UCAPAN BAJET 2014 OLEH Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HJ. AMAN

KETUA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN SABAH DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI

PADA 15 NOVEMBER 2013 (JUMAAT) BERSAMAAN 11 MUHARRAM 1435H

“MENJAMIN KESINAMBUNGAN KESEJAHTERAAN RAKYAT”

 Bismillahir Rahmannir Rahim,

01.          Saya mohon mencadangkan Bajet Negeri Sabah bagi tahun 2014 untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.

02.          Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala, Tuhan sekalian alam, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, kerana dengan kudrat dan iradatNya, maka dapat saya sekali lagi melaksanakan tanggungjawab bagi membentangkan Bajet Negeri Sabah, untuk tahun 2014, pada petang hari Jumaat, penghulu segala hari; 15 November 2013 bersamaan dengan 11 Muharram 1435 Hijrah, di Dewan yang mulia ini.

03.          Sebagai mukadimah, saya bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional Negeri Sabah, ingin mengulangi di Dewan yang mulia ini, ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, kepada rakyat negeri Sabah yang telah memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk terus memerintah dan mentadbir negeri ini.   Meski pun ramai yang menganggap bahawa PRU-13 itu adalah paling getir dalam sejarah pilihan raya negara, namun hakikatnya, sebilangan besar rakyat tetap yakin dengan kebolehan, kemampuan dan kesungguhan Barisan Nasional sebagai pentadbir dan pemerintah negeri dan negara bertuah ini.  Justeru, selaku kerajaan yang memerintah, kita sedar dan insaf, bahawa kepercayaan yang diberikan oleh rakyat ini adalah suatu amanah yang perlu digalas dengan penuh rasa tanggungjawab, kesungguhan dan keikhlasan, demi kecemerlangan negeri dan kesejahteraan hidup rakyat seluruhnya.

Bunga Melati di dalam gelas

Malam Jumaat pasang setanggi

BN berbakti jujur dan ikhlas

Amanah rakyat dijulang tinggi

Insya Allah, dengan mandat yang baru ini, saya bersama rakan-rakan dalam kepimpinan Barisan Nasional Negeri, akan melakukan yang terbaik bagi memastikan negeri Sabah terus aman dan sentosa, makmur dan sejahtera.                                                                                                                             

EKONOMI DUNIA

04.          Ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang lebih kukuh sebanyak 3.6% pada tahun 2014 berbanding dengan 2.9% pada tahun 2013. Secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi negara-negara maju dijangka meningkat kepada 2% pada 2014 daripada 1.2% pada tahun 2013. Pertumbuhan  ekonomi   Amerika  Syarikat  dijangka  bertambah  kukuh   kepada 2.6% pada 2014 daripada 1.6% pada tahun 2013 disebabkan oleh dasar-dasar kewangan akomodatif    yang   berterusan.    Negara-negara   anggota   Kesatuan    Eropah

( European Union – EU ) akan kembali kepada pertumbuhan ekonomi yang positif pada tahun 2014 selepas mengalami kadar pertumbuhan negatif sebanyak 0.4% pada tahun 2013. Bagi tahun 2014, pertumbuhan ekonomi negara-negara EU dijangka pada kadar 1% di mana pengembangan positif ini adalah disebabkan oleh peningkatan pelaburan dan penggunaan yang membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

05.          Ekonomi Jepun dijangka berkembang pada kadar yang lebih rendah iaitu sebanyak 1.2% pada tahun 2014 berbanding dengan 2% pada tahun 2013, dengan jangkaan bahawa kerajaan akan mengurangkan rangsangan fiskal. Di negara China, kadar pertumbuhan ekonomi dijangka menurun daripada 7.6% pada tahun 2013 kepada 7.3% pada tahun 2014. Bagi negara India pula, pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat kepada 5.1% pada 2014 daripada 3.8% pada tahun 2013, disebabkan oleh eksport yang kukuh dan peningkatan dalam kapasiti bekalan. Bagi ASEAN-5 (Indonesia, Thailand, Malaysia, Filipina dan Vietnam), kadar pertumbuhan ekonomi negara-negara tersebut sebagai satu kumpulan dijangka bertambah baik daripada 5% pada tahun 2013 kepada 5.4% pada tahun 2014.

EKONOMI NEGARA

06.          Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.2% pada separuh pertama tahun 2013 yang disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan asas-asas ekonomi serta dasar kewangan yang akomodatif. Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara dijangka berkembang di antara 4.5% dan 5%,  manakala bagi tahun 2014, unjuran pertumbuhan adalah di antara 5% dan 5.5%. Peningkatan ini adalah  disebabkan oleh prospek ekonomi global yang lebih baik. Dari segi penawaran, pertumbuhan akan menjadi meluas, dengan sektor ekonomi utama dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2014 berbanding dengan 2013, disebabkan oleh asas-asas domestik yang kukuh dan peningkatan dalam permintaan luar negeri. Dari segi permintaan pula, pertumbuhan akan dipacu oleh pelaburan swasta yang berkembang pada kadar 12.7% dan penggunaan swasta pada kadar 6.2%.

07.          Pendapatan per kapita dijangka meningkat sebanyak 6.2% kepada RM34,126  pada tahun 2014 berbanding RM32,144 pada tahun 2013. Dari segi Pariti Kuasa Beli ( Purchasing Power Parity ), pendapatan per kapita dijangka meningkat sebanyak 2.6% daripada USD16,743  pada tahun 2013 kepada USD17,173 pada tahun 2014. Kadar pengangguran dijangka berada pada kadar 3.1%  manakala kadar inflasi akan kekal rendah di antara 2% dan 3% pada tahun hadapan.

