TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN SHOWCASE SATU DAERAH SATU INDUSTRI (SDSI) DAN PENYERAHAN BANTUAN KHAS IKS SABAH 2017, PADA 06 OGOS 2017 (AHAD), DI PERKARANGAN HARBOUR MALL, SANDAKAN.

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah atas jemputan untuk saya melancarkan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan seterusnya menyampaikan Bantuan Khas Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah 2017.

 

Saya mengucapkan tahniah kepada pihak kementerian dan mengalu-alukan usaha untuk menganjurkan showcase ini di luar bandar raya Kota Kinabalu. Ini satu pendekatan yang baik untuk membolehkan masyarakat di setiap daerah mendapat ruang dan peluang untuk melihat pameran produk-produk yang dikeluarkan oleh para usahawan dari seluruh Negeri Sabah.

 

Peranan usahawan IKS adalah amat penting dalam pembangunan negara, kerana usahawan industri kecil dan sederhana. Ini kerana tuan-tuan dan puan-puan merupakan tulang belakang dan pemacu pembangunan ekonomi negara melalui sumbangan dalam pelbagai sektor ekonomi, termasuklah di negeri ini.

Pada hemat saya, pencapaian dan prestasi sektor IKS di Sabah boleh dipertingkatkan lagi. Dalam pemerhatian saya, masih ramai lagi usahawan kita berada di bawah potensi yang sebenar dengan beberapa faktor yang mengekang perkembangan dan kemajuan usahawan IKS tempatan. Antaranya adalah faktor kekurangan penggunaan teknologi, mesin serta kelengkapan yang menyebabkan kapasiti pengeluaran tidak dapat ditingkatkan. Selain itu, faktor kekurangan modal termasuk masalah akses kepada pembiayaan, tidak mempunyai rekod perniagaan yang lengkap, kurang pengalaman, kurang pengetahuan, kelemahan rangkaian perniagaan dan kepakaran berkaitan bidang yang diceburi. Dalam konteks ini, usahawan IKS perlu terus memperbaiki dan meningkatkan lagi aspek pengeluaran, tambah-nilai, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan, eksport dan sebagainya.

 

Kerajaan Negeri dan Persekutuan melaksanakan banyak program bantuan untuk usahawan di negara kita. Di peringkat Persekutuan, terdapat lebih 17 kementerian dan lebih kurang 80 agensi melaksanakan berbagai program untuk membantu sektor IKS. Ia meliputi lima sektor iaitu sektor inovasi dan teknologi, pembiayaan, pemasaran dan promosi, latihan, modal insan dan keusahawanan.

 

Sehubungan dengan ini, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian dan agensi Persekutuan atas pelaksanaan program mereka untuk membantu para usahawan IKS di Sabah. Saya berharap semua untuk kementerian dan agensi Persekutuan akan terus melaksanakan program dan aktiviti bagi membantu para usahawan di negeri ini dengan lebih komprehensif, efisien dan berkesan.

 

Dalam konteks Kerajaan Negeri pula, melalui beberapa kementerian dan agensi, kita juga banyak memberi bantuan kepada usahawan IKS. Antaranya menerusi Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat serta Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna dan agensi-agensi di bawah Kementerian masing-masing.

 

Untuk itu, Saya menyeru dan berharap kepada tuan-tuan dan puan-puan agar tidak teragak-agak untuk mendapatkan khidmat nasihat, kepakaran dan lain-lain kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan demi kemajuan dan kemampuan perniagaan masing-masing. Ini amat penting untuk rakyat khususnya para usahawan dan bakal usahawan meneroka pelbagai peluang untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan usahawan yang berdaya maju dan berjaya.

 

Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, para usahawan di negeri ini akan terus kita bantu. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan Bantuan Khas IKS kepada usahawan-usahawan yang telah memohon dan diluluskan untuk menerima bantuan ini. Bantuan IKS ini adalah untuk menghargai peranan dan sumbangan produkif yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan kepada pembangunan dan perkembangan perniagaan dan ekonomi negeri.

 

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah atas penganjuran program yang amat bermanfaat ini. Semoga program ini akan mencetus semangat dan motivasi untuk para usahawan terus berusaha dengan gigih dan mencapai kejayaan dalam sektor perniagaan yang diceburi. Sekian.