TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU DAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH SANDAKAN, PADA 03 OGOS  2017 (KHAMIS), DI DEWAN SMK MERPATI

SANDAKAN.

 

Alhamdulilah, marilah kita mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah  SWTkerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama dalam majlis ini. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai Pendidikan Daerah Sandakan atas jemputan dan penghormatan untuk saya melancarkan sambutan Hari Guru dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan 2017.

 

Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah yang diadakan pada setiap tahun membuktikan pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan terhadap jasa para pendidik. Malah, pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diadakan serentak pada pagi ini, turut mengiktiraf warga pendidikan atas usaha dan sumbangan mereka dalam meningkatkan lagi kecemerlangan perkhidmatan sebagai warga pendidik.

 

Kita sedar bahawa tanggungjawab seorang pendidik bukan semata-mata mengajar di bilik darjah. Malah ia juga meliputi tanggungjawab mentadbir, memantau, menyelia, mengurus, merancang, menggubal dasar, serta menjalankan penyelidikan dan penilaian berkaitan pendidikan. Ini merupakan satu tugas yang sangat mulia dan mempunyai pengorbanan yang besar.

 

Atas sebab itulah, setiap kali saya dijemput oleh Jabatan Pendidikan Sabah atau Pejabat Pendidikan Daerah dalam pelbagai program yang diadakan, saya datang sebagai menghargai kegigihan dan keikhlasan warga guru yang banyak menabur bakti kepada anak bangsa. Tidak lupa kepada guru-guru yang berkhidmat mendidik anak-anak kita di kawasan pedalaman dan kepulauan.

 

Kita menyedari bahawa pendidikan adalah nadi dan tunjang kejayaan sesuatu bangsa dan negara. Atas faktor itulah, kerajaan amat menitikberatkan pembangunan dan kecemerlangan pendidikan. Dalam konteks Sabah khususnya di kawasan Sungai Sibuga dan Libaran, aspek pendidikan merupakan antara penekanan awal yang saya berikan tumpuan sebaik diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan seterusnya sebagai Ketua Menteri. Ini termasuklah menambah bilangan sekolah khususnya di kawasan kampung dan taman-taman perumahan untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak kita.

 

Kita maklum bahawa dengan adanya sekolah-sekolah yang hampir dengan tempat tinggal mereka, sudah tentu ia akan menjimatkan masa dan memudahkan lagi anak-anak kita untuk menimba ilmu. Ia juga membolehkan ibu bapa dan guru-guru membuat pemantauan kepada pergerakan dan aktiviti harian anak-anak dan para pelajar mereka di sekolah.

 

Dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, ia jelas menterjemahkan kepentingan pembangunan modal insan dalam membentuk tamadun yang tinggi dan dapat menyumbang kepada kejayaan pembangunan negara pada masa akan datang.  Pembangunan modal insan yang holistik juga sudah tentu akan melahirkan insan berwawasan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berkeperibadian mulia, berpengetahuan, berkemahiran tinggi, produktif, dan inovatif sepertimana yang kita semua harapkan.

 

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan atas jemputan dan penghormatan ini. Semoga warga guru terus tekun dan dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab mulia yang telah diamanahkan. Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Saya berharap semoga terus maju jaya dan cemerlang dalam membentuk generasi masa hadapan untuk kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya. Sekian.