Ekonomi Sabah

08.          Negeri Sabah telah menyambut perayaan 50 Tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.  Sambutan gilang gemilang itu bukan sahaja mencerminkan perubahan dan kemajuan negeri Sabah, bahkan negeri ini sudah pun menjangkau separuh abad usia kemerdekaannya. Selaku Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, saya berasa bangga memaklumkan bahawa ekonomi negeri Sabah telah berkembang dengan begitu pesat sekali dalam tempoh lima dekad ini. Pada tahun 1967, jumlah Keluaran Dalam Negeri  Kasar ( KDNK ) negeri Sabah hanyalah RM602 juta dan pada masa kini KDNK negeri telah berkembang kepada RM44.4 bilion iaitu telah meningkat sebanyak 74 kali ganda. Rakyat Sabah pada masa kini menikmati pendapatan per kapita yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM19,010 berbanding hanya RM1,774 pada tahun 1970.  Aktiviti perdagangan antarabangsa negeri Sabah dengan negara-negara luar juga telah berkembang dengan begitu pesat. Dalam tempoh 50 tahun,  jumlah eksport negeri Sabah telah meningkat sebanyak 173 kali ganda iaitu meningkat daripada hanya RM274.8 juta kepada RM47.7 bilion seperti mana yang direkodkan pada tahun lepas. Imbangan dagangan yang dicatatkan bertukar daripada negatif RM30 juta pada tahun 1963 kepada positif  RM102 bilion  pada tahun 2012. Dari aspek gunatenaga pula, pada masa kini, jumlah penduduk bekerja di negeri Sabah ialah seramai 1.5 juta orang berbanding hanya 38,991 orang sahaja pada 50 tahun yang lalu.

09.          Ekonomi negeri Sabah dijangka berkembang pada kadar  4% hingga 5% pada tahun 2014. Bagi tahun 2013, pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka pada kadar 3.5% hingga 4% dengan sumber pertumbuhan utama bagi ekonomi negeri Sabah didorong oleh sektor pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini, pertumbuhan  pengeluaran minyak sawit mentah dicatatkan sebanyak 12.9% dan pada masa sama, pertumbuhan eksport pengeluaran minyak isirong kelapa sawit pula sebanyak 42.7%. Pelbagai projek swasta berimpak tinggi dan projek pembangunan Kerajaan yang sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan telah menyumbang kepada kerancakan sektor pembinaan. Jumlah ketibaan pelancong ke negeri Sabah terus meningkat dan mencatatkan kadar pertumbuhan dua digit sebanyak 16.4% dalam tempoh 9 bulan pertama tahun ini dengan jumlah pelancong direkodkan telah melebihi dua juta orang. Sehubungan itu, pendapatan sektor pelancongan pada tahun 2013 ini dijangka akan mencecah RM5.5 bilion.

10.          Sungguhpun pertumbuhan sektor luaran mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan kesan daripada prestasi kurang memberangsangkan yang dicatatkan oleh negara-negara rakan dagang ekport Sabah seperti negara China, India dan lain-lain pada tahun ini, imbangan dagangan negeri Sabah direkodkan kekal positif  iaitu RM6.41 bilion pada tujuh bulan pertama tahun ini. Pelaburan domestik daripada sektor awam dan swasta dijangka akan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Promosi pelaburan yang agresif dalam Koridor   Pembangunan   Sabah   telah  berjaya  menarik   pelaburan    sebanyak

RM2 bilion dalam 3 suku pertama tahun ini dan telah  menyumbang kepada jumlah kumulatif pelaburan komited sebanyak RM116 bilion. Daripada jumlah tersebut, pelaburan  yang telah direalisasikan setakat ini adalah bernilai RM18.6 bilion.

PRESTASI KEWANGAN NEGERI SABAH

11.          Rakyat sedia maklum bahawa Kerajaan adalah komited dalam melaksanakan  tanggungjawabnya  pada setiap masa. Umpama peribahasa yang berbunyi;  “genggam bara api biar sampai menjadi arang”.  Demikianlah seriusnya kita dalam menjalankan urusan pentadbiran Kerajaan, senantiasa berusaha bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan terlaksana dengan sebaik mungkin agar hasilnya dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat. Justeru, dalam aspek pengurusan kewangan, kita berbangga kerana dalam laporan  Ketua Audit Negara  bagi tahun 2012, negeri Sabah telah sekali lagi diberi pengiktirafan “Sijil Tanpa Teguran” ( Clean Bill )  daripada Ketua Audit Negara, menjadikan Sabah sebagai penerima sijil tersebut selama 13 tahun berturut-turut.  Manakala, dalam tahun kewangan 2012, Kementerian Kewangan serta lapan buah Jabatan dan Agensi  lain telah pun diberikan  penarafan empat bintang  dalam Indeks  Akauntabiliti  Ketua  Audit  Negara.  Jabatan dan Agensi berkenaan  ialah:

(a)          Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur;

(b)          Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri;

(c)           Jabatan Bendahari Negeri Sabah;

(d)          Jabatan Arkib Negeri Sabah;

(e)          Pejabat Daerah Tambunan;

(f)           Perbadanan Pinjaman Sabah;

(g)          Majlis Daerah Keningau;dan

(h)          Majlis Daerah Sipitang.

Pada masa yang sama, negeri Sabah telah berjaya mengekalkan penarafan “AAA” ( Triple A)  untuk 5 tahun berturut-turut daripada RAM Rating Services Berhad. Di samping itu, untuk pengurusan bajet negeri yang teratur dan mematuhi peraturan, Moody International pada tahun 2013 ini telah sekali lagi memberikan pensijilan MS-ISO 9001:2008 kepada Kementerian  Kewangan yang mana ini merupakan pencapaian cemerlang selama 5 tahun berturut-turut. Selain daripada itu, Kementerian  Kewangan juga telah memperolehi  penarafan 5 bintang dalam penilaian ‘Star Rating’ daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau MAMPU.

12.          Pada kesempatan ini,  saya ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah, kepada semua ketua jabatan dan agensi kerajaan, penjawat awam, NGOs, ketua masyarakat dan rakyat negeri ini yang telah berusaha dan memberikan kerjasama untuk membantu kerajaan negeri dalam menghasilkan pencapaian-pencapaian cemerlang yang menjadikan Sabah antara negeri-negeri yang terunggul dalam pengurusan kewangan di Malaysia.

