TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, MAJLIS PERASMIAN SUKAN TRADISI, PAMERAN HASIL PERTANIAN DAN ALAT-ALAT KEBUDAYAAN KADAZAN DUSUN MURUT (KDM) SEMPENA PERAYAAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2017, PADA 30 MEI 2017 (SELASA), DI DEWAN

HONGKOD KOISAAN, PENAMPANG.

 

 

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan, syabas dan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri serta seluruh Jawatankuasa penganjur, atas usaha dan inisiatif penganjuran Sukan Tradisi, Pameran Hasil Pertanian dan Alat-Alat Kebudayaan KDM sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2017.

 

Saya berasa gembira kerana dapat hadir untuk bersama-sama dengan rakyat berbilang kaum dan budaya dalam majlis yang sungguh meriah ini. Kehadiran para pemimpin, rakyat dan pengunjung ke majlis ini juga menggambarkan bahawa kita amat menyanjung tinggi dan menghargai warisan budaya dan sukan tradisi tempatan, yang sememangnya sinonim dengan rakyat di negeri ini.

 

Penganjuran pameran dan sukan tradisi sempena Pesta Kaamatan ini jelas membuktikan komitmen kita untuk terus memartabatkan keunikan dan khazanah tradisi tempatan. Pada masa yang sama ia juga memberi peluang kepada masyarakat dari suku kaum lain untuk mengetahui, mengenali serta memahami sejarah dan warisan adat dan budaya masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut.

 

Kita mempunyai banyak sukan tradisi dan rumah tradisional yang sangat unik dan menarik untuk diketengahkan, bukan sahaja sebagai warisan budaya, bahkan juga sebagai produk dan potensi pelancongan yang menarik pengunjung dari dalam dan luar negara. Bagaimanapun, usaha-usaha mempromosi dan mengembangkan keunikannya masih perlu kita pertingkatkan lagi sama ada di peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa.

 

Dalam konteks ini, usaha-usaha yang berkesan perlu diambil oleh semua pihak bukan sahaja oleh jabatan dan agensi kerajaan, tetapi juga daripada sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama mengembleng tenaga mempromosi keunikan warisan budaya kita, termasuklah sukan tradisi, mahupun alat-alat kebudayaan suku kaum KadazanDusun Murut ini.

 

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah atas penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam mengadakan pameran sepanjang program ini berlangsung. Tentunya usaha-usaha ini akan menambahkan lagi pemahaman rakyat terhadap  perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai oleh jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat selama ini.

 

Kerajaan Negeri akan terus menggandakan usaha dan komitmen berterusan untuk memacu dan mempromosikan keunikan dan kekayaan warisan kebudayaan di negeri ini dengan sokongan dan dukungan daripada semua pihak. Justeru, saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan khususnya rakyat di negeri ini untuk terus memberikan sokongan kepada usaha-usaha kerajaan dalam melestarikan khazanah budaya termasuklahprogram-program yang kita adakan pada hari ini, agar ia tidak luput ditelan zaman.

 

Keamanan dan perpaduan bukan sahaja dipupuk melalui pendidikan di sekolah dan juga di peringkat keluarga tetapi ianya mampu disemai dan dikukuhkan lagi melalui penglibatan dalam program-program kebudayaan seperti yang dianjurkan pada hari ini.

 

Sehubungan itu, saya mengajak tuan tuan dan puan puan, untuk meluangkan masa dan mengambil kesempatan ini untuk melawat rumah-rumah tradisi, menikmati  pelbagai acara kebudayaan dan persembahan serta mengikuti pertandingan sukan-sukan tradisi yang dianjurkan bersempena dengan Perayaan Pesta Kaamatan ini.

 

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program-program yang berlangsung sempena sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini. Saya percaya kemeriahan yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil daripada kerjasama, komitmen dan iltizam yang tinggi daripada tuan-tuan dan puan-puan semua. Semoga ia akan dapat ditingkatkan lagi pada masa hadapan demi memupuk masyarakat majmuk yang bersatu padu dan harmoni untuk kesejahteraan negeri kita yang tercinta ini. 

 

Dengan kata-kata tersebut, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Perasmian Sukan Tradisi, Pameran Hasil Pertanian dan Alat-alat Kebudayaan KDM sempena Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2017, dengan rasminya. Sekian, terima kasih.