TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO SABAH, SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA UMNO SABAH ZON 6, PADA 19 JUN 2017, DI MASJID

AR-RAUDDAH, LAHAD DATU.

 

 

Marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan hidayah-Nya dapat kita bersama-sama lagi dalam Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 6 (Silam, Semporna, Tawau, Kalabakan).

 

Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Silam, Y.B. Datuk Yusof Apdal seluruh pimpinan AJK dan ahli-ahli UMNO Bahagian kerana menjadi tuan rumah Majlis Berbuka Puasa pada kali ini, dari Zon 6.

 

Syukur Alhamdulillah, Setelah menjelajah dan berbuka puasa di semua Zon UMNO di seluruh negeri, UMNO Zon 6 merupakan destinasi terakhir/penutup.

 

Sepanjang bulan ini, saya bersama-sama dengan Barisan Exco dan pimpinan Bahagian-bahagian serta sayap-sayap dapat bersama turun padang kesemua zon walaupun dengan jadual yang padat.

 

Daripada program-program yang diadakan, dapat saya rumuskan bahawa Majlis Berbuka Puasa Zon-zon UMNO Sabah berjaya mengukuhkan dan memantapkan lagu semangat perpaduan dan kerjasama para pemimpin dan ahli-ahli UMNO di seluruh negeri.

 

Saya dan Barisan Exco berpeluang beramah mesra dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang merupakan tunjang dan teras kekuatan UMNO.

 

Kita juga berpeluang menyampaikan mesej kepada rakyat dan seterusnya mendapatkan maklumbalas mereka mengenai banyak perkara berkaitan soal parti mahupun Kerajaan.

 

Kita juga prihatin terhadap golongan yang memerlukan di Zon-Zon UMNO dengan kerjasama Pusat Zakat Sabah (PZS) dan MUIS sumbangan kepada fakir miskin, warga tua, anak yatim, ibu tunggal.

 

Majlis buka puasa kita juga turut dihadiri masyarakat bukan Islam. Ini membuktikan betapa tingginya semangat toleransi, setiakawan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah.

 

Di peringkat parti, yang penting kita terus mantapkan perpaduan, kesatuan, solidariti sesama kita di semua peringkat. Peringkat cawangan, bahagian, sayap-sayap parti dan jentera akar umbi.

 

Dalam program ini, kita turun padang, berbuka puasa, solat Terawih  bersama ahli dan rakyat di zon-zon UMNO, menepati seperti apa yang disarankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dan Presiden parti.

           

Inilah cara kita bekerja dalam UMNO dan BN. Kurangkan bercakap, banyakkan bekerja. Kita kurangkan politiking dan polemik, tumpukan usaha untuk bekerja dan berkhidmat membela rakyat.

 

Apapun cabaran dan rintangan yang kita hadapi dalam parti, kita yakin ia akan dapat diatasi dan diselesaikan dengan sebaik-baiknya, sesuai dengan semangat UMNO yang tulen. Sejak dari awal penubuhannya sehingga kini, UMNO telah melalui pelbagai ranjau, onak dan duri, namun dengan adanya kesetiaan dan keikhlasan kepada perjuangan parti dan pemimpin.

 

Di samping itu juga, kita perlu terus mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakan-rakan kita ahli UMNO dan juga dalam parti komponen BN dan rakyat keseluruhannya-seiring dengan harapan Y.A.B. PM untuk melihat UMNO dan BN Sabah terus kukuh dan bersatu padu.

 

Inilah yang sering saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan juga kepada rakan-rakan pemimpin/wakil rakyat ADUN/MP BN, bahawa gelaran tidak penting, yang penting dan dinilai oleh rakyat adalah jasa, sumbangan dan perkhidmatan kita. Saya juga sentiasa menekankan agar para wakil rakyat kerap turun padang, turun ke akar umbi-mendampingi rakyat.

 

Akhir kata, marilah kita berdoa semoga amal ibadah kita di sepanjang Ramadhan ini mendapat balasan dan ganjaran dari Allah SWT. Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Zon UMNO Sabah yang menjayakan majlis sepanjang bulan Ramadan ini di kawasan masing-masing. Saya berharap agar kita dapat teruskan dan tingkatkan lagi program-program ini pada masa akan datang.

 

Saya juga mengambil kesempatan ini bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga mengucapkan Selamat Hari raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Saya dengan rasa rendah hari, menjemput tuan-tuan dan puan-puan untuk datang beramai-ramai ke Majlis Rumah Terbuka saya bersama jemaah Menteri Negeri Sabah pada hari raya kedua, di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas, mulai pukul 10 pagi.

 

Semoga Aidil Fitri ini mengeratkan lagi silaturahim, muhibah, semangat kekitaan dan perpaduan sesama kita, demi kemajuan dan kemakmuran kita bersama.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.