TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS SERENTAK PEMBERIAN BANTUAN SARA HIDUP NELAYAN LKIM, PELANCARAN KOMUNITI USAHAWAN 1 AZAM ADUN N.21 KARAMBUNAI SERTA ANUGERAH SABAH YOUNG AGRO BUSINESSMAN (SABAH YAB), PADA 15 MAC 2013

DI INSTITUT KEMAHIRAN MARA (IKM) KOTA KINABALU, SABAH.

 

Majlis 3 dalam 1 pada hari ini yang menghimpunkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat sangat bermakna kerana berjaya menghimpunkan golongan yang penting dalam masyarakat. Ini termasuklah golongan usahawan tani dan nelayan serta golongan muda menerusi program kerajaan seperti 1 Azam dan Sabah Young Agro Businessman (Sabah YAB).

 

Ketiga-tiga program kita hari ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam membela nasib semua lapisan rakyat, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan mengurangkan kemiskinan tegar di negeri ini.

 

Dalam konnteks Bantuan Sara Hidup Nelayan, ini jelas membuktikan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam menghargai sumbangan para nelayan kepada sektor perikanan dan juga bekalan makanan negara. Justeru bantuan sara hidup ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban keluarga tetapi juga diharap dapat menyuntik semangat nelayan untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi.

 

Di samping itu, saya juga menyambut baik inisiatif Pelancaran Komuniti Usahawan 1 Azam DUN Karambunai. Penstrukturan pengurusan usahawan 1 Azam dalam komuniti yang lebih tersusun dan konsisten merupakan langkah terbaik. Saya difahamkan pembangunan program 1 Azam yang berasaskan komuniti di DUN Karambunai ini difahamkan adalah yang pertama di Malaysia.

 

Dengan adanya platform seumpama ini, program 1 Azam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan supaya wujudnya bimbingan dan pemantauan. Malah saya yakin, usaha ini bukan sahaja dapat mengeluarkan peserta 1 Azam daripada kelompok miskin tetapi juga kita berpotensi untuk melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan mereka.

 

Saya juga berbangga kerana setelah pelancaran Sabah Young Agro Businessman (Sabah YAB) untuk graduan Institut Skill-Tech Sabah pada 12 April 2012, saya dimaklumkan bahawa kumpulan perintis ini telah berjaya memanfaatkan dana MyAgrosis, Agro Bank sebanyak hampir RM1 juta dengan jumlah peminjam hampir 20 orang.

 

Kejayaan kumpulan perintis ini jelas membuktikan bahawa semakin ramai golongan muda sudah berani menceburkan diri dalam sektor pertanian. Saya juga dimaklumkan bahawa kumpulan Sabah YAB adalah kumpulan pertama dan terbesar yang mengguna pakai dana MyAgrosis sekaligus menjadikan mereka sebagai model terbaik MyAgrosis di Malaysia. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya berharap semoga segala usaha ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk kita sama-sama membangunkan negeri dan menjamin kemakmuran dan kemajuan yang berterusan demi manfaat kita bersama.

  

Sekian.