TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH SEMPENA PERASMIAN PENUTUPAN PERAYAAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2017

PADA 31 MEI 2017 (RABU), DI DEWAN HONGKOD KOISAAN, PENAMPANG.

 

Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri yang diketuai oleh Huguan Siou Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas kejayaan penganjuran sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, yang bermula dengan Majlis Pelancaran di Tambunan sehinggalah ke majlis penutupan di Dewan Hongkod Koisaan Penampang pada hari ini.

 

Pada zaman dahulu, Pesta Kaamatan bukan sahaja diraikan bagi melahirkan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi yang banyak, tetapi yang lebih penting ia adalah perayaan yang mengerat dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan dalam masyarakat Kadazan Dusun dan Murut.

 

Ia mengajar kita tentang peri pentingnya perpaduan yang erat sebagai teras dalam meningkatkan dan memperkukuhkan lagi keamanan di negeri Sabah yang kaya dengan kepelbagaian suku kaum, etnik dan budaya. Maka atas sebab itulah Pesta Kaamatan menjadi perayaan yang sentiasa kita nantikan, kerana ia adalah perayaan budaya yang menyatukan kita, khususnya rakyat di negeri Sabah yang tercinta ini.

 

Saya berasa syukur dan gembira dengan kehadiran, penglibatan dan sokongan pelbagai pihak dan lapisan rakyat yang terus menjadikan Pesta Kaamatan sebagai teras keharmonian dan platform penyatu rakyat di negeri ini. Hari ini, pelbagai kaum dan etnik mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama rakan taulan dan keluarga tercinta untuk sama-sama meraikan Pesta Kaamatan.

 

Inilah contoh masyarakat majmuk yang harmoni dan erat. Ia seharusnya diraikan oleh semua pihak tanpa terhad kepada batasan politik untuk kesejahteraan masyarakat pada keseluruhannya. Kehadiran pengunjung memeriahkan majlis ini juga membuktikan, betapa kukuhnya semangat persaudaraan, persahabatan, rasa kekitaan dan perpaduan yang selama ini menjadi budaya dan amalan hidup kita, sesuai dengan semangat 1Malaysia dan juga Tema Perayaan Pesta Kaamatan pada tahun ini iaitu Kaamatan Asas Perpaduan.

 

Saya percaya, persefahaman, penglibatan dan komitmen semua suku kaum dan etnik dalam menjayakan perayaan ini melalui penonjolan budaya, pameran pakaian tradisi, makanan tradisi dan seumpamanya bukan sahaja mengeratkan lagi semangat kekitaan dan persahabatan, bahkan membolehkan kita lebih memahami dan mengenali secara mendalam tentang warisan dan khazanah sesebuah bangsa.

 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat di negeri Sabah untuk sentiasa bersama-sama dengan Kerajaan demi kesejahteraan dan kemajuan di negeri ini. Marilah kita memberi sokongan padu kepada Kerajaan agar usaha untuk membangun dan memajukan negara dan negeri akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Akhir kata, saya berharap agar Pesta Kaamatan ini akan terus memangkin semangat, inspirasi dan kekuatan kepada kita untuk terus bersatu memantapkan perpaduan bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran rakyat Malaysia khususnya rakyat di negeri yang kita cintai ini. Selamat menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagayo do Kaamatan.

Sekian, terima kasih.