TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SENAM CERGAS SIHAT PERINGKAT KEBANGSAAN 2012

PADA 30 SEPTEMBER 2012, DI PADANG PEKAN BEAUFORT, BEAUFORT.

 

Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia serta seluruh agensi pelaksana di peringkat Negeri Sabah iaitu Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Beaufort atas jemputan dan penghormatan untuk saya hadir seterusnya melancarkan Program Senam Cergas Sihat Peringkat Kebangsaan 2012 yang julung kalinya diadakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi Persekutuan dan Negeri, badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) dan sektor swasta.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas pemilihan Negeri Sabah sebagai venue pelancaran Program Nasional ini. saya difahamkan antara objektif utama majlis ini ialah manifestasi pengiktirafan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terlibat didalam aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan di samping merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat “berbudaya sukan” dan mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

 

Saya yakin dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat di dalam program ini, ia berupaya meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kita menjaga tahap kesihatan dan kecergasan diri. Ini seterusnya dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing negara dalam bidang ekonomi dan pembangunan modal insan sekaligus merealisasikan gagasan 1Malaysia ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kita kasihi.

 

Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menganjurkan kegiatan sukan mahupun program kecergasan dari masa ke semasa. Justeru, saya menyeru agar usaha-usaha ini dipertingkatkan lagi dengan melibatkan lebih banyak jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s). Ini penting dalam menyemarakkan dan meningkatkan semula minat rakyat terhadap sukan khususnya di negeri ini.

 

Sesungguhnya penglibatan yang berterusan dalam kegiatan sukan riadah berupaya melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. Apatah lagi, penglibatan kita dalam sukan dan riadah dapat menghindari risiko penyakit tidak berjangkit (non-communicable deseases – ncd). Justeru, suka saya mengajak semua masyarakat  untuk bersama-sama melibatkan diri dalam aktiviti riadah sebagai aktiviti harian kita.

 

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga penganjur khususnya kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah,  Pejabat Daerah Beaufort dan semua yang terlibat atas kejayaan penganjuran majlis pada pagi ini. Semoga kerjasama seumpama ini akan berterusan  dan dipertingkatkan lagi pada masa-masa akan datang.

 

Sekian.