TEKS UCAPAN Y.A.B DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PERTANDINGAN FORUM PELAJAR & DEKLAMASI PUISI PERINGKAT NEGERI SABAH 2017, PADA 13 JULAI 2017 (KHAMIS), DI DEWAN SEKOLAH MENENGAH YU YUAN SANDAKAN.

 

 

Alhamdulillah kita panjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, dapat kita bersama-sama sempena Pertandingan Forum Pelajar & Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2017 pada hari ini. Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur, atas undangan untuk saya hadir ke acara yang berprestij dan sungguh bermakna ini. 

 

Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Forum Pelajar dan Pertandingan Deklamasi Puisi Peringkat Negeri Sabah 2017 atas penganjuran majlis yang gilang-gemilang pada hari ini. Pertandingan ini menunjukkan usaha kita semua untuk bersama-sama memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Secara tidak langsung, usaha ini juga memberikan kesedaran kepada anak-anak bangsa bahawa bahasa kebangsaan sangat penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa, khususnya kepada sekolah-sekolah menengah aliran Cina.

 

Saya percaya pertandingan seumpama ini telah terbukti berjaya memantapkan, mengukuhkan dan memanifestasikan jati diri dan citra bangsa Malaysia yang cemerlang dalam kalangan generasi baharu, khususnya para pelajar, tanpa mengira kaum dan latar bahasa melalui penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul. Di samping itu, program ia juga dapat memupuk pembentukan semangat kewarganegaraan, kesetiaan kepada bangsa dan negara serta integrasi nasional yang akan membantu pelajar menentukan hala tuju kehidupan mereka dan masa depan negara kelak.

 

Sehubungan itu, saya memuji semua pihak yang terlibat, atas kerjasama dan sokongan, terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah, Persatuan Dong Zong Sabah serta Unit Swasta, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam menjayakan pertandingan ini pada peringkat negeri. Inilah antara bukti usaha kita untuk mengukuhkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan kita.

 

Aktiviti kokurikulum yang terancang dan praktikal di sekolah, dapat membantu pengembangan potensi murid yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara. Justeru, peranan pihak sekolah amat penting, khusus dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar, di samping peranan Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri. Saya juga yakin, aktiviti berforum ini dapat membantu mewujudkan model penggunaan bahasa yang betul, dan sempurna daripada segi penggunaan tatabahasa, sebutan dan gayanya dalam kalangan pelajar sekolah, khususnya sekolah-sekolah menengah persendirian Cina di Sabah.

 

Saya sangat mengharapkan penglibatan para pelajar dalam aktiviti-aktiviti seperti ini. Saya percaya pelajar-pelajar bukan Melayu juga mahu turut bersama-sama memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan kita. Usaha yang baik ini akan menyokong pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Semoga dengan adanya kegiatan-kegiatan seperti ini, para pendidik dan pelajar dapat bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan kita. Suka saya nyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan sokongan dan mengalu-alukan penganjuran majlis-majlis ilmu seumpama ini.

 

Akhir kata, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Pertandingan Forum Pelajar dan Pertandingan Deklamasi Puisi 2017 sekolah-sekolah menengah persendirian Cina peringkat negeri Sabah ini.  Semoga program ini berupaya memperkasakan dan memartabatkan lagi bahasa kebangsaan di samping memberi kesedaran kepada kita semua bahawa bahasa kebangsaan sangat penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu dan harmoni. Sekian, terima kasih.