TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH PROGRAM PENAJAAN PENDIDIKAN PETRONAS 2017, PADA 11 JUN 2017

DI DEWAN TUN SAKARAN, TH HOTEL, KOTA KINABALU.

 

 

Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada PETRONAS atas jemputan untuk saya hadir pada hari ini sempena Majlis Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS 2017. Syabas dan tahniah kepada PETRONAS atas usaha dan inisiatif melaksanakan program ini.

 

Saban tahun kita meraikan usaha-usaha berterusan yang dipacu oleh PETRONAS di mana ia merupakan sumbangan untuk memperkasakan kebolehan akademik pelajar Malaysia di pelbagai peringkat. Saya percaya, penganugerahan ini bukan sahaja akan memanfaatkan penerima tajaan pendidikan dan ahli keluarga masing-masing, tetapi juga membawa erti yang besar dalam konteks pembangunan sumber manusia di negeri ini pada keseluruhannya.

 

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memuji dan mengalu-alukan inisiatif PETRONAS untuk menjana dan memperkasakan modal insan. Tentunya ia akan membuka peluang kepada  individu-individu yang berkelayakan  untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

 

Kecemerlangan modal insan merupakan satu elemen penting yang menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan dan kesejahteraan negara. Modal insan yang berkualiti akan memberi nilai tambah baik yang diperlukan oleh negara kita yang sedang pun dalam perjalanan merentas arus transformasi.

 

Justeru, usaha PETRONAS berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri Sabah adalah amat dipuji kerana ia menyumbang ke arah peningkatan kualiti para pelajar dari segi akademik dan sahsiah di pelbagai peringkat. Sehingga ke hari ini, PETRONAS telah menyumbang dalam pelbagai program pendidikan yang memberi manfaat kepada anak-anak Sabah. Selain program penajaan pendidikan di peringkat universiti, terdapat juga program-program lain di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah seperti Program Sentuhan Ilmu PETRONAS (PSIP), Program Sekolah Amanah, Program VISTA dan Program BUDI PETRONAS di negeri Sabah.

 

Selain itu, anak-anak Sabah turut beroleh manfaat menerusi insititusi- insititusi pendidikan di bawah kendalian PETRONAS seperti Universiti Teknologi PETRONAS, Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan Kimanis Training Centre (KTC).

 

Bagi program penajaan pendidikan di peringkat universiti, saya difahamkan bahawa pelajar-pelajar yang telah terpilih ini telah melalui proses saringan yang komprehensif berteraskan penilaian menyeluruh mengikut pencapaian akademik dan penglibatan aktif dalam bidang ko-kurikulum di sekolah.

 

Oleh yang demikian, saya menyeru agar para pelajar yang dianugerahkan Penajaan Pendidikan PETRONAS pada hari ini terus meningkatkan usaha untuk belajar bersungguh-sungguh supaya terus melakar kejayaan dan menjadi kebanggaan keluarga, bangsa dan negara. Begitu besar harapan dari keluarga untuk melihat kejayaan para pelajar sekalian.

 

Kejayaan anda juga pastinya akan menginspirasikan anak-anak Sabah yang lain untuk turut meraih kecemerlangan, jadi teruslah berusaha mengukir kejayaan agar menjadi pembakar semangat buat mereka untuk turut sama berjaya.

 

Pada kesempatan ini, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada PETRONAS atas keprihatinan dan usaha yang konsisten untuk menyumbang dalam bidang pendidikan di negeri ini. Diharapkan agar usaha ini dapat menjadi contoh kepada badan-badan korporat lain untuk turut sama-sama menyumbang dan menggembeling tenaga dalam membangunkan modal insan.

 

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PETRONAS dan pihak-pihak berwajib yang telah bekerjasama dengan baik untuk menjayakan majlis penyampaian anugerah penajaan pendidikan pada hari ini. Saya berharap agar program pada hari ini akan menjadi inspirasi kepada para pelajar yang lain untuk berusaha dengan lebih gigih dan penuh tekad, seterusnya mengikuti jejak menjadi modal insan yang cemerlang dan berwibawa demi masa hadapan yang lebih gemilang untuk rakyat dan negeri yang tercinta ini. Sekian, terima kasih.