TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN S.M.K. RANAU DAN PENYERAHAN TAPAK INSTITUT AMINUDDIN BAKI CAWANGAN SABAH PADA 27 APRIL 2012, DI SMK RANAU, SABAH.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Sabah, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian Y.A.B. Tan Sri dan Y.A.Bhg. Puan Sri untuk mengadakan lawatan kerja ke Sabah dan seterusnya bersama-sama dengan rakyat di daerah Ranau, pada pagi yang mulia ini.

 

Pada minggu lalu, kita baru sahaja bersama-sama dengan Y.A.B. Perdana Menteri, dan pada hari ini pula dengan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri. Sesungguhnya ini jelas membuktikan keikhlasan, keprihatinan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan, khususnya Y.A.B. Perdana Menteri dan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Sabah pada keseluruhannya. 

 

Dalam konteks program pada hari ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas inisiatif berterusan dalam memacu kecemerlangan pembangunan pendidikan di negeri ini.

 

Sudah tentu majlis yang penuh bermakna ini mencipta satu lagi sejarah dalam perkembangan pendidikan di Sabah apabila warga sekolah dan masyarakat Ranau akan menyaksikan pelaksanaan majlis berkembar iaitu perasmian SMK Ranau, yang tersergam indah ini, dan penyerahan tapak Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah dengan tanah yang dahulunya Pusat Latihan Telekom di Menggatal, Kota Kinabalu menjadi tapak Institut Aminuddin Baki, Cawangan Sabah yang baru.

 

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada KPM dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah yang mempunyai inisiatif dan persefahaman untuk mendapatkan tapak ini yang sangat strategik kedudukannya tanpa melibatkan sebarang kos. Justeru, kita akan dapat melihat perubahan bukan sahaja menerusi landskap di kawasan Kota Kinabalu dengan pembangunan di tapak tersebut tetapi yang paling penting perubahan dalam latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan di Negeri Sabah.

 

Pembinaan kampus IAB Cawangan Sabah akan memberi ruang dan peluang untuk memuktamadkan pelbagai program KPM dalam usaha memberi pengiktirafan terhadap sokongan padu masyarakat pendidik di Sabah. Dalam masa yang sama, ia juga memberikan banyak peluang kepada mereka untuk menyertai pelbagai program pendidikan yang dilaksanakan oleh KPM untuk meningkatkan tahap kualiti kehidupan dan prasarana kerja warga pendidik di Negeri Sabah. 

 

Saya yakin dengan majlis perasmian SMK Ranau dan Upacara Penyerahan Tapak Kampus Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah, bukan sahaja akan melonjakkan kecemerlangan pendidikan,  bahkan berupaya melahirkan modal insan yang unggul dalam aspek latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan. Ia tentunya akan berupaya mengoptimumkan aspek ‘value for money’ dalam pembangunan individu dan organisasi pendidikan.

 

Suka saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastruktur pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti. Umpamanya, kita telah membangunkan Hab Pendidikan di Sandakan yang menempatkan pelbagai IPT awam dan swasta dan pusat-pusat latihan untuk memberikan peluang pendidikan tinggi dan latihan kemahiran kepada generasi muda.

 

Ini kerana kita amat menyedari bahawa dengan pendidikan yang terbaik, kita berupaya untuk mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tugas, peranan, dan tanggungjawab dalam memberikan pendidikan kepada rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia dan Y.A.Bhg. Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, atas kesudian untuk mengadakan lawatan kerja ke Sabah dan seterusnya bersama-sama dengan rakyat di daerah Ranau, dalam majlis pada pagi ini.

 

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Institut Aminuddin Baki (IAB) serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan majlis ini.

 

Semoga semangat kerjasama dan komitmen tinggi dan usaha yang berkesinambungan ini berupaya melonjakkan kecemerlangan dan kemajuan pendidikan di negara kita,  khususnya di Sabah, demi kepentingan rakyat dan generasi yang akan datang.

 

Sekian.