TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN SABAH, SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH BIASISWA CEMERLANG NEGERI SABAH SIRI KE-28, PADA 13 JULAI 2017, DI AUDITORIUM TUN AHMAD RAFFAE MENARA TUN MUSTAPHA, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kali ke-28, 2017. Syabas dan tahniah kepada 25 orang penerima Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lepas. Hari ini, tibalah masanya untuk saudara dan saudari mendapat pengiktirafan dan penghargaan dari Kerajaan melalui Kumpulan Yayasan Sabah.

 

Tentunya, usaha gigih secara berterusan, komitmen dan disiplin yang tinggi, disertai dengan pengorbanan menjadi resepi kecemerlangan. Kejayaan ini sewajarnya dikongsi bersama ibubapa, keluarga dan guru-guru yang turut memberi sumbangan, galakan, bimbingan dan sokongan yang berterusan. Pada hari ini, segala usaha, segala penat lelah dan segala pengorbanan telah membuahkan hasil dan mendapat ganjaran yang setimpal.

 

Sememangnya Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan komited terhadap usaha pembangunan dan pemantapan sistem pendidikan di negeri ini. Tanggungjawab kita bukan sahaja menambah dan meningkatkan peluang pendidikan kepada semua rakyat di Sabah, malah sangat menitikberatkan kualiti sistem pendidikan.

 

Dalam aspek ini, Kerajaan menyediakan peruntukan yang besar untuk membolehkan setiap aktiviti dan program sektor pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri ini berjalan dengan lancar. Peruntukan besar yang diberikan juga selaras dengan hasrat dan aspirasi kita untuk memangkin pertumbuhan dan produktiviti negara.

 

Penganugerahan BCNS merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap kecemerlangan para pelajar. Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah, ingin melihat lebih ramai lagi modal insan yang berjaya dan mampu bersaing di persada global. Kepada semua penerima, jadikanlah anugerah ini sebagai motivasi dan pencetus semangat untuk mencipta lebih banyak kecemerlangan di peringkat yang lebih tinggi.

 

Perlu diingat bahawa negara kita Malaysia sedang menuju ke arah matlamat menjayakan Transformasi Nasional (TN50). TN50 akan menjangkau proses dan gerak kerja selama tiga dekad bagi memacu halatuju kemajuan negara pada fasa yang seterusnya. Sudah tentu, modal insan menjayakan misi nasional ini adalah anak-anak yang memenuhi auditorium ini.

 

Suka saya berpesan kepada semua pelajar agar sentiasa mengutamakan disiplin semasa di alam persekolahan mahu pun di semasa di universiti kelak. Alam persekolahan dan kampus sewajarnya digunakan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

 

Saya juga menyeru kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini, agar menjadikan kejayaan rakan-rakan penerima anugerah biasiswa tahun ini sebagai pembakar semangat dan contoh yang terbaik. Dengan inspirasi ini, saya yakin lebih ramai pelajar-pelajar kita akan mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

 

Akhir kata, penghargaan kepada para ibu bapa dan warga pendidik atas bimbingan, semangat dan kegigihan dalam mendidik dan menggilap potensi modal insan yang berkualiti sebagai aset penting menjana kemajuan negeri demi kesejahteraan rakyat. Syabas dan tahniah saya ucapkan. Sekian.