13.          Bersempena dengan perayaan 50 tahun Sabah Merdeka Dalam Malaysia, izinkan saya mengimbas kembali kemajuan dan pencapaian pembangunan negeri melalui bajet negeri sejak tahun 1963 di mana pada masa itu, anggaran hasil negeri hanyalah berjumlah RM61.5 juta  manakala anggaran perbelanjaan pula hanyalah RM61 juta. Pada tahun 1974, anggaran hasil negeri telah meningkat kepada RM207 juta dan anggaran perbelanjaan meningkat kepada RM239 juta. Sepuluh tahun selepas itu iaitu pada tahun 1984,  anggaran hasil negeri mencecah RM1.22 bilion manakala anggaran perbelanjaan negeri pula mencapai RM1.38 bilion. Apabila Kerajaan Barisan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 1994, kita telah dapat menyediakan bajet yang berimbang di mana pada ketika itu, bajet negeri telah mencecah RM2 bilion. Walau bagaimanapun, disebabkan kegawatan ekonomi dunia yang berlaku di antara tahun 1997 hingga tahun 2000, anggaran hasil negeri telah berkurangan kepada RM1.57 bilion dan anggaran perbelanjaan negeri menurun kepada RM1.67 bilion. Pada tahun 2010, dengan harga pasaran komoditi yang bertambah baik terutamanya bagi minyak mentah dan kelapa sawit, bajet negeri telah mencapai tahap RM3 bilion iaitu RM3.13 bilion bagi anggaran hasil negeri dan RM3.3 bilion bagi anggaran perbelanjaan negeri. Pada tahun 2012, walaupun hasil negeri dianggarkan berjumlah RM3.7 bilion, namun buat pertama kalinya anggaran perbelanjaan negeri  meningkat kepada RM4 bilion.

14.          Alhamdullilah, berkat kekuatan dan kesungguhan kita, maka Kerajaan Barisan Nasional Negeri Sabah sentiasa berupaya mempamerkan prestasi yang cemerlang dan berkemampuan tinggi untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.  Sehubungan itu, pada pembentangan Bajet 2014 ini, sukacita saya membentangkan sebuah pakej belanjawan yang saya ibaratkan sebagai hadiah yang  terbaik untuk rakyat Sabah sepanjang  50 tahun bajet negeri seperti ini dibentangkan.  Dengan unjuran hasil  berjumlah RM4.583 bilion bagi tahun 2014 yang merupakan satu anggaran  yang tertinggi dalam sejarah penyediaan bajet negeri, maka izinkan saya membentangkan satu Perbelanjaan  Perbekalan yang berjumlah RM4.622 bilion bagi tahun 2014 yang  juga merupakan suatu bajet yang terbesar dalam sejarah kewangan negeri ini sesuai dengan harapan dan aspirasi rakyat yang digalas, sekaligus bagi meneruskan segala agenda pembangunan dan yang penting ialah untuk menepati segala yang dijanji. Ini menunjukkan bahawa dalam tempoh lima puluh tahun, anggaran hasil telah meningkat dengan hebatnya sebanyak 74.52 kali ganda dan anggaran perbelanjaan pula meningkat 75.77 kali ganda. Kata dikota, janji ditepati. Inilah sebabnya mengapa Kerajaan Barisan Nasional harus terus memegang tampuk pemerintahan negeri ini.

OBJEKTIF DAN STRATEGI BAJET 2014

15.          Untuk memacu momentum pertumbuhan ekonomi negeri, bajet 2014 akan lebih memfokuskan terhadap objektif dan strategi yang berikut:

i.              mengukuhkan kedudukan kewangan negeri ;

ii.             menambah baik infrastruktur asas dan prasarana awam;

iii.            mempercepatkan pencapaian halatuju;

iv.           membangunkan belia dan modal insan yang bernilai dan

                berkualiti tinggi;

v.            membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf kualiti hidup rakyat;       dan

vi.           Mencapai pembangunan wilayah yang seimbang.

Tema Bajet 2014

16.          Bertepatan dengan semua janji  dan usaha kerajaan negeri untuk menyediakan masa depan rakyat yang lebih baik, kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,  negeri serta negara yang lebih makmur, maka itu Tuan Speaker, “MENJAMIN KESINAMBUNGAN KESEJAHTERAAN RAKYAT”  telah dipilih sebagai  tema Bajet 2014.  Tema ini mencerminkan komitmen kerajaan yang berterusan dan tulus ikhlas  kepada rakyat yang dikasihi.

ANGGARAN HASIL

17.          Bagi merealisasikan hasrat di sebalik tema bajet tahun 2014, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM4,583 juta  yang merupakan sasaran tertinggi dalam penyediaan Anggaran Hasil Negeri. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak kira-kira 20% berbanding dengan anggaran asal tahun 2013 yang berjumlah RM3,828 juta.

18.          Tiga sumber utama iaitu Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah, Royalti Petroleum dan Penerbitan Bon menyumbang lebih 70% ke atas keseluruhan Hasil Negeri. Manakala sumber-sumber tradisi yang dijangka akan menyumbang terhadap peningkatan hasil adalah daripada sumber Air ,Tanah, Terimaan dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan; Hasil Pejabat-Pejabat Daerah; Pertanian, Perikanan, Perkhidmatan Haiwan Dan Perusahaan Ternak serta Pelabuhan dan Dermaga.

19.          Hasil Negeri Sabah diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Hasil Cukai dijangka menyumbang  sebanyak RM1,107 juta atau 24.2%. Sumber utama dalam kategori ini ialah Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah yang dianggarkan sebanyak RM931.5 juta atau 20.3% daripada jumlah Hasil Negeri. Hasil Bukan Cukai dianggarkan  sebanyak RM2,126 juta atau 46.4% di mana Royalti Petroleum akan menyumbang sebanyak RM1.4 bilion atau 30.5% daripada jumlah Hasil Negeri.  Anggaran ini merupakan amaun tertinggi yang akan dibayar oleh pihak PETRONAS  dengan penemuan telaga minyak baru iaitu Gumusut-Kakap dan jangkaan pengeluaran yang lebih tinggi dari Telaga Minyak Kikeh. Terimaan Bukan Hasil pula dijangka menyumbang sebanyak RM1,349 juta atau 29.4% termasuklah penerbitan bon.

20.          Untuk makluman kita semua di Dewan yang mulia ini, sumber hasil daripada Royalti Petroleum dan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah menyumbangkan kira-kira 50% kepada hasil negeri. Namun, perlu diingat bahawa penentuan harga dan pengeluaran komoditi-komoditi ini adalah di luar kawalan  Kerajaan Negeri kerana ianya dipengaruhi oleh pasaran global. Oleh itu, kita  tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sumber sumber kewangan tradisi seperti ini sahaja.  Justeru itu, pada tahun 2014 Kerajaan Negeri merancang untuk menerbitkan bon berjumlah RM1,000 juta seperti yang pernah kita laksanakan sebelum ini,  bertujuan untuk menyokong agenda pembangunan negeri.

21.          Dengan mengambilkira prestasi kutipan hasil yang baik bagi tahun-tahun sebelum ini yang mencecah paras RM4,000 juta sejak tahun 2010, maka Kerajaan Negeri yakin sasaran yang ditetapkan bagi anggaran tahun 2014  boleh dicapai dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada semua yang terlibat.

