TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT KRAFTANGAN SABAH OLEH Y.A.B. PERDANA MENTERI, PADA 16 JUN 2012, DI PUSAT KRAFTANGAN SABAH, KENINGAU.

 

 

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama dengan Y.A.B. Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kita kasihi dan Y.A.Bhg. Datin Seri Panglima Rosmah Mansor, sempena lawatan kerja Y.A.B. Perdana Menteri ke Sabah.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Sabah khususnya rakyat di kawasan Pedalaman, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. Perdana Menteri dan Y.A.Bhg. Datin Seri Panglima Rosmah Mansor, ke Majlis Perasmian Pusat Kraftangan Sabah di Keningau, pada hari ini.

 

Sesungguhnya, kehadiran Y.A.B. Perdana Menteri ke kawasan Pedalaman Sabah ini, jelas membuktikan bahawa walaupun sibuk dengan tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin nombor satu negara, terbukti bahawa rakyat Sabah sentiasa dekat di hati beliau. Inilah pemimpin yang ikhlas dan amat prihatin terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat di seluruh pelosok negeri Sabah, sesuai dengan ‘Gagasan, 1Malaysia; Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

 

Ribuan rakyat yang hadir untuk bersama-sama dengan Y.A.B. Perdana Menteri pada hari ini juga, jelas membuktikan bahawa rakyat Sabah bukan hanya di Kota Kinabalu, di Sandakan, di Tawau, di Tenom, di Sipitang tetapi juga di Keningau dan kawasan Pedalaman serta di seluruh pelosok Negeri Sabah, tetap berdiri teguh dan memberikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan, transformasi dan perjuangan Y.A.B. Perdana Menteri untuk memacu kecemerlangan negara dan rakyat.

 

Walau di kanan atau di kiri

Tetamu yang datang ramai sekali

Inilah tanda inilah bukti

Pemimpin dan rakyat bersatu hati!

 

Hari ini pastinya mencatatkan sejarah yang penuh bermakna bagi rakyat negeri Sabah dengan perasmian Pusat Kraftangan Sabah oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia. Bangunan yang bernilai RM30 juta yang dibiayai oleh Yayasan Sabah ini menempatkan pelbagai kemudahan seperti ruang pameran dan jualan produk kraf tangan yang dihasilkan oleh para peserta kraftangan anjuran Yayasan Sabah.

 

Di samping itu, ia juga menyediakan program-program latihan serta kursus tertentu untuk memberikan peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat khususnya golongan muda mendapatkan ilmu, latihan dan bimbingan bagi mempelajari dan menghasilkan kraftangan yang berkualiti dan bernilai tinggi. Suka saya tekankan bahawa pelaksanaan semua program serta kursus termasuk penyediaan peralatan dan kelengkapan di pusat kraftangan ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat melalui dana yang bernilai RM20 juta.

 

Selaras dengan saranan Y.A.B. Perdana Menteri untuk membudayakan kreativiti dan inovasi, kita akan memastikan hasil kraf yang sememangnya kaya dengan nilai dan unsur tradisi budaya tempatan ini, juga memiliki  ciri-ciri kreativiti dan inovasi yang tinggi. Alhamdulillah, dengan keprihatinan dan bantuan Kerajaan Pusat, kita juga menyediakan tenaga pengajar yang terbaik dari dalam dan luar negara bagi memastikan kualiti industri kraf tempatan mampu untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

Di samping menjadi pusat latihan dan pemasaran hasil-hasil kraf, Pusat Kraftangan Sabah ini juga menjadi daya tarikan pelancongan yang baru di kawasan Pedalaman. Bagi mereka khususnya para pelancong yang datang ke Pedalaman untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi dan kekayaan tradisi kita, mereka juga pastinya berkunjung ke Pusat Kraftangan Sabah untuk mendapatkan pelbagai produk seni kraftangan kita yang unik dan menarik.

 

Justeru, Pusat Kraftangan Sabah ini akan menjana peningkatan sosioekonomi rakyat dengan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

 

Suka saya tekankan bahawa ini adalah Pusat Kraftangan Sabah yang kita bina di Keningau bukan hanya untuk kemudahan dan manfaat kepada rakyat di kawasan Pedalaman, bahkan untuk semua rakyat Malaysia.

 

Usaha-usaha pembangunan ini dapat kita jayakan dengan adanya kerjasama yang erat dan kukuh antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya Y.A.B. PM yang sangat prihatin dan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

 

Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, selama ini banyak telah kita lakukan bagi membuktikan komitmen dan iltizam kita dalam membela nasib rakyat. Di peringkat pusat, Y.A.B. PM telah memperkenalkan dan melaksanakan pelbagai program dan transformasi yang kesemuanya menjurus ke arah mengukuhkan perpaduan, meningkatkan lagi taraf hidup dan membela nasib rakyat. Antaranya Gagasan 1Malaysia, program-program transformasi, bantuan persekolahan, Klinik 1Malaysia (K1M) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Untuk kawasan pedalaman ini, dua Klinik 1Malaysia yang akan diwujudkan pada tahun ini iaitu di Taman Bariwa, Keningau dan di Pekan Tambunan.

