDAKAN, SANDAKAN.

 

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, maka dapat kita berkumpul pada hari ini bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Peringkat Negeri Sabah Tahun 2017. Saya ingin  merakamkan penghargaan, syabas dan tahniah kepada semua warga KEMAS yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program pada kali ini.

 

Sesungguhnya saya amat kagum dan bangga dengan apa yang saya lihat di hadapan mata saya pada pagi ini.  Sokongan yang anda berikan pada anak-anak dalam penyertaan Potensi ini ternyata bukan sahaja  memeriahkan suasana tetapi juga menyuntik semangat dan keyakinan pada diri anak-anak anda.  Sedar atau tidak tuan-tuan juga sudah menyumbang kepada pembangunan modal insan iaitu pembangunan keperibadian anak-anak kecil ini.

 

Pendidikan anak-anak ialah suatu bentuk pelaburan jangka panjang. Banyak  sumber tenaga dan wang yang perlu dibelanjakan untuk tempoh masa yang lama bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh negara. Sudah tentu asas pendidikan itu dimulakan dari pendidikan prasekolah. 

 

Jika tabika-tabika kita berjaya membina asas yang kukuh pada diri kanak-kanak yang kita ajar, bukan sahaja kita berjaya menerapkan nilai-nilai murni yang berpaksikan ajaran Agama, kita sebenarnya sudah berjaya memandu mereka membina diri dan asas kerjaya di masa depan.  Saya percaya dan saya yakin bahawa semua ini telah  dilaksanakan oleh Tabika KEMAS.

 

Perkembangan ini adalah sesuatu yang positif dan perlu diteruskan.  Perjuangan untuk terus relevan di dalam masyarakat perlu diteruskan mengikut arus perubahan dan kehendak semasa. Namun, sesungguhnya kita sering melihat bahawa kejayaan memenuhi harapan rakyat ini banyak bergantung kepada ketrampilan dan kemampuan seorang Guru Tabika dalam mendidik anak-anak di bawah jagaannya.

 

Ada yang beranggapan bahawa semua ini perlu diselaraskan dengan  keupayaan Jawatankuasa Tabika bekerjasama sebagai agen penggerak dan penyokong kepada segala program dan aktiviti yang dijalankan oleh sesebuah tabika. Tidak dinafikan bahawa ini benar tetapi gabungan kedua-dua ini perlu seimbang dan persefahaman perlu wujud. Oleh sebab itu, saya cukup percaya bahawa apabila sesebuah tabika memiliki Guru Tabika yang baik dan Jawatankuasa yang sentiasa aktif, maka tabikanya akan cemerlang. 

 

Saya dimaklumkan bahawa hari ini kita akan menganugerahkan 2 anugerah khas kepada salah seorang Guru dan kanak-kanak Tabika.  Usaha murni pihak KEMAS dalam penganugerahan Pemaju Masyarakat Cemerlang dan Kanak-kanak Cemerlang adalah sesuatu yang patut dipuji dan harus diteruskan.  Ini kerana usaha sebegini wajar dicontohi oleh pihak lain di luar sana, kerana pengiktirafan akan menjadikan institusi kita lebih berdaya saing secara sihat dan mantap.  Saya yakin penganugerahan seumpama ini akan mampu menarik lebih ramai ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di TABIKA atau diasuh di TASKA KEMAS. 

 

Masyarakat akan mengukur kejayaan tabika melalui sejauh mana tahap kemampuan anak-anak menguasai kemahiran-kemahiran asas sebelum memasuki Tahun Satu sekolah rendah.  Nilai masyarakat masa kini dalam mengukur kejayaan sesebuah tabika ialah pada sejauh mana kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M) telah dapat dikuasai oleh anak-anak yang belajar di tabika tersebut.

 

Sudah pasti, masyarakat akan membanding-bandingkan antara tabika KEMAS dengan tabika swasta, tadika Jabatan Perpaduan atau kelas prasekolah Kementerian Pelajaran.  Bagaimanapun, perlu disedari bahawa peranan ibu bapa dan penjaga di rumah juga penting dalam memastikan proses pembelajar terus berkembang dalam diri anak-anak.  Kita tidak seharusnya meletakkan segala beban kepada bahu guru atau pendidik di tabika juga taska yang kita hantar.  Sebenarnya dengan tambahan sedikit usaha kita mampu melahirkan anak-anak yang cemerlang intelek dan gemilang keperibadiannya.

 

Menyentuh aspek usaha dan kerjasama ibu bapa dalam mendidik anak-anak ini, proses pembelajaran adalah sesuatu yang berterusan dan di rumah, kitalah yang menjadi guru kepada anak-anak. Kalau tidak secara ilmiah, kita menjadi contoh dan teladan melalui setiap perbuatan yang kita lakukan. Hakikatnya, masa kita berada di rumah bersama keluarga adalah penyumbang utama kepada pembentukan peribadi anak-anak.

 

Justeru, masyarakat khasnya ibu bapa harus memahaminya serta sanggup bergerak seiring dengan masa bagi mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang benar-benar bersedia dalam semua aspek sebelum melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar lagi. Sememangnya menanam komitmen untuk maju bersama-sama anak-anak kecil ini memerlukan sedikit pengorbanan. Namun, pengorbanan itu bolehlah kita sifatkan sebagai modal jangka panjang yang akan membawa kepada kebahagiaan hidup insan tersayang kita kelak.

 

Kerajaan sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan pendidikan awal yang baik dan berkualiti kepada kanak-kanak tidak kira di bandar atau di desa. Oleh yang demikian, kesedaran dalam menghanatar anak-anak belajar seawal pra sekolah lagi perlu wujud di minda setiap ibu bapa.  Tidak kira kita berada di ceruk mana sekali pun semua ini perlu dikongsi bersama.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan terus memberikan sokongan dan komitmen tinggi terhadap penganjuran program seperti ini. Apa yang penting ialah usaha ini perlu disusuli dengan perancangan rapi dan tindakan yang berkesan bagi dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

 

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh ahli Jawatankuasa Pelaksana Hari Potensi Kanak-kanak Tabika KEMAS Negeri Sabah 2017,  ibu bapa dan penjaga yang  turut sama berkampung bersama-sama anak-anak sepanjang program ini berlangsung. Semoga program ini memberi faedah serta manfaat yang maksimum kepada anak-anak kita dalam proses menjadi anak bangsa yang berpengetahuan, mahir dan berketrampilan. Sekian.