ANGGARAN PERBELANJAAN 2014

22.          Dengan anggaran perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah kewangan negeri, ianya akan dapat menyuntik kepada ekonomi negeri Sabah untuk membolehkannya berkembang dengan skala yang lebih tinggi bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh yang lebih awal. Saya yakin, semua lapisan masyarakat tidak mengira agama, suku kaum, jantina, yang kaya atau  miskin, tua atau muda, berupaya atau kurang upaya di mana sahaja mereka berada, ( di laut atau pun di darat ), kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri  merupakan agenda utama yang sentiasa diperjuangkan dan ianya pasti dicapai.

                                                Negeri Sabah indah terkenal

                                                Pelbagai kaum hidup harmoni

                                                Menjadi tekad Barisan Nasional

                                                Membela rakyat memakmurkan negeri

 

ANGGARAN PERBEKALAN

23.          Daripada peruntukan perbekalan tahun 2014 yang berjumlah RM4,621.5 juta, saya cadangkan agihan sebanyak RM702.51 juta untuk Emolumen, RM1,736.59 juta  untuk Perbelanjaan Berulang dan  RM2,182.4 juta bagi Perbelanjaan Khas.

24.          Emolumen mengalami peningkatan sebanyak RM39.34 juta  atau 5.93 % berbanding dengan anggaran tahun 2013 sebanyak RM663.17 juta. Peningkatan perbelanjaan emolumen ini adalah disebabkan pelarasan gaji untuk pegawai perkhidmatan awam negeri di bawah Sistem Saraan Malaysia yang telah dilaksanakan pada tahun 2013. Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan negeri terhadap kebajikan dan masa depan anggota perkhidmatan awam di negeri ini.

25.          Bagi memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, berkapasiti tinggi, efektif dan efisien dalam usaha mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan untuk rakyat yang dikasihi, maka anggaran Perbelanjaan Berulang bagi tahun hadapan meningkat sebanyak RM648.66 juta atau 59.62% berbanding dengan anggaran Perbelanjaan Berulang Tahun 2013  sebanyak RM1,087.93 juta. Peningkatan peruntukan bagi Perbelanjaan Berulang adalah disebabkan oleh keperluan untuk bayaran balik Hutang Bon Kerajaan yang matang berjumlah RM568.9 juta dan bayaran Balik Hutang Persekutuan berjumlah RM171 juta.

26.          Perbelanjaan Khas menunjukkan pengurangan sebanyak RM154.98 juta atau 6.63% daripada anggaran Perbelanjaan Khas Tahun 2013 sebanyak RM2,337.38 juta. Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, kerajaan pada tahun 2013 telah membuat banyak pelaburan ekuiti dalam agensi-agensi kerajaan yang terpilih, maka keperluan pada tahun 2014 adalah berkurangan. Namun, pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa semua agenda pembangunan dan pelaburan akan terus dipergiatkan terutama bagi projek-projek yang berimpak tinggi yang dapat memacukan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

ANGGARAN PEMBANGUNAN

27.          Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2014 melibatkan jumlah sebanyak RM1,200.3 juta iaitu RM838.43 juta daripada Kerajaan Negeri dan RM361.87 juta adalah sumbangan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.   Sumbangan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melibatkan  Peruntukan   Imbuh Balik Persekutuan  sebanyak  RM 28.66  juta dan Pinjaman Persekutuan sebanyak RM333.21 juta.

28.          Pengagihan perbelanjaan pembangunan tahun 2014, mengikut sektor adalah seperti berikut:

(a)          Sektor ekonomi:  RM893.15 juta atau 74.41%

(b)          Sektor Sosial:  RM266.4 juta atau 22.19%

(c)           Sektor Pentadbiran: RM30.75 juta atau 2.56%

(d)          Simpanan Luar Jangka: RM10 juta atau 0.84%

29.          Kerajaan Negeri tidak lupa menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dengan pemberian peruntukan secara langsung berjumlah RM1,047.14 juta melalui jabatan-jabatan negeri yang berkenaan. Komitmen serta sokongan Kerajaan Persekutuan yang berterusan yang diberikan akan dapat membangunkan lagi negeri ini dan meningkatkan lagi kesejahteraan hidup rakyat.   Semua ini berupaya kita lakukan hasil hubungan baik yang rapat dan akrab antara Kerajaan Barisan Nasional Negeri dengan Kerajaan Barisan Nasional Pusat yang sedia terjalin selama ini.   Itulah hikmahnya amalan berbaik-baik dan hidup saling bermuafakat; bagai inai dengan kuku atau bagai aur dengan tebing, saling memberi dan menerima, bersatu padu dan bekerjasama.  Hidup bermuafakat sudah pasti mendapat berkat.

30.          Selaras dengan peranan, tanggungjawab dan fungsi masing-masing sebagai agensi pelaksana utama Kerajaan, agihan peruntukan Perbekalan dan Pembangunan 2014 yang dicadangkan mengikut Kementerian adalah seperti berikut :

                Agihan

 

Perbekalan (RM) juta     Pembangunan(RM) juta

01.   Kementerian Kewangan                                                                                                       1,735.92              11.80

02.   Kementerian Pembangunan  Infrastruktur                                                                  736.08                   298.59

03.   Jabatan Ketua Menteri                                                                                                         469.28                   171.39

04.   Kementerian Pertanian dan Industri Makanan                                                          304.47                   139.93

05.   Kementerian Pembangunan  Masyarakat dan  Hal  Ehwal Pengguna                148.60                   7.19

06.   Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan  Alam Sekitar                                  109.08                   17.87

07.   Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan                                                  96.94                     27.11

08.   Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan    Teknologi Maklumat 87.70                     6.88

09.   Kementerian Pembangunan Luar Bandar                                                                     71.53                     103.92

10.  Kementerian Belia dan Sukan                                                                                             66.54                     28.90

11.  Kementerian Pembangunan Perindustrian                                                                  10.93                     14.85

12.  Perbelanjaan yang tidak termasuk dalam Kementerian-kementerian              25.62    

13.  Perbelanjaan Tanggungan                                                                                                   758.81  

14.  Simpanan Luar Jangka                                                                                                                                           10.00

Jumlah  4,621.50               838.4                                                                                                    

Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Awam

 31.         Kerajaan akan terus memberi fokus kepada projek-projek untuk mencapai objektif mengurangkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar, mengimbangkan pembangunan antara wilayah dan usaha untuk meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat terutamanya di kawasan luar bandar. Untuk tujuan tersebut sejumlah RM1,583.65 juta telah diperuntukkan untuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam di negeri ini.

