TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL KEWANGAN SABAH, PADA 4 OGOS 2017, DI SURIA SABAH MALL

KOTA KINABALU.

 

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, dapat kita bersama-sama pada petang yang mulia dan cukup bermakna ini.

 

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Bank Negara Malaysia atas penghormatan untuk saya merasmikan Karnival Kewangan Sabah 2017, yang julung-julung kali diadakan di negeri ini bertemakan Utamakan Keperluan Kewangan Anda.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita menyambut baik pemilihan Sabah sebagai negeri pertama yang mendapat manfaat daripada inisiatif terbaru Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan industri kewangan yang dikenali sebagai Financial Industry Collective Outreach atau FINCO.

 

Kita percaya inisiatif Bank Negara Malaysia ini bertepatan pada masanya sesuai dengan kepesatan perkembangan ekonomi negeri. Ia juga selaras dengan usaha kita untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai pengetahuan kewangan dan meningkatkan lagi aspek pengurusan kewangan mereka.

 

Sumbangan yang berterusan daripada industri kewangan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi di Sabah adalah amat penting dan dihargai. Saya yakin sumbangan dan usaha-usaha yang berterusan dalam merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar boleh diperhebatkan lagi dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan holisitik. Ini adalah sejajar dengan halatuju pembangunan dan kemajuan negeri Sabah, yang tentunya akan menyumbang kepada pertumbuhan mampan ekonomi negara secara keseluruhannya.

 

Kerajaan Negeri telah pun mengguna pakai perkhidmatan e-pembayaran termasuklah melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT). Ia menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, sewaan, kompaun, lesen dan sebagainya untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

 

Untuk makluman juga, sebanyak 29 agensi Kerajaan Negeri mengambil bahagian dalam kempen mempromosikan perkhidmatan e-pembayaran bermula bulan ini hingga bulan Mac tahun hadapan. Justeru, dengan adanya kemudahan e-pembayaran yang lebih efisien dan selamat ini, ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat terutama para usahawan dan peniaga supaya beralih kepada perkhidmatan ini bagi memudahkan urusan transaksi perniagaan agar menjadi lebih cekap, maju dan berdaya saing pada masa hadapan.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan pihak industri kewangan serta semua pihak atas penganjuran karnival ini. Semoga karnival ini akan berjalan dengan lancar dan jayanya serta mencapai matlamat yang diharapkan. Sekian.