TEKS UCAPAN PERASMIAN Y.A.B DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA FORUM EKONOMI BELIA TAWAU 2012, PADA 11 FEBRUARI 2012, BERTEMPAT DI AUDITORIUM PERPUSTAKAAN WILAYAH TAWAU.

 

Kerajaan Negeri memuji usaha dan inisiatif penganjuran program seumpama ini yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan dan kelab, pertubuhan belia dan sukan, NGO, Badan siasah, dan golongan belia khususnya di daerah Tawau.

 

Golongan belia seharusnya bersyukur kerana dapat menikmati kemakmuran ekonomi negara yang semakin pesat membangun. Dengan kewujudan Projek Pembangunan Ekonomi Belia (PPEB), ianya diharap dapat mempromosikan sektor perniagaan kepada golongan belia bumiputera selain menarik lebih ramai belia menceburkan diri dalam bidang ini. Saya yakin Projek ini mampu menjana perkembangan belia untuk bergiat aktif dalam sektor perniagaan yang berpotensi dan lebih mencabar.

 

Sehubungan dengan itu, projek yang diperkenalkan ini sudah tentu akan melahirkan “Model Usahawan Belia” untuk diketengahkan dalam sektor perniagaan di peringkat negara seterusnya merentas garis sempadan negara untuk membentuk jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa.

 

Apa yang pasti, ianya memerlukan azam dan iltizam yang tinggi untuk mencapai hasrat ini. Semua ini menuntut perubahan sikap dan mentaliti serta motivasi dalam kalangan belia dan semua ahli persatuan agar mampu bersaing pada era globalisasi kini.

 

Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerjasama dan menyokong segala usaha persatuan ini dalam memartabat dan menaikkan semangat golongan belia untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Ini terbukti apabila kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM58.27 juta dalam bajet 2012 untuk pelbagai program pembangunan belia demi melahirkan golongan belia yang berketrampilan dalam semua bidang termasuk bidang ekonomi.

 

Saya percaya dengan kekuatan semangat dan minat yang mendalam pada bidang ini, ia akan meningkatkan keazaman dan kesungguhan para belia untuk menjadi lebih progresif, kreatif, inovatif dan berdaya saing seterusnya menjadi contoh kepada golongan belia yang lain.

 

Akhir kata, saya berharap penglibatan golongan belia dalam program ini bukanlah untuk mendapatkan suntikan modal semata-mata, tetapi jadikan forum ini sebagai pencetus semangat dan keazaman untuk berusaha seterusnya memilih bidang perniagaan sebagai opsyen bagi merealisasikan objektif dalam Persatuan Usahawan Belia Tawau ini.

 

Sekian, terima kasih.