32.          Pada tahun hadapan, penyediaan jalanraya yang lebih selesa dan berkualiti akan diteruskan melalui program-program seperti  pembinaan dan penyelenggaraan jalanraya, pembaikan cerun-cerun, pembinaan dan penggantian jambatan lama, pengurusan trafik serta pengurusan keselamatan jalanraya. Untuk tujuan ini sebanyak RM347 juta telah disediakan.

33.          Bekalan air bersih dan terawat adalah nadi kehidupan yang mencerminkan kesejahteraan hidup rakyat. Oleh itu ianya amat dititik beratkan di mana sejumlah RM627.92 juta disediakan pada tahun hadapan. Program peningkatan taraf bekalan air ini termasuklah juga program-program seperti penggantian paip-paip lama, kerja-kerja kecemasan dan pengurangan kadar air tidak berhasil.

34.          Kemudahan awam lain seperti sistem pembetungan juga akan dipertingkatkan di mana sebanyak RM45.31 juta diperuntukkan.  Penyediaan kemudahan lalu lintas laut bagi pelayaran yang lebih selamat terutama di pelabuhan-pelabuhan utama di negeri ini turut diberikan perhatian.  Kemudahan jeti juga akan  dibina sejajar dengan keperluan orang awam serta para nelayan.  Untuk tujuan ini sebanyak RM24 juta disediakan. Di samping itu, usaha untuk

menambahbaik perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur perkhidmatan keretapi yang selesa dan selamat akan diteruskan dengan pemberian peruntukan sebanyak RM37.45 juta. Rancangan tebatan banjir di seluruh negeri pula akan diperuntukkan sebanyak RM45.74 juta.

Pembangunan Sektor Halatuju

Pembuatan

35.          Bagi mewujudkan kemudahan infrastruktur asas yang kondusif kepada pelabur-pelabur di taman-taman perindustrian sedia ada di negeri Sabah seperti di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan serta Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), sebanyak RM88.38 juta telah diperuntukkan bagi sektor pembuatan pada tahun 2014.   Mengikut laporan oleh MIDA ( Malaysian Investment Development Authority ), bagi pelaburan yang diluluskan mengikut negeri dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, negeri Sabah berada di kedudukan ke empat selepas negeri Johor, Sarawak dan Melaka. Daripada pelaburan yang berjumlah RM2.84 bilion melibatkan sembilan  buah syarikat di negeri Sabah, sebanyak RM1 bilion adalah merupakan pelaburan asing. Adalah dijangkakan sebanyak   1,057   peluang pekerjaan dapat diwujudkan dari pelaburan tersebut.

Pertanian

36.          Sektor pertanian yang merangkumi sektor perikanan dan penternakan haiwan amat besar impaknya kepada pendapatan dan kestabilan sosio-ekonomi sesebuah negara. Menyedari hakikat ini, Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha-usaha yang kreatif dan berinovatif bagi memberi nafas baru kepada usaha-usaha untuk mentransformasikan sektor pertanian sedia ada agar ianya kekal sebagai sektor utama bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negeri yang mapan. Untuk itu, sejumlah RM472.99 juta adalah disediakan.

37.          Untuk sektor pertanian, sejumlah RM247.07 juta diperuntukkan pada tahun hadapan. Antara program yang giat dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah mengusahakan  tanaman buah-buahan yang mendapat permintaan tinggi untuk dieksport. Di samping itu, selaras dengan Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020, penyelidikan untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi akan diberikan tumpuan dan diteruskan. Program pembaikan sawah-sawah padi dan rancangan pengairan lain untuk membantu sektor pertanian yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran akan diperuntukkan sejumlah RM66.88 juta.

38.          Bagi sektor perikanan pula, antara program yang akan diteruskan ialah program khas menaiktaraf kemudahan hatchery di stesen-stesen akuakultur sebagai pusat  demonstrasi serta latihan kepada industri akuakultur, pembinaan pelantar dan program bantuan pengusaha rumpai laut, skim bantuan nelayan, skim bantuan pengusaha akuakultur dan program pembangunan industri kecil perikanan di bawah jabatan perikanan dan Ko-Nelayan akan diperuntukan sebanyak RM52.78 juta.

39.          Industri ternak yang berpotensi khasnya dalam pengeluaran susu segar akan meneruskan program pembinaan dan menaiktaraf Pusat Pengumpulan Susu serta perolehan peralatan industri susu. Program Pengukuhan Usahawan Ternak Berpengetahuan ( K-Entrepreneur ) juga akan diteruskan. Sejumlah RM85.48 juta disediakan untuk memajukan industri ternakan keseluruhannya.

Pelancongan

40.          Sektor pelancongan akan terus memainkan peranan penting untuk mencapai objektif halatuju pembangunan dan kemajuan negeri Sabah. Bagi tempoh dari Januari hingga September tahun 2013, ketibaan pelancong ke Sabah adalah seramai 2,441,695 orang iaitu peningkatan sebanyak 16.4% berbanding 2,098,509 orang pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun 2012. Ini telah menjana pendapatan pelancongan (Tourism receipts) sebanyak RM4.49 bilion setakat September 2013 berbanding dengan  RM3.86 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2012. Dengan pertumbuhan yang memberangsangkan ini, Kerajaan yakin sasaran ketibaan pelancong untuk tahun 2013, iaitu seramai 3 juta pelancong akan tercapai. 

41.          Bagi tahun 2014, sektor pelancongan negeri menyasarkan ketibaan pelancong seramai 3.4 juta orang dengan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak  RM6.277 bilion. Sasaran ini adalah realistik dengan mengambil kira usaha Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri dan juga dengan adanya kerjasama dan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

42.          Untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri, khususnya dalam usaha-usaha menarik pelaburan dalam penyediaan kemudahan pelancongan, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pelan Induk Pelancongan Pesisiran Pantai dari Tuaran Ke Kota Belud. Pelan Induk ini merupakan satu pelan pembangunan yang menyeluruh dan bertujuan membantu Kerajaan Negeri dalam merancang penggunaan kawasan pesisiran pantai dari Tuaran ke Kota Belud dengan lebih terancang dan berkesan. Pembangunan secara holistik dan bersepadu kawasan pesisir pantai ini akan memberi manfaat kepada negeri amnya dan para penduduk kawasan berkenaan khasnya. Pembangunan melalui pendekatan kluster yang disarankan dalam Pelan ini akan dapat memperluas dan memperkasakan lagi sektor pelancongan negeri dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Untuk melaksanakan program-program yang telah saya sebutkan tadi, sejumlah RM223.99 juta telah diperuntukkan pada tahun hadapan untuk memajukan sektor pelancongan di negeri ini.

