TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH, PADA 13 FEBRUARI 2015

DI TAPAK KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

TELUK LIKAS, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Pecah Tanah Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Teluk Likas, Kota Kinabalu, pada pagi yang penuh keberkatan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Penganjur atas jemputan untuk saya hadir bagi menyempurnakan majlis ini.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pusat, khususnya Y.A.B. Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, atas usaha dan komitmen dalam pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah ini. Alhamdulillah, dengan iltizam kukuh dan kerjasama kolektif antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kerajaan di semua peringkat, usaha menempatkan lokasi tapak Mahkamah Syariah ini akhirnya dapat direalisasikan.

 

Majlis yang penuh bermakna ini merupakan satu lagi lakaran sejarah bagi Kerajaan Negeri dan masyarakat Islam di Sabah khasnya. Ia menjadi perintis dan pencetus terhadap usaha-usaha untuk meningkatkan lagi syiar Islam menerusi kompleks mahkamah Syariah yang lebih lengkap, tersusun dan terancang.

 

Pada saya, pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah ini amat tepat pada masanya, sangat relevan dan signifikan dengan ‘tasawur Islam’.  Ia juga bersesuaian dengan perkembangan sosio-budaya persekitarannya, apatah lagi dengan lokasi persisiran dan persempadanan Negeri Sabah dengan negara-negara jiran iaitu Brunei Darus Salam, Indonesia dan Filipina.

 

Saya percaya apabila Kompleks Mahkamah Syariah ini beroperasi sepenuhnya, ia bukan sahaja menjadi simbol kemegahan dan kebanggaan masyarakat Islam khususnya di Sabah. Bahkan yang lebih penting adalah harapan rakyat khususnya umat Islam untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti. Oleh itu, menjadi hasrat Kerajaan agar Kompleks Mahkamah Syariah ini bukan sahaja mampu memberi keselesaan dan kemudahan sama taraf dengan Mahkamah Sivil, malah akan memberi impak positif terhadap keberkesanan penyampaian dan perkhidmatan warga Mahkamah Syariah pada keseluruhannya.

 

Menyentuh mengenai Institusi Mahkamah Syariah juga, Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih atas peluang termasuk kenaikan pangkat anak-anak tempatan Sabah seterusnya memantapkan lagi pengalaman mereka dalam perkhidmatan di peringkat nasional, khususnya dalam Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Bagaimanapun, kita berharap agar peluang pengisian jawatan dan kenaikan pangkat dapat terus diberikan pertimbangan sewajarnya kepada anak-anak tempatan Sabah yang berkelayakan dan memenuhi syarat dalam perkhidmatan ini. Mahkamah Syariah Negeri Sabah juga mencipta sejarah tersendiri apabila menyahut seruan melantik Hakim Syarie wanita yang pertama bagi negeri ini dan yang kelima di Malaysia. Ia jelas membuktikan bahawa kerajaan tetap memberikan peluang yang sewajarnya dalam perjawatan penting termasuklah kepada kaum wanita yang berkelayakan.

 

Akhir kata, bagi pihak Kerajaan Negeri sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pusat, khususnya Y.A.B. Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, atas usaha dan komitmen sehingga majlis pecah tanah ini dapat dijayakan. Juga penghargaan kepada jabatan dan agensi Pusat dan Negeri serta semua pihak yang terlibat. Semoga pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah ini bakal memberikan kemudahan yang terbaik seiring dengan tuntutan Islam, harapan rakyat dan transformasi pembangunan negeri. Sekian.