Kenyataan

Y.A.B. Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,

Ketua Menteri Sabah

mengenai KEPUTUSAN KERAJAAN UNTUK TIDAK MEMBINA Loji Janakuasa Arang Batu di Sabah

16 Februari 2011

 

 

Sukacita saya memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membangunkan sumber tenaga alternative iaitu dengan menggunakan gas bagi memenuhi keperluan bekalan tenaga di Sabah.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri, yang bukan sahaja  memberikan perhatian yang serius kepada keperluan bekalan tenaga di Sabah, bahkan juga keperihatinan yang tinggi terhadap alam sekitar kita.

 

Y.A.B. Perdana Menteri  amat memahami bahawa sementara kita perlu meningkatkan keupayaan bekalan tenaga di Sabah, ia tidak boleh dilakukan dengan mengabaikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

 

Y.A.B. Perdana Menteri juga memahami bahawa salah satu daripada aset berharga yang dimiliki oleh Sabah ialah daya tarikan alam semulajadinya yang masih terpelihara. Sementara Sabah perlu meningkatkan bekalan tenaga untuk memenuhi keperluan pembangunan, kita tidak boleh mengambil sebarang risiko kepada alam semula jadi.

 

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sememangnya menjadi keutamaan kita untuk melindungi dan memelihara kelestarian alam semulajadi demi kesejahteraan rakyat. Kita mesti melindungi khazanah ini khususnya alam semulajadi kita kerana ia merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada sektor pelancongan negeri.

 

Pertumbuhan aktiviti ekopelancongan dan yang berbentuk nature adventure bergantung kepada sejauh mana kita dapat memelihara khazanah alam semulajadi dan tidak mendedahkannya kepada sebarang risiko.

 

Saya sedar bahawa terdapat bantahan terhadap cadangan pembinaan loji arang batu. Pada hari ini terbukti bahawa segala bantahan tersebut telah diberi perhatian yang sewajarnya.

 

Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri adalah kerajaan yang sentiasa mendengar suara dan merasai denyutan nadi rakyat. Kita mempunyai keazaman dan iltizam politik (political will) yang tinggi  dalam membuat keputusan yang bukan mudah, iaitu untuk tidak membina loji arang batu di Sabah. Kita sentiasa melaksanakan pendekatan seimbang dan mapan dalam memacu pembangunan.

 

Kerajaan BN juga menyedari bahawa keperluan tenaga di Sabah perlu dipenuhi bagi memastikan kesinambungan pembangunan di seluruh negeri termasuk di kawasan Pantai Timur, yang kerap mengalami kekurangan tenaga.