43.          Negara dikenali kerana rakyatnya, rakyat dikenali kerana kaum dan bangsanya, dan bangsa itu dikenali kerana budaya serta adat resamnya.  Sesuai dengan peribahasa yang berbunyi, “hidup dikandung adat, mati dikandung tanah”.  Budaya dan adat resam adalah khazanah warisan bangsa yang amat penting untuk dipelihara supaya terus kekal diwarisi oleh generasi akan datang. Untuk itu, Kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap usaha-usaha memulihara, memperkaya dan memajukan warisan budaya etnik negeri Sabah melalui pelaksanaan program-program pendokumentasian semua aspek budaya etnik Sabah; mendaftarkan harta intelek etnik negeri Sabah, perolehan dan pemuliharaan khazanah dan artifak-artifak. Untuk tujuan semua ini, sejumlah RM29.6 juta telah disediakan pada tahun hadapan.

Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Luar Bandar Dan Membasmi

Kemiskinan Tegar

44.          Kerajaan Negeri sememangnya serius dan bersungguh-sungguh dalam usaha pembasmian kemiskinan di negeri ini. Pengurangan kadar kemiskinan daripada 19.7% pada tahun 2009 kepada 8.1% pada tahun 2012 membuktikan usaha kerajaan selama ini telah membuahkan hasil. Kita akan meneruskan semua usaha dan fokus untuk mencapai matlamat sasaran pensifaran miskin tegar  dan  pengurangan miskin relatif.  Pada tahun hadapan sejumlah RM178.14 juta disediakan untuk maksud tersebut.

45.          Sukacita saya memaklumkan bahawa  program-program  pembasmian kemiskinan tegar seperti program Mini  Estet Sejahtera ( MESEJ ) yang telah menampakkan impak yang ketara akan diteruskan dengan pelaksanaan tiga buah MESEJ baru pada tahun hadapan iaitu MESEJ Taburan di daerah Kota Belud, MESEJ Grama di daerah Beaufort dan MESEJ Abai di daerah Kinabatangan. Program-program ini akan dilaksanakan awal tahun depan sebagai tambahan kepada 44 buah MESEJ yang sedia ada di seluruh negeri Sabah. 

Kuasa Tempatan

46.          Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan meneruskan pelaksanaan lima strategi utamanya iaitu memantapkan pembangunan dan penyediaan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas, meningkatkan program sosio-ekonomi untuk membantu golongan yang memerlukan pembelaan, memartabat dan memperkasakan Institusi  Anak Negeri, menyediakan program-program perumahan untuk golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana serta meneruskan pembangunan pekan-pekan baru di beberapa daerah. Di samping itu, penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan awam, kebersihan, perparitan, pemotongan rumput dan pengurusan sisa pepejal akan diberi perhatian khusus demi memastikan rakyat dapat menikmati suasana kehidupan yang selamat, bersih, selesa, sejahtera, aman dan harmoni. Untuk maksud tersebut, sejumlah RM124.05 juta disediakan dalam Bajet 2014.

Pembangunan Modal Insan Dan ICT

Modal Insan

47.          Selaras dengan salah satu objektif bajet untuk membangunkan belia dan modal insan yang bernilai dan berkualiti tinggi, sejumlah RM257.84 juta akan diperuntukkan kepada pelbagai kementerian dan jabatan untuk memperkasakan dan melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif, yang dapat memenuhi keperluan dalam pelbagai sektor ekonomi di negeri ini. Antara program-program yang akan diteruskan termasuklah penyediaan latihan dalam perkhidmatan, latihan pertanian, latihan peningkatan kemahiran serta  pemberian biasiswa.

Belia

48.          Belia adalah aset terpenting kepada negara. Nasib dan masa depan negara terletak di tangan para belia kita hari ini.  Oleh itu, program-program bagi memantapkan golongan belia harus dipertingkatkan agar aset terpenting  negara ini mempunyai kebolehan dan kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran dan persaingan dengan dunia luar.  Justeru, dalam  Bajet 2014, sebanyak RM229.86 juta di sediakan demi untuk memperkasakan golongan belia yang juga dikenali sebagai ‘generasi Y’   agar mereka menjadi lebih bernilai, kreatif, inovatif dan produktif melalui pendidikan, program-program latihan dan kemahiran, kesukanan dan aktiviti kemasyarakatan. Teras Strategik Pembangunan Belia antaranya merangkumi Pemerkasaan Pembangunan Belia dan Gerakan Budaya Belia Berpersatuan berfokuskan Titik Sentuhan iaitu Pembangunan Kepimpinan; Kemahiran dan Keusahawanan;  Pembangunan Sosial dan Perpaduan; Jaringan Kerjasama dan Hak Upaya Persatuan.

49.          Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian yang serius terhadap kualiti hidup dan perkembangan positif golongan belia. Hal ini amat penting untuk membangunkan kepemimpinan yang matang dan mantap; melahirkan pewaris yang memiliki peribadi unggul dan belia perkasa dari segi kecergasan fizikal, kecerdasan minda, kematangan emosi dan kejituan rohani untuk mengharungi pelbagai cabaran agar mereka dapat memperlengkapkan diri sebagai peneraju kepimpinan negeri dan negara di masa hadapan.

Perkembangan Information and Communications Technology (ICT)

50.          Dengan kepesatan perkembangan ICT pada masa kini, segala maklumat mudah diperolehi sebagaimana istilah hari ini yang berbunyi, “segalanya terletak di hujung jari”. Semua lapisan masyarakat khususnya para pelajar dan belia berlumba-lumba untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dan mendapatkan maklumat terkini melalui kecanggihan ICT. Di samping itu juga jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar akan dirapatkan lagi. Oleh yang demikian, pada tahun 2014, sejumlah RM92.98 juta akan diperuntukkan  untuk pembangunan ICT yang antaranya meliputi Pusat E-desa, kreatif Arama-IT, memperkasakan usahawan berteraskan ICT,  latihan secara maya dan pelbagai latihan lain untuk belia dan orang awam.

