TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM SAMBUTAN HARI IBU BAPA SEDUNIA DAN PENYAMPAIAN HADIAH PERADUAN MENULIS ESEI BAHASA CINA SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH PERINGKAT NEGERI SABAH 2012, PADA 6 JULAI 2012

DI GRAND BALLROOM, MAGELLAN SUTERA HOTEL, KOTA KINABALU.

 

 

Saya menyambut baik inisiatif dan usaha menganjurkan program ini kerana selain meraikan kejayaan anak-anak kita dan juga sambutan Hari Ibu Bapa, kita juga dapat bertemu dan beramah mesra, sekaligus mengeratkan lagi semangat perpaduan dan muhibah yang telah wujud di antara kita sejak sekian lama.

 

Saya gembira melihat kerjasama dan muafakat yang dipamerkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGOs) Wanita, Gabungan Persatuan Cina Sabah dan Jabatan Pelajaran Negeri dalam menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Bahasa Cina ini. Saya yakin penganjuran pertandingan menulis esei melibatkan penyertaan seramai 5322 orang pelajar termasuk 383 orang pelajar bumiputera ini bukan sahaja dapat mengasah bakat dan kebolehan, malahan ia juga dapat meningkatkan penguasaan dan prestasi pelajar khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Cina.

 

Kejayaan anak-anak pada hari ini merupakan hasil usaha gigih para pendidik dan juga berkat kerjasama dan sokongan yang padu daripada ibu bapa. Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama meningkatkan lagi usaha mendidik anak-anak kita agar mereka menjadi orang yang cemerlang dan berjaya yang akan mencorakkan masa depan negara pada masa hadapan.

 

Sesungguhnya keamanan dan keharmonian yang kita nikmati pada hari ini adalah berkat komitmen dan pengorbanan pemimpin terdahulu serta kesungguhan dan kegigihan ibu bapa dalam menyemai benih-benih toleransi. Mereka sanggup mengetepikan perbezaan untuk mencapai kemerdekaan negara yang tercinta.

 

Justeru, tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak-pihak tertentu yang cuba meniupkan dan membakar sentimen perkauman, perlulah kita elakkan. Ia bukan sahaja menggugat keharmonian hidup rakyat, tetapi juga memberikan impak negatif kepada imej negara, menjejaskan sektor pelancongan, ekonomi dan pelaburan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara kita.

 

Oleh itu, amat penting untuk kita semua, sama ada di pihak kerajaan, Jabatan Pelajaran Sabah dan NGO seperti Gabungan Persatuan Cina Sabah agar sentiasa berbincang dan bekerjasama bagi mencari pendekatan yang terbaik. Ini terutamanya dalam konteks mengukuhkan perpaduan dan keharmonian, menyemai nilai-nilai mulia seperti menghargai ibu bapa dan meningkatkan lagi kemajuan rakyat dan negara menerusi kecemerlangan pendidikan.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur. Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang. Semoga program ini mencapai matlamatnya dan akan diteruskan serta ditingkatkan lagi pada masa-masa yang akan datang.

 

Sekian, terima kasih.