 

Di peringkat negeri, sememangnya kita merancang dan melaksanakan pembangunan secara holistik dan berterusan, seiring dengan Dasar Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah, pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Program-program Transformasi yang dicetuskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri.

 

Umpamanya di bawah SDC, daerah Keningau yang terletak dalam Zon Agropolitan Pedalaman sedang rancak melalui proses transformasi menjadi sebuah daerah pelancongan dan ternakan bersepadu, dengan penekanan kepada agro pelancongan, pembuatan kraftangan dan program inap desa (homestay) di bawah konsep Perkampungan Kraf (handicraft village). 

 

Saya yakin inisiatif untuk membangunkan kawasan pedalaman di Sabah ini akan dapat membantu merubah keadaan hidup rakyat seiring dengan arus pembangunan negara melalui program transformasi ekonomi.

 

Sesungguhnya kehadiran ribuan rakyat dalam majlis yang penuh bermakna ini menjadi saksi bahawa janji pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional untuk membina sebuah pusat kraftangan di kawasan pedalaman, kini telah ada di hadapan kita. Janji dan hasrat saya untuk membawa Y.A.B. PM melawat dan berjumpa rakyat di kawasan pedalaman, yang merupakan penyokong setia kerajaan BN, juga telah kita kotakan. Inilah kerajaan BN, kata di kota, janji di tunai, rakyat dibela.

 

Parlimen Pekan indah dan permai

Bandar Diraja memang terkenal

Kata di kota, janji di tunai

Inilah kerajaan Barisan Nasional.

 

Kita bukan sahaja bercakap atau merancang, kita turun padang bukan bermusim, kita turun padang bersama rakyat bukan dengan tangan kosong dan air liur saja, seperti parti pembangkang yang hanya pandai berjanji kosong bercakap bohong.

 

Untuk makluman Y.A.B. Datuk Seri, dalam majlis-majlis perjumpaan saya bersama rakyat di seluruh Sabah, khususnya dalam Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat dan Perjumpaan dengan Ketua-ketua Masyarakat, saya nyatakan bahawa pemimpin pembangkang yang datang ke Sabah ini ibarat ‘saudagar ubat yang mimpi’. Tapi, ubat yang dibawa bukanlah ubat mujarab, sebaliknya ubat mudarat.

 

Mereka kononnya datang ke Sabah, masuk kampung keluar kampung untuk membantu rakyat. Bagaimana mahu membantu rakyat? Kalau negeri-negeri yang mereka tadbir pun lintang pukang dan kucar kacir. 

 

Sebaliknya pemimpin kerajaan BN khususnya Y.A.B. PM sentiasa turun padang membawa dan melaksanakan agenda dan projek pembangunan untuk rakyat. Kita berani turun padang kerana kita adalah pemimpin dan kerajaan yang buat kerja dan sentiasa berkhidmat untuk rakyat. Bukan macam pembangkang.

 

Apa diharap padi sebarang

Entahkan kuning entahkan hijau

Apa diharap parti pembangkang

Menyusahkan rakyat membuat kacau.

 

Saya percaya dengan adanya komitmen dan keprihatinan pemimpin pusat terutama Y.A.B. Perdana Menteri, kerja keras dan keikhlasan para pemimpin BN, kerjasama dan sokongan penjawat awam serta semua lapisan rakyat, kita dapat membangun dan memajukan lagi kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini, sekali gus membela nasib semua lapisan rakyat dengan lebih berkesan bersama-sama Kerajaan BN.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kita kasihi dan Y.A.Bhg. Datin Seri Panglima Rosmah Mansor, atas kesudian untuk bersama-sama rakyat di kawasan pedalaman dalam Majlis Perasmian Pusat Kraftangan Sabah di Keningau, pada hari ini.

 

Mudah-mudahan dengan kehadiran Y.A.B. Perdana Menteri ini, akan memperkukuhkan iltizam serta tekad kita di negeri ini untuk terus membela nasib rakyat dan memajukan kawasan pedalaman menerusi usaha-usaha transformasi kerajaan demi kemakmuran dan kesejahteraan kita dan generasi yang akan datang.

 

Panas terik sinar mentari

Kering kontang air di kali

Berdiri teguh bersama Perdana Menteri

Menyerah kalah pantang sekali!

 

 

Sekian.