Pembangunan Sukan

51.          Dalam memastikan peningkatan dalam kecemerlangan bidang sukan di negeri ini, sejumlah RM68.62 juta disediakan pada tahun hadapan. Teras strategi kecemerlangan sukan adalah menerusi pembudayaan dan penggalakkan penganjuran sukan massa dan pengukuhan sukan berprestasi tinggi berpaksikan penghayatan Sains Sukan, Aplikasi Kemajuan Teknologi Maklumat ( ICT ) dan penyediaan infrastruktur sukan. Antara projek-projek yang akan diteruskan ialah Projek Naiktaraf Kompleks Sukan Tambunan dan Tawau; Projek Naiktaraf Sistem Pencahayaan Lampu Limpah Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Projek Pembinaan Kompleks Sukan Lahad Datu serta projek pembinaan dan naiktaraf padang sukan di luar bandar.

Pembangunan Sosial Dan Kebajikan Am

52.          Kerajaan amat prihatin dan mengambil  berat terhadap perkembangan dan kebajikan pelajar-pelajar sekolah yang akan menjadi pelapis dan peneraju negara kita di masa hadapan. Untuk itu sejumlah RM26  juta disediakan untuk pelbagai program seperti alat-alat tulis, buku latihan, pakaian seragam serta kasut sekolah. Sejumlah 270,323 orang murid dari 1,070 buah sekolah rendah, tadika dan tabika di seluruh negeri mendapat faedah daripada program ini.

53.          Golongan kurang bernasib baik dan kurang upaya sentiasa mendapat tempat istimewa dalam program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan. Pada tahun 2014, sejumlah RM110.1 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan program berunsur  'productive welfare'  seperti membaik pulih rumah, penubuhan pusat perkembangan kanak-kanak luar bandar, program-program pemulihan dalam komuniti dan lain-lain lagi. Projek pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas di Daerah Beaufort dan Pembinaan Semula Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya dan Kuaters Bertingkat, Sembulan dijangka akan dilaksanakan dalam tahun 2014. Program seumpama ini merupakan titian silaturahim yang mendekatkan rakyat dengan kerajaan. Kerajaan benar-benar ikhlas dalam melaksanakan programnya bagi memastikan mereka yang kurang bernasib baik tidak jauh terpinggir atau tersisih dalam sama-sama menikmati pembangunan dan kemakmuran di negeri yang tercinta ini.

Memupuk Tabiat Membaca

54.          Membaca itu merupakan amalan yang besar manfaatnya.  Membaca bukan sahaja dapat mencerdaskan minda, malah membaca adalah kunci kejayaan. Masyarakat yang membaca adalah masyarakat yang berilmu dan bertamadun tinggi.  Perpustakaan sebagai gedung ilmu akan diperuntukkan sejumlah RM24.43 juta untuk melaksanakan program seperti pembangunan koleksi  dalam bentuk monograf, e-book dan audio-visual, projek pembinaan bangunan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tambunan, pembinaan sepuluh buah Perpustakaan Desa dan pembelian empat unit van perpustakaan bergerak.

Pembangunan Wanita

55.          Sejumlah RM4.78 juta disediakan dalam Bajet 2014 untuk melaksanakan program-program khusus untuk pembangunan wanita. Disamping itu, dalam aspek pembangunan lain seperti pembangunan modal insan, belia, sukan dan ICT, wanita juga turut  menikmati dan mendapat manfaat daripada  peruntukan yang disediakan sepertimana yang telah saya sebutkan sebelum ini.  

56.          Tidak lengkap pembangunan sesebuah negara tanpa sumbangan daripada kaum wanita. Peranan mereka telah diiktiraf dan bertambah penting dalam semua aspek baik di dalam bidang pengurusan dan profesional, politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Dalam zaman yang serba moden ini, kaum wanita adalah rakan kongsi kaum lelaki  sesuai dengan pepatah yang berbunyi, “Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada seorang wanita di belakangnya”. 

57.          Justeru, kerajaan amat serius dalam membantu dan menaikkan taraf wanita di negeri ini. Program Wanita Berwibawa ( Women Of Substance ) misalnya telah berjaya mengetengahkan pelapis pemimpin wanita masa hadapan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan golongan profesional dalam sektor pekerjaan sama ada dalam sub-sektor awam dan swasta maupun melahirkan wanita yang berwibawa di arena politik negara. Negeri Sabah amat berbangga dengan pencapaian wanita Sabah di peringkat antarabangsa seperti yang dicapai oleh Yang Berbahagia Datin Alexandra Chin yang telah dipilih sebagai Naib Presiden dan seterusnya akan menjadi Presiden bagi Association of Chartered Certified Accountants ( ACCA-Global ) pada tahun 2015. Adalah diharapkan lebih ramai lagi kaum wanita anak Sabah yang mempunyai pencapaian seumpama ini.

Pencapaian Agensi Awam   

58.          Kerajaan amat menggalakkan pembayaran dividen dan pinjaman oleh agensi-agensi dan syarikat-syarikat Kerajaan Negeri. Sehubungan ini, saya amat berbangga kerana beberapa agensi seperti Innoprise Corporation, Perbadanan Pinjaman Sabah, Sabah Development Bank, Warisan Harta Sabah Sdn.Bhd, Sabah Energy Corporation, SEDCO, Progressive Insurance Berhad,  Desa Lestari Sdn.Bhd, Desa Plus Sdn.Bhd, Suria Capital Holdings Bhd dan Sawit Kinabalu Sdn.Bhd  yang telah menunaikan dan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pengisytiharan dividen kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2013. Syabas saya ucapkan. Saya menjangkakan beberapa agensi yang lain juga akan mengisytiharkan dividen kepada Kerajaan Negeri pada masa hadapan.

