TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PERAYAAN KAAMATAN GAWAI 2017

PUKUL 7.45 MALAM, DI PUTERI NABALU, KUNDASANG, RANAU.

 

 

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya hadir seterusnya merasmikan Perayaan Kaamatan Gawai ke-11, 2017 anjuran bersama DCCI dan KCCI yang diadakan secara bergilir-gilir di antara kedua-dua dewan perniagaan ini. Tahniah saya ucapkan kepada DCCI dan KCCI kerana sekali lagi berjaya mengadakan perayaan seumpama ini yang melambangkan keunikan dan kebanggaan budaya kaum terbesar di Sabah dan Sarawak.

 

Tentunya kesempatan ini dapat kita gunakan untuk beramah mesra, mengeratkan silaturahim dan juga persaudaraan. Apa yang lebih penting, semua ini kita lakukan bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli KCCI, tetapi juga dalam kalangan ahli-ahli DCCI. Saya juga percaya, inilah landasan terbaik ke arah membina integrasi dalam kalangan rakyat di kepulauan Borneo khususnya negeri Sabah dan Sarawak.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya sentiasa menyokong gabungan perayaan yang boleh mengeratkan silaturahim dan tali persaudaraan di kalangan masyarakat Borneo. Melalui hubungan erat tersebut, saya yakin ianya akan meningkatkan lagi rangkaian perniagaan serta membuka peluang-peluang pasaran perniagaan yang baru. Ini sudah pasti akan memberi faedah kepada peniaga-peniaga Kadazandusun dan Dayak yang sekaligus membawa impak positif kepada semua golongan usahawan di Sabah dan Sarawak serta seluruh Malaysia amnya.

 

Kita maklum bahawa perayaan Pesta Kaamatan merupakan perayaan bagi kaum Kadazandusun dan Murut, manakala Pesta Gawai pula diraikan oleh masyarakat Dayak di Sarawak. Inilah keistimewaan yang kita miliki di Borneo. Keistimewaan perayaan yang menjurus ke arah perpaduan, di samping memperlihatkan bahawa kita sebagai rakyat yang bersatu padu, memahami dan menghormati adat budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 

Perpaduan dan persefahaman inilah yang menjadi tunjang untuk kita hidup aman harmoni dan sejahtera. Dengan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negeri ini, setiap proses pembangunan dan kemajuan negeri kita berjalan dengan lancar dan terkendali.

 

Salah satu projek pembangunan yang sedang kita nikmati adalah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat tempatan Sabah dan Sarawak. Selain daripada peluang pekerjaan, projek ini turut menawarkan pelbagai kontrak pembinaan kepada syarikat-syarikat tempatan dari Sabah dan Sarawak.

 

Kita amat berharap agar pembinan Lebuhraya Pan Borneo ini, bukan sahaja akan memudahkan akses perhubungan di antara Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam, bahkan memberi impak yang besar dalam aspek ekonomi di kepulauan Borneo, dengan terlaksananya projek mega ini.

 

Saya tidak berhasrat untuk berucap dengan lebih panjang. Saya ingin kesempatan ini, untuk mengajak tuan-tuan dan puan-puan, untuk terus menjaga dan memelihara keamanan, keharmonian dan kemakmuran negeri ini, agar proses pembangunan dan kemajuan negeri dan negara kita akan terus berjalan dengan lancar. Adalah mustahil untuk kita sebagai Kerajaan untuk membangun dan memajukan negeri apabila negeri berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak stabil.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya hadir, seterusnya bersama-sama dalam sambutan pesta Kaamatan Gawai DCCI dan KCCI pada tahun ini. Marilah kita sama-sama hayati dan aplikasikan semangat perayaan pesta ini, demi keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan negara pada keseluruhannya. Sekian, terima kasih.