59.          Lanjutan daripada eksesais penstrukturan semula pinjaman yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan sejak tahun 2008, beberapa Badan Berkanun Negeri dan agensi Kerajaan Negeri telah berjaya memperbaiki prestasi kewangan masing-masing. Antara Badan Berkanun Negeri dan agensi Kerajaan Negeri yang menunjukkan peningkatan prestasi kewangan dan telah dapat membuat pembayaran pinjaman kepada Kerajaan Negeri ialah Lembaga Industri Getah Sabah, Korporasi Pembangunan Desa, SAFMA Sdn. Bhd. dan Desa Hatchery Sdn. Bhd. Manakala agensi yang tidak terlibat dengan eksesais penstrukturan semula pinjaman tetapi telah juga membuat pembayaran balik pinjaman ialah Sabah Energy Corporation, Timplas Industries (M) Sdn. Bhd. dan Tabin Wildlife Holidays Sdn. Bhd. Saya berharap lain-lain Badan Berkanun Negeri dan agensi Kerajaan Negeri akan mencontohi dan menyaingi prestasi cemerlang agensi-agensi yang saya sebutkan tadi.

60.          Sebagai usaha penambahbaikan proses pemantauan ke atas Badan Berkanun Negeri dan agensi Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan telah menaiktaraf Sistem Maklumat Syarikat Kerajaan Negeri ( State Company Information System – SCIS ) kepada versi web. Berbeza dengan versi lama, versi terkini yang telah dilancarkan pada 28 Oktober 2013 membolehkan input data dan capaian maklumat secara dua hala dengan pantas antara Kementerian Kewangan dan Badan Berkanun Negeri serta agensi Kerajaan Negeri. Melalui sistem ini, maklumat juga boleh dicapai oleh Kementerian Pengawal masing-masing. SCIS berperanan sebagai sistem amaran awal kepada Kementerian Kewangan dalam membuat dasar agihan kewangan dan memantau prestasi Badan Berkanun Negeri dan agensi Kerajaan Negeri. Saya menyeru agar semua Badan Berkanun Negeri dan agensi Kerajaan Negeri dapat memberikan kerjasama dalam memberikan input data dan maklumat yang diperlukan.

Menghargai Penjawat Awam

61.          Pembentangan Bajet ini tidaklah lengkap jika tidak menyentuh tentang prestasi dan penghargaan kepada para penjawat awam serta apa yang diharapkan oleh Kerajaan daripada golongan penggerak sistem penyampaian kerajaan ini. 

62.          Pada dasarnya, Kerajaan Barisan Nasional Negeri amat menghargai prestasi yang ditunjukkan oleh anggota perkhidmatan awam negeri selama ini.  Namun begitu, masih terdapat ruang yang perlu diambil perhatian bagi penambah-baikan.  Berpuashati dengan pencapaian sedia ada, atau  bersikap “taking things for granted ”, adalah sifat dan sikap yang harus dielakkan.  Perlu diingat, melakukan penambah-baikan bagi mempertingkatkan sistem penyampaian, seterusnya bagi memantapkan lagi prestasi anggota perkhidmatan awam, adalah suatu proses yang berterusan      

                                                                               

Penjawat awam rakan sejati

                                                Peranan mereka umpama nadi

                                                Bakti disemai disanjung tinggi

                                                Hadiah bonus akan diberi

 

63.          Sesuai dengan peranan mereka sebagai tulang belakang dan nadi kepada kerajaan dalam mentadbir negeri ini, juga sebagai pelaksana agenda pembangunan kerajaan, maka Kerajaan Negeri bersetuju untuk membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri yang layak.  Pemberian  bonus ini akan dibuat serentak dengan pembayaran gaji  bulan Januari 2014. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, adalah dianggarkan sebanyak RM19 juta diperlukan bagi membayar bonus berkenaan yang melibatkan seramai  17,400 orang anggota perkhidmatan awam negeri. Semoga pemberian bonus ini akan dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh para anggota perkhidmatan awam yang berkenaan.

64.          Dalam pada itu, kerajaan juga peka dan amat prihatin dengan masalah kenaikan harga rumah di pasaran sekarang. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan kelayakan had maksima pinjaman perumahan untuk para penjawat awam sebanyak RM50 ribu, iaitu daripada RM350 ribu sebelum ini kepada RM400 ribu.

65.          Kerajaan Barisan Nasional ini adalah seumpama “Pokok besar di tengah padang; tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan; uratnya tempat bersila, dahannya tempat bersandar”.  Demikianlah diibaratkan nilai  keprihatinan dan kewibawaan Kerajaan Barisan Nasional yang menaungi kehidupan rakyat, tempat di mana rakyat bergantung harap, dan kerajaan ini pula akan terus  berikhtiar serta berusaha untuk memenuhi harapan tersebut.

66.          Sesungguhnya, tiada siapa yang boleh menidakkan atau mempertikaikan  komitmen dan kejayaan Kerajaan Barisan Nasional dalam membela dan membangunkan negeri ini sejak memerintah negeri Sabah hampir 20 tahun lalu, bukan sedikit perubahan dan pembangunan yang telah diikhtiarkan dan diusahakan oleh Kerajaan Barisan Nasional selama ini.  Namun, hanya mereka yang tidak mahu menerima hakikat sebenarnya yang sanggup mengatakan tiada apa-apa yang BN lakukan untuk mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri yang tercinta ini !

PENUTUP

67.          Negeri Sabah turut memainkan peranan yang penting dalam pembentukan Negara Malaysia sejak  50 tahun yang lalu.  Selama lima dekad itu, rakyat Sabah telah melalui pelbagai suka duka, pahit manis dan hitam putih dunia politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.  Namun, kita tetap bersyukur kerana di samping cabaran dan ujian yang melanda, negeri Sabah tetap mara ke hadapan dan terus mencipta kejayaan.  Untuk lima dekad yang akan datang dan tahun-tahun seterusnya, Kerajaan Barisan Nasional Negeri Sabah telah membina suatu asas yang kukuh bagi memastikan negeri Sabah terus maju dengan cemerlang.

68.          Marilah kita terus bersatu hati ke arah menumpukan sepenuh-penuh perhatian dalam usaha kita membangunkan dan melakukan transformasi terhadap negeri Sabah yang bertuah ini.  Matlamat kita adalah untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri bukan sekadar untuk diri kita semata-mata, bahkan juga untuk generasi yang akan datang.  Saya menyeru kepada semua pihak, termasuklah pihak-pihak pembangkang, marilah kita saling bekerjasama, menggembleng tenaga dan minda, ke arah mengukuhkan permuafakatan demi melakukan sebuah transformasi bagi menjamin kesinambungan kesejahteraan dan kebahagiaan seluruh rakyat dan demi kecemerlangan Negeri Di Bawah Bayu ini, negeri Sabah yang tercinta! Bersama dan bersatu, kita boleh melakukannya. Insya Allah.

Saya mohon mencadang.